Translate

Wednesday, May 2, 2012

Santai ekstrem




Abseiling menuruni puncak air terjun 7 tingkat tarikan di Hutan Simpan Berkelah

AIR Terjun Berkelah adalah nama yang sudah tidak asing bagi penggemar aktiviti rekreasi di negara ini. Terletak di Hutan Simpan Berkelah, Maran, Pahang, air terjun ini sememangnya popular dengan keindahan kolam mandi semula jadi hasil hakisan air terjun sejak ribuan tahun dulu selain menjanjikan 1,001 cabaran bagi penggemar aktiviti lasak.
Keunikan hutan lipur ini ialah mempunyai air terjun tujuh tingkat dengan ketinggian di antara 3 hingga 30 meter dan suasananya yang bersih dan segar serta persekitaran nyaman menyebabkan sering dikunjungi pengunjung dari kawasan sekitarnya dan ibu negara.Baru-baru ini, penulis bersama 23 peserta dari Kuala Lumpur menyertai aktiviti ‘Canyoning’ bagi menjelajahi keunikan air terjun itu bersama pemandu arah dari Taman Negara Pahang, Azam Kumin.

Aktiviti dikenali sebagai 'Canyoning' itu meliputi aktiviti berjalan dalam hutan dan menuruni puncak air terjun menggunakan tali (abseliling) yang sememangnya amat dinanti-nantikan semua peserta rombongan.

Canyoning atau penjelajahan melihat alam sekitar yang popular di negara barat kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda negara ini yang gemarkan cabaran dan menjanjikan kepuasan berbeza selain ingin menghayati keindahan alam semula jadi.

Sabtu 
4 pagi : Peserta berkumpul di depan restoran Berkelah di Maran, berhampiran masjid Kampung Gelugor dan menaiki lori yang disewa khas ke Hutan Lipur Berkelah. Sebaik bergerak, kebanyakan peserta l kesejukan digigit hembusan angin pagi.

5 pagi : Setibanya di Hutan Lipur Berkelah, kami terpaksa berjalan dalam kegelapan sambil bertemankan sinaran lampu suluh. Perjalanan 45 minit itu membawa kami ke kawasan perkhemahan berhampiran air terjun kedua. Kami bergotong-royong membersihkan tapak perkhemahan sebelum mendirikan khemah. Sesudah itu semua peserta mengambil peluang berehat dan melelapkan mata seketika sementara menunggu matahari terbit.

8 pagi : Selesai sarapan, kami bergerak ke sebuah kawasan bongkah batu besar dengan ketinggian kira-kira 15 meter serta ada aliran air terjun di sebelahnya yang menjadi tempat kami melakukan aktiviti abseiling. Sebelum itu, penganjur program, Habli Basir bersama Azam atau Stone memberi sedikit taklimat serta latihan asas aktiviti abseiling yang bakal kami lakukan.

10 pagi : Peserta mula menguji kekuatan fizikal menuruni bongkah batu besar secara mengundur menggunakan tali (teknik ‘reverse moving’) dan peralatan yang disediakan. Pelbagai ragam dan riak wajah peserta dapat dilihat semasa melakukan aktiviti itu dan penulis sendiri akui menggeletar sewaktu mula menuruni bongkah batu itu.

11.30 pagi : Kami melakukan abseiling kedua di air terjun berhampiran yang mana peserta perlu menuruni tebing curam dibasahi tempias arus deras air terjun. Ramai peserta tergelincir akibat batu yang licin, sehinggakan ada cedera ringan. Pemandu arah mengingatkan kami agar berhati-hati dan menjaga keselamatan diri. Alhamdulillah, aktiviti itu dapat diselesaikan jam 1 petang walaupun keletihan.

1.30 petang : Kami makan tengah hari disediakan peserta bertugas. Selepas itu, ada yang berehat dan melelapkan mata akibat keletihan. Tidak kurang juga yang mandi di sungai.

4 petang : Peserta didedahkan dengan teknik ekstrem iaitu ‘spider moving’ yang menguji kekuatan fizikal dan mental. Teknik ini memerlukan peserta menuruni bongkah batu dengan cara bergerak ke hadapan seperti seekor labah-labah sedang bergerak menggunakan tali dan peralatan yang disediakan. Ada beberapa peserta yang cedera terseret di kawasan berbatu semasa menuruni bongkah batu itu.

7 petang : Aktiviti tamat dan kami semua bersurai menuju ke khemah masing-masing. Ternyata pengalaman yang dirasai tadi adalah detik yang tidak akan dapat kami lupakan.

9 malam : Selesai makan malam, sesi suai kenal diadakan oleh Habli dan pembantunya, Muhammad Zainul, mengeratkan lagi hubungan sesama peserta. Sesi ini menyebabkan kami semua terasa sudah lama kenal selain mengeratkan hubungan seperti sebuah keluarga.

Ahad

9 pagi : Selesai mengalas perut dengan menu ringkas roti sandwic dan Teh O, peserta diberi taklimat serta melakukan senaman ringan sebelum dibawa ke lokasi menarik di sepanjang laluan ke air terjun ketujuh Berkelah. Turut kelihatan, beberapa kolam renang semula jadi yang memukau pandangan mata mereka saja yang melihatnya. Kelihatan beberapa pengunjung melakukan pelbagai aksi terjunan di kolam itu dengan gaya tersendiri dan mata penulis tidak henti melihat mereka tanda kagum.

10 pagi : Sekali lagi, kami terpukau sejurus tiba di destinasi terakhir iaitu air terjun ketujuh Berkelah. Air terjun itu mengalir menuruni tebing curam kira-kira 25 meter ke sebuah kolam semula jadi yang luas dan dalam. Asyik sungguh melihatkan kebiruan airnya ditambah deruan air terjun yang cukup mempesonakan! Kedalamannya yang mencecah 8 meter itu menyebabkan setiap peserta dinasihat mengutamakan keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, pelampung serta berada tidak jauh dari tengah-tengah kolam walaupun mahir berenang. 

12 tengah hari : Sesudah sesi fotografi, semua peserta pulang ke kawasan perkhemahan. Kami singgah sebentar di kawasan tebing berhampiran air terjun kelima yang turut memiliki kolam agak luas dan menarik. Apalagi, dari tebing setinggi hampir 8 meter, kami tidak melepaskan peluang terjun ke dalam kolam.

3 petang : Selesai makan tengah hari, kami berkemas dan bertolak pulang dengan menaiki lori dari hutan lipur Berkelah ke tempat letak kenderaan di Restoran Berkelah. Sesungguhnya kenangan menjelajahi air terjun Berkelah menjanjikan kepuasan tersendiri yang sukar diungkap dengan kata-kata.

INFO: Air Terjun Berkelah

  • Terletak di Hutan Lipur Berkelah, Maran, Pahang

  • Kira-kira 180 kilometer dari Kuala Lumpur dan mengambil masa kira-kira 2 jam setengah menaiki kenderaan persendirian.

  • Mempunyai tujuh tingkat air terjun dengan ketinggian di antara 3 hingga 30 meter selain banyak kolam mandi semula yang terbentuk sejak ribuan tahun lalu.
  • No comments:

    Post a Comment