Translate

Wednesday, May 2, 2012

2 hari di Johor

 RESTORAN Ali Asam Pedas di Batu Pahat.
 PENGUNJUNG menikmati hidangan di Kampung Senibong.
 HUTAN bakau di Taman Negara Tanjung Piai.
 MENYUSURI Sungai Muar melepasi Masjid Jamek Sultan Ibrahim.

Pelbagai aktiviti, destinasi menarik menanti

APA anda akan buat jika diperuntukkan tempoh 48 jam di Johor? Mungkin tidak mahu bersiar-siar ke tempat menarik, sebaliknya lebih selesa menghabiskan masa di pusat beli-belah atau memanjakan diri di sauna hotel, sebahagian lagi mungkin memilih berjalan-jalan di pantai Air Papan, Desaru atau pantai di Mersing.
Ada juga lebih suka mencuba pelbagai masakan dan makanan terkenal tempatan seperti lontong, laksa Johor atau pisang goreng dicicah kicap pedas atau mengunjungi mercu tanda terkenal seperti Bangunan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, Bangunan Sultan Abu Bakar di Muar atau balai polis trafik era kolonial di Kota Tinggi.Walau apapun pilihan anda, Johor mempunyai tarikan tersendiri untuk disesuaikan dengan semua kehendak dan keinginan. Mungkin panduan di bawah boleh membantu terutama buat mereka yang pertama kali berkunjung ke negeri paling selatan di Semenanjung ini.

Muar

Jika memasuki Johor dari utara, perjalanan ke bandar barat laut ini satu kemestian. Dulu dikenali sebagai Bandar Maharani dan sering dirujuk sebagai `bandar orang pencen’. Muar memiliki aura untuk menawan pengunjung. Tersergam Bangunan Sultan Abu Bakar berdekatan Sungai Muar dan juga Masjid Sultan Ibrahim, mercu utama zaman kesultanan Sultan Abu Bakar yang masih bertahan hingga kini. Penulis sendiri dan mungkin kebanyakan pengunjung pasti tidak akan melepaskan peluang menikmati mi bandung yang menjadi ikon bandar Muar andai ke sini.

Batu Pahat 
Ramai warga Batu Pahat percaya nama bandar ini diambil daripada perigi batu yang dibina secara dipahat. Menurut cerita orang dulu, perigi itu digali bunian dan masih ada di pantai Minyak Beku. Ada juga versi ia digali tentera Siam yang singgah di situ. Selain pemandangan indah pantai, bandar ini menawarkan banyak pusat beli-belah. Jangan lupa menikmati Nasi Briyani Gam di Taman Soga, asam pedas Jalan Rahmat serta mi racun di pusat bandar.

Segamat

Kekal tempat perhentian popular pengembara dalam perjalanan ke selatan, sama ada dari timur mahupun utara. Ia turut menjadi tempat rehat bagi bas ekspres dan kereta api. Bandar ini agak besar, tetapi lebih besar adalah tarikannya. Peminat alam semula jadi singgah di sini kerana lokasinya berdekatan Gunung Ledang dan air terjun di Air Panas. Taman Bunga Batu Hampar satu lagi pusat rekreasi utama di tengah bandar yang turut menempatkan kediaman rasmi pegawai daerah dan istana hinggap kerabat diraja Johor.

Pontian

Taman Negara Tanjung Piai terletak kira-kira 75 kilometer dari Johor Bahru adalah kawasan paling selatan di Asia. Pelawat boleh meneroka taman ini melalui pelantar kayu dalam hutan yang menjalar sehingga tepi pantai. Pengunjung pasti tertarik dengan pemandangan indah Selat Melaka, menyaksikan kapal kargo berulang alik ke Pelabuhan Tanjung Pelepas. Penulis sempat merakamkan kenangan di pelantar bersama bukti taman negara ini kawasan paling selatan di Asia.

Mersing

Desaru dan Air Papan, pantai terbaik di Johor terletak di daerah ini. Desaru sememangnya terkenal sebagai bandar peranginan sejak sekian lama manakala Air Papan, nun di utara perjalanan ke Mersing jadi pilihan mereka yang suka berkelah. Kedua-dua tempat mempunyai pantai amat indah, sesuai untuk kegiatan sukan air atau sekadar merehatkan minda. Tempat menginap dan hotel di Desaru pasti memenuhi cita rasa pengunjung, manakala Bandar Penawar pula kian popular sebagai bandar satelit kerana pelancong gemar ke bandar ini yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kedai runcit, restoran dan pasar malam.

Johor Bahru 

Sebahagian daripada pusat bandar ini dibangunkan semula dengan laluan pejalan kaki lebih moden dan redup. Buktinya lihat saja di kawasan seperti Jalan Tan Hiok Nee yang menjadi identiti bandar lama kerana ada kedai kopi, kedai gunting rambut dan kedai runcit lama selain gerai ais kacang dan nasi padang menanti pengunjung. Satu lagi tarikan adalah medan ikan bakar di gerai Tepian Tebrau. Masyarakat tempatan atau pelawat ke sini menikmati hidangan hasil laut segar seperti ikan, sotong serta udang yang dibakar dan dimakan bersama sambal cencaluk. Di sini juga destinasi lazim orang tempatan membawa tetamu mereka menikmati makan malam. Turut menarik ialah gerai ikan bakar Kampung Senibong yang terkenal dengan hidangan tradisi seperti ketam masak berlada, udang goreng keju, tom yam dan sotong goreng tepung. Penulis cadangkan Gerai Nombor 6 yang pasti akan membuatkan peminat makanan laut tersenyum puas mengakhiri lawatan ringkas ke Johor.

No comments:

Post a Comment