Translate

Wednesday, May 2, 2012

Jejak 3 muzium


 PEKARANGAN Muzium Perak.

 RANGKA harimau yang dipamerkan di Muzium Perak.

Pelbagai koleksi sejarah jadikan Perak lokasi pelancongan unik

MUZIUM berperanan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara. Mengapa tidak, muzium menjadi gedung khazanah sejarah dan budaya yang merakam setiap detik penting dalam masyarakat untuk ditatap dari generasi ke generasi.
Lawatan penulis dan rakan media ke tiga muzium utama di bawah kelolaan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di Perak, baru-baru ini menambah pengetahuan kami mengenai kepentingan muzium iaitu tempat penyebar maklumat, mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap sejarah serta keunikan budaya.Muzium Perak yang terletak di Jalan Taming, Taiping adalah muzium tertua dan pertama negara. Muzium istimewa ini menyimpan pelbagai khazanah yang dibina bermula 1883 bagi tujuan membantu pengumpulan spesimen dan artifak yang diasaskan Residen British Perak yang keempat, Sir Hugh Low (1887-1889).

Manakala, Muzium Matang di Bukit Gantang, Taiping yang dulunya dikenali Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim, menyimpan sejarah peninggalan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim Jaafar iaitu seorang pembesar Perak yang masyhur. Beliau menjadi salah seorang penentang campur tangan British dalam Hal Ehwal Pentadbiran Perak selepas Perjanjian Pangkor pada 1874.

Tidak terkecuali lawatan ke Muzium Arkeologi dan Tapak Arkeologi di Lenggong yang dibina berdasarkan kepada signifikan tapak arkeologi zaman Paleolitik yang wujud 74,000 tahun lalu. Ini adalah penemuan tapak terawal bermula di Kota Tampan.

Melalui program Jom Santai @ Muzium Perak anjuran JMM bermula 11 Februari hingga 13 Februari lalu, ia mendekatkan diri penulis dengan lokasi bersejarah itu. Ikuti catatan kembara penulis sepanjang program itu. 
Jumaat 

10.30 pagi : 
Penulis dan jurugambar bertolak dari Ipoh ke Muzium Perak, sementara rakan media lain dari Kuala Lumpur berkumpul di perkarangan JMM, Kuala Lumpur dan bertolak ke lokasi itu dua jam lebih awal daripada penulis.

11.30 pagi : Penulis tiba di pintu masuk Muzium Perak serentak kedatangan rombongan media dan kakitangan JMM. Kami disambut dengan senyuman mesra dan sapaan ramah pekerja muzium termasuk kuratornya, Nur Hanisah Ahmad.
Selepas sesi perkenalan, kami dibawa memasuki muzium tertua itu dan melawat empat galeri utama iaitu Galeri A bagi ruangan Pameran Sementara, Galeri B (Pameran Alam Semulajadi), Galeri C (Pameran Kebudayaan Umum dan Perak) dan Galeri D yang menempatkan ruangan pameran koleksi tembikar tradisional dan masyarakat Orang Asli.

Apa yang menarik, bangunan muzium itu direka bentuk arkitek berbangsa Inggeris yang didatangkan khas dari England. Beliau mengaplikasikan gaya dan ciri bangunan masyarakat 'moor' di India selain menggabungkan gaya klasik seni bina 'neo-classical' dan 'Victorian' masyarakat Eropah.

Penulis dan beberapa rakan media teruja apabila memasuki Galeri B yang menempatkan pameran alam semula jadi iaitu rangka pelbagai haiwan dengan saiz sebenar seperti harimau, kambing gurun, kuda, tapir serta kucing hutan termasuk tengkorak gajah. Walaupun binatang itu sudah diawetkan, tetapi ia seolah-olah ‘hidup’ dan sesekali rasa meremang pula ditenung lama-lama.

Tidak ketinggalan, rombongan kami turut ditunjukkan dengan rangka buaya berukuran kira-kira lapan meter panjang yang ditemui di Matang, kira-kira 100 tahun lalu. Ia didakwa sebagai buaya terpanjang di Malaysia pada ketika itu.

12.45 tengahari : Lebih sejam melawat galeri berkenaan, kami berehat seketika dan dijamu dengan hidangan makan tengah hari menyelerakan iaitu lauk kampung.

1 petang : Rombongan kami yang menaiki dua van dibawa ke tempat penginapan, Hotel Flemington di pinggir Pekan Taiping. Ketika wartawan dan jurugambar lelaki bersedia untuk menunaikan solat Jumaat, kaum hawa mengambil kesempatan merehatkan badan sebelum meneruskan program petang.

