Ekspedisi lasak 5 hari penuh cabaran
SUKAN lasak pacuan empat roda (4x4), bukan sekadar hobi ekstrem biasa tetapi umpama medan pertempuran pemandu mengemudi jentera moden meredah gelombang kerenah alam. Rintangan perjalanan itu mencabar percaturan strategi dan menguji kecekapan pemanduan serta keberanian ketika menghadapi laluan yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental.
Itulah kesimpulan pengalaman penulis ketika menyertai 1Borneo 4X4WD Expedition 2011 yang kali ini meredah keunikan bumi kenyalang atau Sarawak ini. Dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak, Kementerian Pelancongan Malaysia, Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), ekspedisi itu bertujuan mengukuhkan lagi jenama industri pelancongan Sarawak ke peringkat antarabangsa.Pengurus Operasi Borneo Jungle Safari Sdn Bhd (BJSSB), Rona Sultan berkata, penganjuran ekspedisi itu dilihat mampu mempromosikan lagi Malaysia terutama Sarawak sebagai destinasi sukan pemotoran kepada peminat aktiviti sukan itu.
“Kenderaan lasak 4X4 sengaja digunakan bagi membolehkan peserta merentas hutan semula jadi Borneo sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan juga berpeluang mendekati budaya etnik yang berbeza di setiap lokasi persinggahan. Lebih menarik lagi, semua lokasi tersebut juga dikenali ‘Jantung Borneo’ (Heart of Borneo),” katanya kepada wakil media yang menyertai ekspedisi tujuh hari enam malam, baru-baru ini.
Kata-katanya itu ada benarnya. Bertemankan rakan media, wakil BJSSB, pegawai Tourism Malaysia Sarawak dan peserta yang mengemudi jentera hebat seperti Range Rover, Isuzu Trooper dan Mitsubishi Pajero yang dinaiki penulis, susah senang merentas hutan, menyeberang sungai dan lumpur serta mendaki bukit tidak mungkin mampu diatasi tanpa semangat dan sokongan padu semua terbabit.
Perjalanan ekspedisi ini bermula secara santai dengan perjalanan dari Miri ke Brunei Darussalam menggunakan laluan jalan raya biasa memberi peluang kepada peserta untuk berkenalan dan memanaskan badan dengan kenderaan masing-masing. Ketika bersiar-siar menikmati destinasi menarik di Brunei, apa yang menimbulkan rasa kagum di hati penulis ialah penggunaan tulisan Jawi secara meluas di negara itu. Alangkah bagusnya jika pendekatan sama turut diamalkan di negara ini.
Majlis prapelancaran ekspedisi ini dirasmikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan negara itu, Datuk Paduka Awang Mohd Hamid Mohd Jaafar di pekarangan Hotel Rizqun di Gadong. Konvoi 34 kenderaan yang menyertai ekspedisi ini kemudian bertolak ke Limbang dan berehat semalaman di situ sebelum ekspedisi sebenar dari Limbang ke Lawas menggunakan laluan ‘off-road’ Long Semadoh, Ba’Kalalan dan Long Luping bermula keesokan harinya.
Seawal jam 8 pagi, deruman enjin di pekarangan Hotel Purnama, Limbang, menandakan bermulanya ekspedisi ‘1Borneo 4X4WD Expedition 2011.’ Destinasi pertama ke Jeti Temburong dan kami menaiki feri merentasi sungai untuk ke perhentian pertama di Long Semadoh. Ujian pertama menyeberang sungai deras yang dipenuhi bongkah batu besar yang sememangnya menguji kecekapan pemandu dan ketahanan jentera lasak berkenaan serta keberanian peserta untuk terus berada didalamnya. Cabaran laluan hutan sempit menjadi kian sukar kerana sebatang pokok sebesar tiga pemeluk lelaki dewasa tumbang. Tiada pilihan lain, peserta terpaksa bekerjasama memotong pokok berkenaan menggunakan gergaji bermotor yang memakan masa hampir satu jam sebelum laluan berkenaan dapat digunakan semula.
