Translate

Wednesday, May 2, 2012

Istimewa Johor

pix_gal0

Jalan-jalan di JB, Nusajaya dan borong kain di Tangkak

SERING pulang ke kampung halaman di Johor Bahru, namun setiap kali itulah tidak berpeluang melawat Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Negeri Johor (JSNAC) di Nusajaya. Seperti yang diuar-uarkan mengenai keistimewaan Kota Iskandar yang setanding Putrajaya, hati terus terpanggil untuk menjejakkan kaki ke bandar baru yang terletak dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). 

Selain itu, bandaraya Johor Bahru atau JB terus dekat dalam hati penulis dengan beberapa lokasi nostalgia dan tempat makan tumpuan yang menjadi suatu kemestian untuk disinggahi.Jalan Wong Ah Fook di tengah-tengah bandaraya dan pusat tumpuan lain ternyata membentuk karektor unik JB. Siapa sangka, dalam arus kemodenan ini, rupanya masih ada lagi kedai roti di JB yang beroperasi mengikut teknologi 100 tahun lalu!Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, penulis sempat singgah di bandar Tangkak yang bersempadan Melaka. Daerah ini cukup popular dengan air terjun Gunung Ledang selain deretan kedai fabrik dan tekstilnya. 

Seindah slogan ‘Cuti-Cuti Malaysia’, berbaloi rasanya bercuti di Johor! 

Sabtu 

10 pagi : Sebaik tiba di JB, aktiviti pertama dilakukan ialah bersarapan pagi di Restoran Hua Mui Sdn Bhd di Jalan Trus dengan menu kopitiam dan western sambil mata meninjau dekorasi ala kolonial premis popular ini. Kedai makan dua tingkat yang dibina pada 1948 ini boleh diibarat kedai kopitiam sebenar dengan pelanggan merangkumi pelbagai bangsa duduk beramai-ramai dan bermesra dari pagi hingga petang. Selain menyajikan hidangan kopitiam dan menu tempatan, signature dish di restoran ini ialah Hainanese Chicken Chop. 

11 pagi : Tidak perlu menaiki kenderaan. Di JB, anda boleh berjalan kaki untuk berkunjungi ke lokasi menarik di sekitar bandar ini. Kali ini lokasi yang dituju ialah deretan bangunan lama di Jalan Trus, Jalan Dhoby dan Meldrum. Bukan saja binaan bangunan yang sesetengah daripadanya berusia hampir 100 tahun, keunikan barangan yang ditawar memperlihatkan keistimewaan tersendiri. 

1 petang : Ketika sibuk membelek beberapa majalah di kedai buku berhampiran, ternampak sebuah kedai roti yang dicari-cari selama ini. Akhirnya dipertemukan juga dengan kedai roti yang dikatakan paling awal dibuka di bandar raya ini. 
Bukan saja faktor usianya yang melebihi separuh abad, dua kedai roti itu, Salahuddin Bakery dan Hiap Joo Bakery & Biscuit Factory masing-masing masih lagi membakar roti dan kek menggunakan ketuhar tradisional dikenali sebagai ‘sabak’. Puas jugalah menikmati kek pisang yang baru saja keluar daripada oven. Memang sedap! 

2.30 petang : Masih lagi berjalan kaki. Kali ini lokasi yang dituju ialah Bangunan Sultan Ibrahim yang dulunya menjadi lokasi bangunan pentadbiran Kerajaan Johor. 
Cantik bangunan lama ini memperlihatkan salah satu ikon wajib untuk dikunjungi. Tatkala ingin kembali ke tempat letak kereta, terlihat pula kedai kain lama yang menjual banyak kain kapas dengan corak kotak-kotak, jalur dan berbunga dengan pelbagai warna. Semeter RM3.50 dengan rekaan klasik, siapalah yang tidak terpesona. 

4 petang : Waktu petang, dihabiskan pula sesi santai di Stulang Laut. Berhampiran pantai pesisir ini kita boleh menikmati Mee Rebus terkenal dengan tulang sum-sum bagi mereka yang sukakan kelainan. 
Memasuki waktu Asar, sempat juga berkunjung ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk menunaikan solat fardu. Masjid berwarna putih yang menghadap Selat Terbau yang menghala ke Singapura ini difahamkan dibina pada 1893. 

5 petang : Puas berjalan-jalan dengan waktu senggang yang ada, banyak juga lokasi lain yang disinggahi termasuk Muzium Diraja Sultan Abu Bakar yang terletak tidak jauh dari Masjid Sultan Abu Bakar. 
Banyak informasi mengenai sejarah Johor termasuk salasilah Kesultanan Johor dipamerkan di muzium ini. Lewat petang pula, cukup indah detik itu dihabiskan di Danga Bay, salah satu lokasi popular. 
Penulis dapat merakamkan saat-saat matahari terbenam, dengan pantulan cahaya serta deretan bot kecil menjadikan kawasan ini persis di luar negara. Banyak tarikan lain di Danga Bay termasuk gerai makanan tradisi Johor, gerai pakaian, cendera hati dan pusat hiburan. 

9 malam : Selepas pulang membersihkan diri, kegelapan malam tidak menghalang untuk satu lagi siri penjelajahan. Bazar JB atau lebih popular dikenali sebagai Pasar Karat yang terletak di Jalan Segget antara lokasi popular waktu malam kerana menawarkan pelbagai barangan termasuklah pakaian, kasut, beg, tali pinggang, mainan serta barangan antik. 
Tidak seperti konsep downtown di Kuala Lumpur, istimewanya Pasar Karat ini ialah kita boleh mendapatkan pelbagai barang antik seperti kipas, piring hitam, beg, perkakas dapur hinggalah dekorasi rumah pada harga cukup murah! Konsepnya cukup santai di mana penjual hanya membentangkan kain di kaki lima, itulah yang menariknya serta boleh tawar menawar. 