3 petang : Walaupun hanya kira-kira dua jam merehatkan diri, kami tetap bertenaga untuk meneruskan program di Muzium Perak. Kali ini, penulis dibawa melawat gerai pameran di luar perkarangan muzium.

Labu sayong yang menjadi kebanggaan rakyat Perak terutama di Kuala Kangsar turut dipamerkan, selain gerai membuat batik dan anyaman tikar mengkuang. Penulis paling tertarik dengan perusahaan membuat acuan kuih secara tradisional daripada kepingan tembaga. Penulis berbual dengan pemiliknya, Mohd Yusuf Abas yang berusia hampir 70 tahun mengenai hasil kerja tangannya. Selain itu, sempat juga membeli acuan kuih siput yang diperbuat daripada kayu yang semakin sukar diperoleh kerana ramai beralih menggunakan acuan kuih plastik.

4 petang : Rombongan media dibawa ke bilik taklimat muzium dan berkongsi maklumat bersama Ketua Pengarah JMM, Datuk Ibrahim Ismail bagi mendapat gambaran sepenuhnya mengenai keunikan Muzium Perak.

5.30 petang : Penat berkongsi maklumat dan pengalaman daripada Ibrahim, kami meneruskan perbualan santai di meja makan apabila kakitangan Muzium Perak menyediakan hidangan petang menyelerakan iaitu bihun Singapura dan kuih jala berkuah, diselangi kopi hitam pekat.

6 petang : Rombongan pulang ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu sesi makan malam. Secara kebetulan, lokasi hotel yang berdekatan dengan Taman Tasik yang dihiasi pokok merimbun berusia lebih 100 tahun, berjaya memukau pandangan ahli rombongan menyebabkan sebahagian besar mereka mengambil kesempatan untuk memberi 'pose' terbaik.

Kepenatan mengikuti aktiviti seharian dan merempuh perjalanan jauh, akhirnya terubat melihat kehijauan sekitar tasik, selain menghirup udara segar. Apatah lagi, lokasi itu hanya beberapa kilometer berdekatan dengan Bukit Larut, iaitu kawasan paling lembap di Malaysia.

Sabtu

9.30 pagi : Kami meneruskan program dengan mengikuti acara sukan rakyat di perkarangan muzim. Antara permainan tradisional yang dipaparkan termasuk kaki gajah, gasing pangkah, menyumpit dan kukur kelapa. Malah, penulis dan beberapa rakan lain sempat merasai pengalaman menggunakan sumpit dan kukur kelapa berusia lebih 100 tahun.

11 pagi : Majlis perasmian program disempurnakan Ibrahim. Selepas majlis perasmian, kami sekali lagi dibawa melawat galeri muzium berkenaan.

2.30 petang : Selepas berehat seketika dan makan tengahari, kami dibawa ke Muzium Matang untuk mengetahui sejarah peninggalan Kota Ngah Ibrahim. Meninjau kompleks berkenaan mengingatkan penulis akan ketabahan masyarakat Melayu mempertahankan Tanah Melayu daripada penjajah British.

4.30 petang : Letih mengelilingi muzium itu, kami tersenyum selepas dihidangkan minum petang dengan mee udang yang terkenal di Kuala Sepetang. Mengimbangi kadar
kolestrol akibat penangan mee udang, tekak kami dibasahkan dengan air kelapa.

5.30 petang : Rombongan kembali ke hotel dan berehat sementara menunggu makan malam. Selepas itu, kami masing-masing melakukan acara bebas.

10 malam : Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Taiping jika tidak merasai keenakan sotong kangkung dan yong tau fo di Pasar Sarkes, berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat Taiping. Kami menghabiskan masa hampir dua jam berbual sambil menikmati hidangan sebelum pulang ke hotel apabila mencecah tengah malam.

Pada keesokannya, eksplorasi muzium diteruskan dengan lawatan ke Muzium Arkeologi Lenggong dan Tapak Arkeologi. Berada di muzium itu membuatkan penulis seolah-olah berada di zaman manusia hidup antara 200,000 hingga 300,000 tahun lalu.

Malah, kami juga dipertontonkan dengan video Perak Man iaitu rangka manusia tertua yang pernah ditemui di Malaysia. Tulang rangka Perak Man ditemui pada 1991 di dalam Gua Gunung Runtuh terletak di Bukit Kepala Gajah, di Lembah Lenggong, Hulu Perak pada ketinggian lebih kurang 105 meter dari paras laut.

Kenangan menjejaki tiga muzium di Perak membuka mata selain mengakui negeri ini banyak tarikan dan keistimewaannya terutama dari aspek warisan dan sejarah.

No comments:

Post a Comment