Translate

Wednesday, May 2, 2012

Cabaran Sepang-Melaka





'Memburu harta karun' sambil anyam ketupat, main sepak raga

SABAN tahun, acara menjelajah memburu harta karun Malaysia Airports Berhad (MAB) Media Explore Hunt, sememangnya antara ditunggu-tunggu wakil media. Bukan semata-mata soal ganjaran, sebaliknya cabarannya yang pasti menguji minda.
Seperti tahun terdahulu, penulis bersama tiga rakan, Azli Ayob, Hanisah Selamat dan Diyanah Anuar dengan kumpulan dinamakan `TreasureHuntoo’ sekali lagi menyertai acara masuk edisi kesembilan ini, kali ini dari Sepang ke Melaka dengan saingan kira-kira 50 pasukan lain.Cabaran sudah terasa sedari awal acara, namun semangat tetap berkobar, apatah lagi selepas mendengar ucapan Pengerusi MAB, Tan Sri Dr Aris Othman yang berpesan supaya peserta tidak seharusnya hanya menekankan aspek menang atau kalah, sebaliknya semangat sepasukan serta melengkapkan cabaran untuk selamat tiba di destinasi ditetapkan.

Ikuti catatan perjalanan penulis sepanjang cabaran ini yang berlangsung pertengahan Julai lalu.

Sabtu

6.45 pagi: Peserta berkumpul untuk sesi taklimat oleh penganjur. Ketika penulis tiba di ibu pejabat MAB di Sepang, sudah ramai berkumpul dan sebaik mendaftar, sarapan pagi dijamu sebagai persediaan untuk menempuh cabaran lebih panjang. 
8 pagi: Rasa berdebar mula menyerang kerana cabaran ke Melaka adalah laluan terbaru. Sebelum berlepas, sesi fotografi diadakan bersama Pengerusi MAB yang turut menyempurnakan acara pelepasan 50 kenderaan memulakan cabaran lebih lapan jam ini berbekalkan laluan tulip serta soalan.

9.30 pagi: Dalam asyik mencari-cari jawapan, ada juga cabaran berkumpulan perlu disempurnakan seperti menganyam ketupat di Nilai. Nampak mudah, tetapi ramai juga terkial-kial, malah ada tak tahu langsung caranya. Bukan satu yang diminta, sebaliknya empat set sarung ketupat!

11.30 pagi: Letih... meskipun baru lebih tiga jam berdepan cabaran, tidak dapat disembunyikan rasa penat. Selepas cabaran di Nilai, peserta masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan dan memandu lagi untuk ke destinasi seterusnya di Seremban. 

12.30 tengah hari: Di Seremban, perlu cari petunjuk jawapan berpandukan papan tanda perniagaan pada deretan kedai di tepi jalan. Ada juga jawapan dicari hanya dari dalam kereta, ada juga memerlukan kami berjalan kaki kerana ingin mendapatkan jawapan menepati pilihan. 

1.30 tengah hari: Sebaik tamat cabaran di Seremban, sekali lagi menyusuri lebuh raya ke Alor Gajah. Cabaran berpasukan memerlukan kami menimbang bola sepak raga empat kali tanpa peluang mencuba terlebih dulu. Memang haru tetapi kami dapat juga menyudahkannya. Selesai itu, peserta perlu memasuki Muzium Adat Istiadat dan diminta mencari jawapan tersembunyi di sebalik tradisi perkahwinan masyarakat setempat. Sebelum meneruskan cabaran, sempat menikmati cendol di tepi jalan untuk menghilangkan dahaga.

2 petang: Cabaran kali ini ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam. Ingatkan mudah, tapi diminta menyusun abjad 23 huruf yang bertaburan di balik pokok. Hendak mengira semua huruf sudahlah satu hal, hendak menyusun satu lagi masalah. 

2.45 petang: Ingatkan cabaran sudah tamat sebaik tiba di Dataran Pahlawan di Banda Hilir. Seperti tahun sebelumnya, bukan mudah untuk menamatkan cabaran, sekali lagi harus menjawab beberapa soalan berpandukan lokasi bersejarah di sekitar kawasan itu. Terpaksa kami berpecah, jenuh juga mencari hingga terasa mahu mengalah.

3.45 petang: Kira-kira sejam berjalan kaki mencari petunjuk jawapan, ada yang tersesat, salah laluan, silap menjawab soalan. Memang letih kerana cuaca petang itu cukup bahang. Jarum jam semakin menghampiri 4.30 petang, tidak sempat kami menyudahkan soalan ‘treasure’ iaitu membeli beberapa barangan ditetapkan kerana kesuntukan masa. 

4.20 petang: Kami muncul peserta ke-10 tiba di Hotel Mahkota. Sebaik selesai mendaftar masuk, penulis mengambil kesempatan tidur seketika sebelum menanti sajian malam serta penyampaian hadiah buat pemenang. 

8 malam: Makan malam berkonsepkan buffet membuka selera. Sekali lagi Pengerusi MAB menyampaikan ucapan serta berkongsi rasa bangga kerana semua 50 kumpulan berjaya menamatkan cabaran dengan selamat. Meskipun kami gagal bersaing kali ini, semangat tetap berkobar menunggu saingan edisi tahun depan.

10.30 malam: Kalau sudah di Melaka, agendanya tentulah bersiar-siar di kota bersejarah. Kami singgah di Jonker Street yang belum puas dikunjungi, kehadiran begitu ramai pelancong menghadirkan rasa bangga melihat produk pelancongan yang berjaya dirintis kerajaan negeri.

11.40 malam: Terfikir untuk ke Umbai, menghadap bayu laut Selat Melaka. Memang asyik pemandangan waktu malam di sini sambil menikmati sajian ikan bakar, sotong goreng kunyit, udang masak sambal, ketam masak mentega dan nasi lemak daun pisang. Pulang ke hotel penginapan waktu awal pagi, menunggu kemunculan hari baru untuk kembali ke ibu negara dengan semangat membara menantikan cabaran Malaysia Airports Media Explore Hunt akan datang.

No comments:

Post a Comment