11 malam : Hendak makan apa saja memang boleh didapati di Johor Bahru. Jika ingin makan sate cocok, berkunjung saja di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Andai ingin menikmati sate atau yong tau fu, lokasi popular di Kampung Melayu atau jika mengidam bubur nasi, tempat tumpuannya di Sentosa. 
Namun, penulis hanya mahu lepak-lepak saja dan memilih untuk berkunjung ke Restoran Singgah Selalu. Popular di kalangan masyarakat tempatan terutama anak muda, lebih 100 menu makanan boleh didapati di restoran ini. 

Ahad 

8.30 pagi : Penulis memilih aktiviti berjoging di Taman Bunga yang terletak di perkarangan Istana Besar Johor berhampiran Muzium Sultan Abu Bakar. 

10 pagi: Adatlah jika sudah bersenam, perut mulai berkeroncong. Terasa ingin menikmati Laksa Johor yang menjadi antara menu sarapan pagi popular selain lontong kering, nasi lemak, soto dan mee rebus. 
Tidak sukar mendapatkan menu istimewa ini kerana hanya perlu memandu di Pasar Kampung Melayu. Melihat gelagat orang ramai menikmati suasana pagi cukup mengimbau nostalgia yang rasanya tidak lagi ditemui di Kuala Lumpur. 

12.30 tengah hari : Sebelum meninggalkan keluarga dan kampung halaman, kami sekeluarga sepakat untuk menjamu selera Nasi Ambang yang cukup popular di Bandar Baru Uda. Inilah detik terakhir sebelum meninggalkan bandar Johor Bahru dan berhenti singgah sebentar di JSNAC, Nusajaya. 

2.45 petang : Tidaklah sukar menuju ke Nusajaya yang menjadi salah satu ikon pembangunan baru di Johor. Untuk ke JSNAC, penulis memandu menyusuri lebuh raya Gelang Patah dengan jarak perjalanan kira-kira 35 minit dari Johor Bahru. 

4 petang : Memang sungguh bagai dikata, pusat pentadbiran baru Kerajaan Johor ini saling tidak tumpah Putrajaya. Ikon bangunan dengan aneka bentuk memperlihatkan kecekapan dan pembangunan terancang lokasi ini. Mungkin dalam tempoh lima tahun daripada sekarang, ia lebih maju dengan bangunan komersial, pusat pelancongan, resort mewah dan pusat hiburan. 

6 petang : Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, penulis terpanggil juga untuk singgah ke pekan Tangkak yang kebetulan mudah dihubungkan menerusi Lebuhraya Utara Selatan. 
Kurang lima minit memandu sebaik keluar daripada tol Tangkak, penulis sudah sampai di bandar yang digelar ‘syurga kain atau bandar fabrik’. Mengapa tidak, kira-kira 50 gedung menawarkan pelbagai jenis fabrik dengan harga cukup murah. Sama ada mahu membeli kain langsir, kain baju Melayu, set cadar hinggalah sarung kerusi, semuanya ada. Biarpun lahir dan dibesarkan di negeri paling selatan ini, rasanya masih belum penuh ilmu di dada serta informasi mengenai sejarah Johor. Andai mahu menikmati sajian enak selain melihat sejarah Kesultanan Melayu lama, rasanya Johor antara negeri ideal untuk dikunjungi. Ternyata, Johor sungguh istimewa! 

INFO: 
Johor Bahru 
  • Johor Bahru atau singkatan sebagai JB adalah ibu negeri Johor Darul Takzim yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia. 
  • Memiliki lebih sejuta orang penduduk, bandaraya metropolitan antara yang termaju di Malaysia ini adalah pusat perindustrian, perdagangan dan pelancongan utama. 
  • Pelancongan adalah penyumbang yang besar dalam ekonomi Johor Bahru di mana 60 peratus daripada pelancong memasuki bandaraya ini melalui Singapura. 
  • Tanjung Puteri, nama asal Johor Bahru diasaskan pada tahun 1855 oleh Temenggong Daeng Ibrahim (Raja Temenggong Tun Daeng Ibrahim), bapa kepada Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim, seorang Sultan yang amat disayangi. 
  • Johor Bahru juga menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah terutama penubuhan UMNO (United Malays National Organisation) pada 1946. Sejak merdeka, Johor Bahru mengalami kemajuan yang amat pesat di bawah pemerintahan kerajaan Malaysia. 
  • Pada 1 Januari 1994, Johor Bahru diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya, manakala Datuk Hashim Yahya menjadi Datuk Bandar Johor Bahru yang pertama.


Nusajaya 
  • Nusajaya yang terletak di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah pusat pentadbiran baru Kerajaan Johor serta menjadi salah satu pemacu ekonomi baru negara untuk mencapai status negara maju pada 2020. 
  • Nusajaya meliputi tujuh komponen iaitu logistik dan industri; kawasan kediaman; resort bersepadu pesisir pantai Puteri Harbour; hab perubatan; ‘EduCity’ atau bandar raya ilmu selain Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Negeri Johor (JSNAC). 
  • WPI ialah kawasan seluas 2,217 hektar bersamaan 2 1/2 kali Singapura khususnya dalam daerah Johor Bahru akan dibangunkan sebagai bandar raya metropolis. 
  • Syarikat berkaitan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dipertanggungjawab memajukan wilayah itu untuk muncul sebagai bandar termaju dan termoden di rantau ini sehingga 2025. 
  • Lokasi Nusajaya yang termasuk dalam WPI, secara tidak langsung melambangkan imej pengurusan baik dan kecekapan ekonomi negara pada masa depan dengan pelaburan mencecah RM60 bilion.

No comments:

Post a Comment