WAKIL media meninjau Jambatan Guillemard yang menjadi jambatan kereta api terpanjang di Malaysia.
Naik kereta api 12 jam dari Kuala Lumpur ke Kelantan selongkar rahsia alam, tempat bersejarah
PERJALANAN menaiki koc Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur menuju Dabong, Kelantan melalui Tanah Merah, tidak lama dulu memberi pengalaman baru kepada penulis.
Menjejaki daerah asing termasuk lokasi bersejarah di sepanjang perjalanan 12 jam memberi peluang kepada penulis untuk menghayati keindahan alam, keunikan pekan kecil dan kehidupan masyarakat di tepi Sungai Kelantan selain tinggalan sejarah zaman British.Ternyata, laluan kereta api menuju Dabong punya cerita tersendiri. Sejarah pembinaan laluan kereta api serta projek Jambatan Guillemard yang pernah dibom tentera Inggeris bagi menahan kemaraan tentera Jepun, menarik untuk diselami.
Tidak cukup itu, kisah pembinaan tujuh terowong yang masih utuh hari ini menjadi lambang daerah ini pernah membangun suatu ketika dulu.
Di lokasi yang dikenali sebagai Batu 243.5 juga tercatat sejarah tersendiri. Ia adalah tempat pertembungan landasan kereta api yang dibina dari Gemas, Negeri Sembilan pada 1907 dan satu lagi, membabitkan laluan Tumpat pada 1913.
Di lokasi ini, pengunjung boleh melihat sebatang tiang besi dari keratan rel kereta api setinggi kira-kira semeter, yang ditanam sebagai simbolik percantuman dua landasan ini. Dari aspek budaya, laluan kereta api ini juga menjadi medium pengangkutan utama penduduk sekitar malah menjadi ‘bas sekolah’ kepada murid dan pelajar.
Ikuti catatan Program Panorama Railway Tour ini yang dianjurkan oleh KTMB dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM). Seramai 30 wakil media termasuk dari Singapura turut serta dalam perjalanan menarik ini.
Jumaat
8 malam : Kami berkumpul di KL Sentral sebelum bergerak ke Tanah Merah, Kelantan menaiki Tren Senandung Wau. Aktiviti suai kenal di dalam tren bersama kakitangan KTMB dan media bermula dengan santai.
9 pagi : Selepas lebih 12 jam perjalanan, kami tiba di Stesen Tanah Merah Kelantan. Kami disambut kakitangan KTMB, kakitangan Tourism Malaysia Kelantan dan kakitangan D’Mawar Resort dengan paluan Kertuk, sejenis alat permainan tradisional di Kelantan.
10 pagi : Selepas mendaftar di D’Mawar Resort dan bersarapan pagi, rombongan media dibawa ke Pulau Raja. Dikatakan, lokasi ini menjadi penempatan terawal penduduk Cina di Kelantan. Ada 10 keluarga Cina yang menetap di sini dan kampung ini cukup dikenali dengan sebuah telaga yang didakwa berusia lebih 350 tahun.
Lokasi ini juga dikatakan antara tempat terawal memiliki induk durian terbaik dari jenis durian kunyit atau lebih dikenali sebagai Musang King. Wakil media dibawa ke tapak pembinaan monumen penduduk Cina yang dikaitkan dengan penempatan awal kaum Cina di Kelantan. Kami kemudian disaji air kelapa muda sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.
1 petang : Kami dibawa ke Restoran Selera Tepi Sungai, Tanah Merah untuk menikmati makan tengahari dan solat.
2.30 petang : Kami melawat Pondok Moden Bukit Bunga yang diilhamkan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Pondok moden ini menjadi mercu tanda baru pembangunan agama dan dakwah bagi Parlimen Jeli. Menduduki tapak seluas dua hektar sejak dibangunkan pada 2007, pondok ini menyediakan pusat kegiatan keagamaan dan dakwah serba lengkap.
3 petang : Kami melawat Jambatan Persahabatan dan Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Bunga yang menghubungkan Jeli dan Buketa, Selatan Thailand.
3.30 petang : Kami dibawa ke Zainon Palace, hotel bajet yang menyediakan pakej penginapan menarik bagi mereka yang ingin melancong ke Tanah Merah. Media kemudian dibawa membeli belah di Rantau Panjang yang terkenal dengan barangan yang ditawarkan pada harga berpatutan.
5 petang : Kami mengambil kesempatan melawat Butik al-Wahida di Tanah Merah sebelum pulang ke D’Mawar Resort.
8.30 malam : Wakil media menyaksikan majlis perasmian Program Panorama Railway Tour yang antara lain dipenuhi dengan persembahan kebudayaan dan dikir barat daripada artis tempatan terkenal di Kelantan.
Sabtu
8.30 pagi: Rombongan media berkumpul untuk bertolak ke Stesen Kereta Api Tanah Merah. Media dipertontonkan persembahan silat dan muzik tari silat.
10 pagi : Berlepas dari Stesen Keretapi Tanah Merah menuju ke Jambatan Guillemard. Sepanjang perjalanan, kami disajikan persembahan dikir barat dan muzik tari silat serta alunan serunai oleh pemain alat tradisional tempatan.
Jambatan Guillemard adalah jambatan kereta api yang strukturnya dibina daripada besi. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah. Jambatan ini mula dibina pada 1920 dan siap pada Julai 1924.
Apa yang menarik, Jambatan Guillemard adalah jambatan kereta api terpanjang di Malaysia. Selepas dimusnahkan oleh tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai, jambatan ini dibina semula dan dirasmikan pembukaannya pada 7 September 1948.
10.55 pagi : Kami tiba di Stesen Kereta Api Kuala Krai. Wakil media diberi taklimat berhubung operasi dan pengendalian kereta api.
11.30 pagi : Kami tiba di Terowong Kereta Api Dabong. Kereta api berhenti di Terowong nombor tiga dan kami berpeluang melihat dari jauh Gunung Stong. Lokasi ini adalah titik percantuman landasan kereta api dari Gemas dan Tumpat pada 5 September 1931.
1 petang : Rombongan tiba di Stesen Kereta Api Dabong. Taklimat diberi mengenai gaya hidup penduduk Dabong yang menjadikan kereta api sebagai kaedah pengangkutan utama sejak perkhidmatan rel diperkenalkan di sini.
Dabong adalah pekan kecil yang terletak dalam jajahan Jeli, Kelantan. Pelancong tertumpu ke sini untuk menghayati keindahan Gunung Stong yang tersenarai di tempat kelima daripada 10 lokasi eko-tourism terbaik di Malaysia. Di sini, terletak Air Terjun Jelawang setinggi 305 meter dan menjadi air terjun tertinggi di Asia. Pengunjung juga boleh melawat tempat menarik seperti Gua Ikan, Gua Cha, Gua Keris, Gua Batu Susun dan Gua Pagar yang mempunyai sejarah tersendiri. Gua Cha misalnya, mempunyai kesan peninggalan sejarah zaman purba. Muzium Negara pernah menemui rangka manusia yang dipercayai hidup 2,000 tahun lalu di sini.
3 petang: Kami bertolak pulang daripada Stesen Dabong ke Stesen Tanah Merah. Sekali lagi, perjalanan kami diserikan dengan persembahan dikir barat dan serunai.
4.30 petang: Kami tiba di Stesen Tanah Merah Kelantan dan mendaftar keluar pada jam 5 petang. Tibalah masa untuk pulang. Kereta api ke Kuala Lumpur kemudian bertolak kira-kira jam 6 petang meninggalkan 1,001 kenangan indah di Kelantan. Sepanjang perjalanan, kereta api berhenti di beberapa stesen seperti Gua Musang yang menjadi antara laluan menjejaki Taman Negara.
best ke dtg kelate
ReplyDelete