Laluan curam di lereng bukit menyebabkan Ketua Pasukan, Clarence Labo sentiasa memantau keadaan dan memberi arahan sewajarnya. Lapan jam menempuh perjalanan yang panjang membuatkan badan jadi lesu, justeru kata sepakat diambil untuk bermalam di Long Semadoh Rayeh. Ketika peserta mula mendirikan khemah berhampiran anak sungai, peserta dari Sabah, Mustafah Abdl Gafar dan isteri sibuk menyiapkan hidangan makan malam.
Hari kedua
Tepat jam 7.30 pagi, peserta memulakan perjalanan lebih mencabar ke Ba’kalalan. Perjalanan merentasi lereng bukit dan tanah merah berlumpur mengambil masa 12 jam. Konvoi kami ambil masa lebih tujuh jam melepasi rintangan jalan berlumpur selepas kenderaan tersangkut dan mengeluarkan asap hitam setiap kali minyak ditekan. Pemandu sepakat menggunakan teknik ‘winching’ menarik kenderaan terkandas. Teknik ini memerlukan kenderaan yang tersangkut di pasang dengan tali penarik yang disambungkan kepada kenderaan lain yang lebih berkuasa untuk ditarik keluar.
Penulis teringat pesanan ketua ekspedisi pentingnya peralatan lengkap seperti hi-lif jack, ground ankle, snokel, snatch block, snatch rope, tree protector, radio dan winch kerana kemungkinan berdepan perkara di luar jangkaan dengan alam semula jadi. Keadaan panas terik menambahkan kegetiran ketika kami terpaksa memerah keringat yang ada untuk memasang tali penarik ke hampir 20 kenderaan yang terkandas secara bergilir-gilir. Semua peserta lega apabila tiba jam 8 malam dan semua kenderaan dikumpulkan di Apple Lodge, Ba’kalalan, tempat kami bermalam.
Hari Ketiga
Semangat berkobar-kobar memulakan hari mencabar hilang begitu saja apabila kami dimaklumkan Pegawai BJSSB, Lisa Buing, bahawa perjalanan ke Long Bawan, Kalimantan, dibatalkan pada saat-saat akhir. Kesempatan digunakan penulis dan tiga rakan mendaki bukit berhampiran. Penulis berjumpa semula Pak Tagal Paran yang dikenali ketika mengunjungi Ba’kalalan, setahun lalu. Perbualan itu menyingkap keunikan tanah tinggi itu termasuklah menghasilkan epal paling enak pernah dimakan penulis seperti Rome Beauty, Granny Smith Anna dan Manalagi.
Keistimewaan Ba’Kalalan terserlah sekali lagi apabila hidangan makan malam di rumah panjang pada malam itu terasa begitu enak apabila kami dijamu masakan berasaskan beras istimewa Ba’kelalan seperti ayam kampung masak kunyit, nasi yang dibungkus dengan daun itip dan juga minuman istimewa kopi beras.
Hari Keempat
Kami ke Lawas, destinasi terakhir. Laluan merentasi bukit dan berlumpur sekali lagi menjadi santapan kami. Hujan lebat mengakibatkan lumpur yang kian menebal hingga menyukarkan laluan perjalanan dan hampir semua kenderaan tersangkut sepanjang jalan. Kami hanya tiba di lokasi sekitar jam 2 pagi di Hotel Seri Malaysia, Lawas untuk makan malam perpisahan dan penyampaian sijil.
Sesungguhnya laluan sukar ekspedisi 1Borneo 4X4WD Expedition 2011 memberi peluang kepada penulis untuk merasai sendiri cabaran bertembung dengan rintangan alam yang amat sukar dibaca pergerakannya. Terbukti, bertarung dengan alam memerlukan persiapan mental dan fizikal kerana cabaran sebenarnya sukar dijangka sebaliknya hanya perlu bersedia meredah untuk menyelami keunikannya.
Biarpun sukan ini sukar, cabaran ini mampu diatasi peserta tanpa mengira jantina. Malah, ekspedisi kami turut disertai peserta cilik lapan tahun, Deborah Saran Clarence Labo.