My Blog List
My Blog List
Translate
Wednesday, May 2, 2012
Cuti orang kaya
Pandu BMW, santai atas kapal tatkala matahari terbenam
PERJALANAN serba mewah dan eksklusif. Biarpun cuma beberapa jam, kenangan yang terpahat pasti tidak akan dilupakan, ibarat mimpi jadi realiti.
Itu pengalaman berharga yang sempat penulis catatkan biarpun destinasi percutian, baru-baru ini tidak jauh mana. Hanya di Port Dickson.Bagaimanapun, perjalanan yang mengambil masa tidak sampai dua jam dari ibu negara bukan sebarangan. Penulis ke destinasi memandu kereta mewah, BMW X1 meredah hutan batu ibu negara ke kawasan damai berpantai, sememangnya satu ‘pelarian’ yang menarik.
Lebih menarik lagi, pengalaman sehari menjadi orang kaya atau VIP diteruskan dengan menikmati pemandangan matahari terbenam bukan di tepi laut, sebaliknya dari atas kapal mewah Sabrina sepanjang 24 meter.
Perut kosong dimanjakan dengan minum petang atas kapal bernilai ratusan ribu ringgit itu sambil bersantai di atas dek menikmati panorama senja mengasyikkan.
Menarik bukan? Pengalaman itu sebahagian program mempromosikan Karnival Gaya Hidup dan Pelancongan Mewah 2011 (LUXTOFAIR `11) anjuran Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTCM). Acara itu disertai barisan penaja termasuk Penerbangan Malaysia (MAS), MAYBANK, MasterCard dan Ingress Auto.
Perjalanan penulis dan rakan lain bermula dari BMW Ingress Auto, Mutiara Damansara di Petaling Jaya yang menaja kenderaan mewah. Ia peluang yang pasti tidak akan dilepaskan sesiapa saja. Memang selesa memandu BMW, nikmat tidak terkata!
Bukan setakat menjadi perhatian pemandu lain yang terpesona dengan kereta ‘pinjam’ ini yang begitu gah dan menarik fizikalnya, lebih menarik kereta ini kaya dengan nilai pemanduan lancar dan selesa.
Terbukti ia bukan sekadar kereta biasa, sebaliknya jentera yang menepati cita rasa mereka yang mahukan ciri-ciri mewah - luar, dalam, kelancaran serta aspek keselamatan yang sudah sinonim dengan BMW.
Dek kerana kelancarannya, diam tak diam penulis tiba di Admiral Marina & Leisure Club, Port Dickson selepas memandu kira-kira satu setengah jam. Kami kemudian terus diminta menaiki bot mewah Sabrina sambil bersiar-siar sekitar perairan Port Dickson.
Seindah namanya, Sabrina satu lagi lambang kemewahan menepati gaya hidup VIP. Apa tidaknya, kemewahan kapal ini terserlah ketika memasuki ruang dek yang menyediakan perabot dan hiasan memukau. Di bahagian bawah kapal, ada ruang tidur seakan berada dalam bilik hotel lima bintang.
Di dek atas, ada ruang berbumbung untuk bersantai sambil melihat pemandangan. Ikuti catatan perjalanan program percutian VIP ini.
Rabu
2 petang:
Wakil media berkumpul di Ingress Auto, Mutiara Damansara untuk penyerahan kunci dan penerangan ringkas berkaitan kereta mewah bakal dipandu ke Admiral Marina & Leisure Club, Port Dickson. Penulis bersama tiga wakil penaja dari MAYBANK diberikan BMW X1, harganya kira-kira RM300,000. Memandu kereta ini, ternyata memang selesa dan kena dengan harganya.
5 petang:
Kami tiba di Admiral Marina & Leisure Club dan dibawa menaiki kapal mewah Sabrina sepanjang 24 meter. Suasana sekitar pusat peranginan ini terutama di kawasan pelabuhan memukau mata dengan puluhan kapal mewah dan kapal layar berlabuh.
Seterusnya kami dibawa ke dalam kapal dan diberikan penerangan ringkas mengenai Sabrina. Ruang dalamnya seakan hotel mewah dengan hiasan dalaman eksklusif. Sambil menikmati minuman dan juadah, kami juga dibenarkan melihat sekeliling kapal.
Kemewahan Sabrina terserlah terutama melihat ruang tidur utama yang besar dan cantik. Sabrina adalah kapal mewah yang disediakan untuk pelbagai aktiviti mengikut kehendak pelanggan, termasuk bagi majlis keraian, percutian atau mesyuarat. Harga ditetapkan mengikut pakej, destinasi dan masa yang pelanggan inginkan.
6 petang:
Selepas puas melihat kemewahan kapal ini, kami ke bahagian atas geladak sambil menikmati pemandangan sekitar perairan Port Dickson dan makanan yang dihidangkan. Keadaan laut agak bergelora tetapi semua kelihatan gembira menikmati pemandangan sambil menunggu matahari terbenam.
Untuk kos pelayaran selama dua jam menikmati pemandangan matahari terbenam, harganya RM20,000. Kami juga tidak melepaskan peluang merakam saat indah sepanjang di atas Sabrina.
8 malam:
Kapal kembali ke marina Admiral Marina & Leisure Club. Selepas berkumpul dan bergambar kenangan, kami memandu kereta sama pulang ke Ingress Auto. Walaupun tempoh pelayaran hanya dua jam, ia memberikan pengalaman bermakna. Terasa seperti orang kaya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment