My Blog List
My Blog List
Translate
Wednesday, May 2, 2012
Pulau asyik | Pulau Perhentian, di Terengganu ,Malaysia
Perhentian janji 1,001 aktiviti menarik, rahsia alam tropika
APABILA bercuti di kawasan pantai atau pulau, acara santai yang boleh anda lakukan tidak semestinya terhad kepada aktiviti air semata-mata.
Kebanyakan destinasi pulau dan pantai percutian di Malaysia lazimnya mempunyai hutan atau bukit yang turut menyimpan khazanah flora dan fauna.Kawasan bukit atau hutan ini kebiasaannya sudah dikomersilkan dan menjadi lokasi pelbagai aktiviti selain menyelam, snorkeling, berkayak, jet ski dan sebagainya.
Pulau Perhentian, di Terengganu misalnya boleh menjadi pilihan mereka yang bukan saja menggemari aktiviti air malah ingin ‘menitikkan peluh’ dengan aktiviti pendakian, rentas hutan dan seumpamanya.
Bagi memberi sedikit idea untuk aktiviti menarik yang boleh dilakukan di pulau tumpuan pelancong asing ini, ikuti catatan Kembara Malaysia minggu ini :
Jumaat
9 malam : Bertolak dari Hentian Putra. Sengaja kami memilih bertolak pada waktu malam bagi mengurangkan rasa penat perjalanan yang mengambil masa lapan jam. Bagi menghilangkan kebosanan berada di dalam bas, kami mengambil kesempatan untuk melelapkan mata. Hampir empat jam perjalanan, bas ekspres berhenti di kawasan rehat Merapoh bagi membolehkan penumpang berehat dan mengisi perut sebelum meneruskan perjalanan ke Jeti Kuala Besut.
Sabtu
5 pagi : Selamat tiba di Jeti Kuala Besut. Kawasan sekitar perhentian bas di jeti Kuala Besut masih sunyi pada waktu begini. Beberapa kumpulan pelancong tempatan dan juga dari luar negara yang tiba awal di sini duduk berehat sambil menunggu hari cerah. Mujur sebuah gerai mamak memulakan perniagaannya awal pagi seperti itu. Dapat juga membasahkan tekak dengan secawan teh tarik dan roti.
6 pagi : Sempat juga kami solat Subuh berjemaah bersama penduduk yang menetap di sekitar jeti Kuala Besut di surau yang berdekatan dengan hentian bas. Surau yang terletak di antara pejabat agensi pelancongan, kedai serta penginapan bajet ini hanya mengambil masa kira-kira lima minit jika berjalan kaki dari hentian bas.
7 pagi : Selesai solat dan menyegarkan diri, masih ada kira-kira dua jam lagi untuk pejabat agensi pelancongan yang menguruskan pakej percutian kami untuk dibuka. Jadi, kami bergerak menuju ke sebuah gerai makan yang menghidangkan aneka juadah sarapan pagi cita rasa pantai timur, antaranya pulut lepa, laksam, akok, nasi minyak dan nasi dagang. Gerai makan ini bukan saja dikunjungi penduduk tempatan tapi juga pelancong pelbagai bangsa. Kuih dan sajian berlauk yang dihidangkan di sini enak belaka dan murah.
9 pagi : Selepas bertemu dengan kakitangan agensi pelancongan, kami berjalan menuju ke jeti dan menaiki bot yang membawa chalet penginapan kami. Perjalanan dengan bot ke chalet mengambil masa kira-kira 35 minit dan mujur cuaca pagi masih redup.
9.35 pagi : Setibanya di chalet, kami dihidangkan dengan minuman sejuk sebagai ‘sambutan’ selamat datang. Sementara menanti chalet disiapkan, kami sempat menikmati pemandangan tepi pantai sambil menikmati minuman yang disajikan.
12.30 tengahari : Dalam tempoh hampir dua jam sebelum bufet makan tengahari dihidangkan, ada di antara kami yang berbaring di bilik bagi menghilangkan penat mengharungi perjalanan dari Kuala Lumpur yang masih bersisa. Ada juga yang awal-awal lagi sudah mula ‘memanas badan’ mengambil kayak yang disediakan chalet dan mendayung di pantai berdekatan. Kemudian, barulah kami bersama-sama menikmati hidangan bufet yang disediakan.
2 petang : Lengkap dengan pakaian sesuai dan peralatan snorkeling yang dibekalkan pihak chalet, kami menaiki bot menuju ke Taman Laut Pulau Perhentian kira-kira 20 minit perjalanan dari chalet. Walaupun pada jam 2 petang, cuaca tidak begitu panas, membuatkan kami dapat melakukan aktiviti snorkeling dengan selesa.
Menariknya pantai di Taman Laut ini, anda tidak perlu berenang jauh untuk melihat karang laut dan juga pelbagai spesis ikan. Tidak sampai tiga meter dari pantai saja kelibat sekumpulan ikan dan karang laut sudah dapat disaksikan. Namun, lebih jauh menuju ke laut, lebih berwarna-warni hidupan laut yang yang kelihatan.
3.30 petang : Kalau diikutkan, tempoh kira-kira dua jam melakukan snorkeling di Taman Laut Pulau Perhentian sememangnya tidak cukup. Namun, kami terpaksa naik kembali ke atas bot untuk ke destinasi seterusnya. Perut yang kembali lapar selepas puas snorkeling dijamu dengan roti bersalut mentega kacang serta buah-buahan.
4 petang : Selepas kira-kira 20 minit meninggalkan Taman Laut, bot kemudiannya berhenti di sebuah pantai. Kali ini bukan untuk snorkeling, tapi untuk melihat keunikan tadahan punca air tawar yang dikenali sebagai Air Berani. Menurut cerita yang disampaikan kakitangan chalet yang juga penduduk tempatan, punca air yang jernih dan menyegarkan ini tidak pernah kering walaupun pada musim panas. Ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk mandi dengan Air Berani ini.
4.45 petang : Puas merasai kesejukan Air Berani, kami kembali semula ke bot dan bergerak pulang ke chalet. Tanpa lengah lagi kami bergegas ke dewan makan untuk menikmati sajian minum petang yang sudah disajikan. Sebelum pulang ke chalet, kami sempat bermain bola tampar di gelanggang berdekatan chalet. Beberapa pekerja chalet tidak melepaskan peluang untuk turut menunjukkan kehebatan bermain sukan ini bersama. Sementara hari masih cerah, kami turut berkayak sekitar pantai berhampiran chalet.
8.30 malam : Oleh kerana terlalu aktif dari pagi hingga ke lewat petang, hidangan makan malam sememangnya dinanti-nanti untuk mengisi perut yang lapar. Hidangan bufet barbeku ayam, daging dan yang disediakan pihak chalet menjadi santapan kami untuk malam ini.
Ahad
7 pagi : Kami agak bersemangat untuk memulakan hari lebih awal. Sarapan juga dinikmati ala kadar kerana kami perlu bergegas ke kawasan Long Beach di Perhentian Besar untuk mendaki bukit berdekatan pantai sebelum cuaca mula terik. Merentas hutan dan mendaki ke puncak bukit di sini menjadi antara pilihan aktiviti yang boleh dilakukan pelancong selain aktiviti air.
8 pagi : Tiba di Long Beach selepas kira-kira 10 minit perjalanan menaiki bot. Kawasan pantai yang putih dan halus pasirnya ini agak sunyi, cuma dua tiga pelancong sudah mula bersantai di pantai sambil membaca buku.
8.30 pagi : Untuk menuju ke puncak bukit, memerlukan kami meredah laluan yang kiri kanannya dipenuhi tumbuhan renek. Hampir dengan puncak, kami melalui stesen jana kuasa hibrid merangkumi solar, angin. diesel dan bateri untuk kegunaan di pulau ini. Di sini, pengunjung dapat melihat lebih dekat sebuah kincir angin yang tinggi serta panel solar berhampirannya.
9.45 pagi : Penat yang dirasai dalam pendakian akhirnya berbaloi apabila kami akhirnya tiba di puncak bukit dan terbentang panorama indah pantai dan lautan Perhentian dari tempat tinggi. Di puncak ini dibina tapak berbumbung dan tangga untuk sesiapa yang mahu turun sedikit di lereng bukit.
10.45 pagi : Puas menghilangkan penat mendaki dan merakam pemandangan di sini, kami mula menuruni bukit menggunakan jalan yang sama tadi. Kami meninggalkan Perhentian Besar dan naik semula bot menuju ke chalet.
11.30 pagi : Kami singgah ke kafe untuk menjamah makanan ringan dan mengembalikan tenaga yang banyak digunakan untuk aktiviti tadi. Selepas itu, masing pulang ke chalet, dan berkemas untuk pulang. Sekali lagi kami menyusuri lautan untuk kembali ke Jeti Kuala Besut dan menaiki bas untuk kembali ke Kuala Lumpur sambil paparan kejernihan air laut dan panorama udara ini asyik bermain di ingatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment