Translate

Wednesday, May 2, 2012

Makan angin di desa

Kembara ribuan kilometer menaiki kereta api dari Tanjung Pagar, Singapura ke Tumpat, Kelantan rakam memori indah 

PELANCONGAN kereta api belum cukup popular di Malaysia biarpun negara ini memiliki jaringan rel kereta api kompleks menghubungkan Semenanjung dengan Singapura, Thailand malah hingga ke Indo-China.
Melancong dengan menaiki kereta api sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri. Selain berpeluang melihat lebih dekat lokasi dijelajahi, ‘makan angin’ dengan kereta api mengundang keseronokan terutama bagi mereka yang tidak kisah duduk berjam-jam dalam gerabak kereta api.Inilah yang dirasai penulis apabila berpeluang menyertai kumpulan pelancong dari Singapura yang mengikuti program Pelancongan Keretapi Malaysia. Dari Stesen Kereta Api Tanjung Pagar, Singapura kami meredah laluan ribuan kilometer menuju ke Tumpat, Kelantan lalu menginap di homestay Kampung Pantai Suri yang sungguh mendamaikan. 

Apa yang menarik, program yang pertama kali dijayakan khusus untuk pelancong Singapura ini berjaya mengimbau semula kenangan mereka menginap di rumah kampung dan melakukan aktiviti yang sering dilakukan ketika zaman kanak-kanak. 

Ikuti paparan menarik 48 jam menyelami kehidupan di Tumpat dan kemesraan keluarga angkat Ilyas Mohammad. 

Sabtu 
9.30 pagi : Selepas meredah perjalanan panjang lebih 14 jam dengan pelbagai perubahan geografi dan pemandangan indah, rombongan media dan pelancong dari Singapura tiba di Stesen Keretapi Wakaf Baru, Kelantan. 

Kami menikmati Nasi Dagang sebagai sarapan pagi selain menonton persembahan kebudayaan. Kami turut mendengar taklimat oleh pihak pelancongan dan wakil agensi pelancongan RM Travel & Tour mengenai program homestay yang disediakan. Penulis dan jurugambar, Eizairi diberi penginapan di Kampung Pantai Suri, Tumpat. 

11 pagi : Kami tiba di jeti Kok Majid untuk menaiki bot menuju ke Kampung Pantai Suri, Tumpat selepas menempuh perjalanan dari Stesen Wakaf Baru selama 15 minit. 

Sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Kelantan selama 20 minit, dapat dilihat beberapa buah kampung yang masih mengamalkan kehidupan desa seperti membasuh kain dan mandi-manda di sungai. 

11.30 pagi : Dari jauh kelihatan penduduk kampung menanti ketibaan kami di jeti Pantai Suri. Ketibaan kami disambut dengan bunga manggar dan paluan rebana silat iaitu salah satu muzik tradisional tempatan. 

Terasa seperti tetamu istimewa diarak menuju ke dewan tempat berkumpul. Sepanjang perjalanan, penulis langsung tidak melihat kelibat kereta. 

Kami dimaklumkan pengangkutan utama penduduk di perkampungan ini hanyalah motosikal dan basikal. Selepas mendengar taklimat ringkas dan dijamu air kelapa, rombongan diserah kepada keluarga angkat masing-masing. Penulis dan jurugambar menjadi anak angkat kepada keluarga Ilyas Mohammad. 

12 tengah hari : Keramahan dan layanan diberi keluarga Ilyas membuang jauh persepsi menumpang di rumah orang, malah menjadikan penulis selesa seperti berada di rumah sendiri. 

Biarpun rumah desa, namun suasana sekitar cukup bersih selain dilengkapi kemudahan. Kami mengambil peluang untuk berehat seketika dan menikmati makan tengahari. 

4 petang : Aktiviti pertama bersama dengan penduduk kampung ialah melihat demonstrasi memetik buah kelapa menggunakan beruk. Selain hasil laut, kelapa juga menjadi sumber pendapatan penduduk kampung. Banyak pokok kelapa hidup subur di sekeliling pulau ini. 

Kami juga ditunjukkan cara-cara mengupas kelapa dan mengukur kelapa menggunakan peralatan tradisional. 

5 petang : Cuaca petang semakin redup dan angin laut mula bertiup menambah lagi keindahan kampung. Suri rumah di kampung ini mempersembahkan resipi istimewa iaitu kerabu bunga nipah dan ‘sushi’ Kelantan. 

Apa yang menariknya, makanan sushi Kelantan ini menggunakan ikan mentah yang dihiris halus dan dicampur perahan air limau nipis dan sedikit cuka. 

Sempat juga penulis mencuba dan memang enak, seolah-olah ikan sudah dimasak. 

Seterusnya, kami ditunjukkan hasil kraftangan penduduk selain diajar cara-cara membuat rokok daun nipah. Terdetik di hati penulis walaupun tinggal jauh di pedalaman dan tidak hidup mewah seperti warga kota, penduduk kampung ini mampu menyara kehidupan dan menyekolahkan anak-anak. 

8.30 malam : Tiada aktiviti dikendalikan bagi memberi peluang rombongan berehat. Makan malam yang disediakan keluarga angkat penulis biarpun ringkas namun cukup menyelerakan. 

Penulis mengambil kesempatan bersiar-siar sekeliling rumah dan terkejut mendapati pesisir sungai dipenuhi kerlipan lampu. Menurut keluarga angkat, kawasan itu mempunyai banyak kelip-kelip yang sentiasa menerangi kegelapan malam. Inilah istimewanya kerana biarpun tidak banyak lampu jalan, kehadiran kelip-kelip cukup menjadikan kawasan sekitar terang. 

Ahad 

6 pagi : Penulis mengambil kesempatan mengikuti Aiman dan Asman, iaitu anak keluarga angkat pergi ke sekolah dengan menaiki bot. Sekolah Aiman dan Asman terletak di Pulau Beluru yang jaraknya kira-kira 10 minit menaiki bot. 

Sebaik tiba di jeti, bot penambang sedia menunggu. Tambang yang dikenakan hanya 50 sen. Suasana dingin angin laut seolah-olah tidak menjadi soal kepada Aiman dan Asman. Penulis sempat berkongsi sarapan pagi yang dibekalkan oleh ibu mereka dalam bot. 

Semangat dua kanak-kanak ini untuk bersekolah tidak pernah luntur walaupun setiap hari menaiki bot tanpa mengira hujan atau panas. Isu bahaya tidak timbul kerana mereka dibekalkan jaket keselamatan oleh Kementerian Pelajaran. 

9 pagi : Semua peserta siap menunggu di jeti Kampung Pantai Suri untuk melihat aktiviti utama penduduk mencari hasil laut. Kami dibawa menaiki bot yang disediakan untuk melawat sekeliling Pantai Suri dan beberapa pulau berhampiran seperti Pulau Beluru dan Pantai Haji Nik Mat. 

Kami kemudian dibawa ke sebuah pulau yang terbina atas tiupan angin laut dan membentuk sebuah pulau kecil yang kosong. Menurut penduduk tempatan, pulau ini dijadikan lokasi memasang pukat dan menjala selain mencari kupang.

Penulis tidak melepaskan peluang mencuba menjala ikan walaupun tidak menjadi. Nampak senang pada luaran tetapi selepas mencuba barulah penulis tahu bukan mudah menjala ikan. 

Kami ditunjukkan pula teknik mengutip kupang di dalam air yang dilakukan ketika air surut. Penulis berjaya mengutip beberapa ekor kupang. Teriakan dan gelak ketawa peserta rombongan memecahkan keheningan pagi. 

Dalam perjalanan pulang, kami berpeluang mengangkat bubu yang dipasang menangkap ketam. Setiap bubu yang diangkat membuahkan hasil dengan ketam besar ditemui terjerat. Sampai di jeti, penulis bersama jurugambar dan beberapa rakan media mengambil kesempatan mandi sungai bersama kanak-kanak kampung. 

3 petang : Anggota rombongan mengambil kesempatan berjalan-jalan di sekeliling kampung. Ada juga yang leka bermain congkak dan mencuba memasak masakan tradisional. Bagi lelaki, mereka sibuk menyembelih seekor kambing untuk dibakar pada malam hari. Angin laut yang bertiup cukup mendamaikan. 

8 malam : Malam kemuncak program Pelancongan Keretapi Malaysia. Kami dipersembahkan dengan kebudayaan seperti dikir barat dan tarian oleh anak-anak kampung. 

Kami juga dihiburkan dengan dikir barat oleh kumpulan Dikir Muda Pantai Suri yang sering menyertai pertandingan dikir barat di peringkat negeri. Beberapa peserta cuba meniru aksi mereka. Tidak kurang juga ada yang menari bersama dengan beberapa penduduk kampung. 

Juadah pulut dan ubi kayu rebus serta ikan masin yang dihidang bersama air kopi, cukup membuka selera. Biarpun hujan renyai-renyai, kami tidak mahu berganjak sebaliknya terus menikmati jamuan sambil berhibur dengan alunan dikir barat. 

Penulis terasa berat hati meninggalkan Kampung Pantai Suri, namun memori indah tetap tersemat dalam hati.

No comments:

Post a Comment