Translate

Wednesday, May 2, 2012

Anugerah alam | AIR Terjun Sungai Pandan, Kuantan


 AIR Terjun Sungai Pandan jadi pilihan keluarga yang mahu berhibur di hujung minggu.


Dingin Air Terjun Sungai Pandan tarikan pengunjung, latar filem epik hebat terbitan KRU Studios

AIR Terjun Sungai Pandan, Kuantan yang menjadi pilihan lokasi penggambaran filem epik Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios, baru-baru ini dianggap antara destinasi pelancongan pilihan di Pahang.

Mengapa tidak, lokasinya yang terletak berhampiran bandar Kuantan mudah dikunjungi dengan habitat yang menjanjikan 1,001 rahsia alam - di tengah-tengah hutan hujan tebal tropika tanah rendah, Rizab Hutan Simpan Berkelah.
Selain kejernihan air terjun pada ketinggian 100 meter, lokasi pilihan kolum 48 Jam minggu ini juga merangkumi kawasan hutan lipur seluas 50 hektar yang menyajikan keindahan flora dan fauna serta aktiviti hidupan liar seperti tapir dan spesies burung liar tropika.Sehubungan itu, kunjungan ke Kuantan tidak lengkap tanpa merasai kedinginan Air Terjun Sungai Pandan yang cukup istimewa.

Baru-baru ini, penulis menerima pelawaan Pengarah Urusan Sri Panching Timur Sdn Bhd (SPTSB), Mohd Faiisal Romli untuk menjejaki keindahan air terjun ini. Syarikat Sri Panching Timur dilantik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk menyelia dan menyelenggara destinasi pelancongan permai ini.

Ikuti catatan ini...

Sabtu 
9 pagi :
 Penulis tiba di Air Terjun Sungai Pandan selepas dua setengah jam perjalanan dari ibu negara melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sejauh 229 kilometer. 

Ketibaan penulis disambut kicauan burung dan deruan air yang mencurah jatuh di air terjun itu.

Bayaran masuk RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak dikenakan termasuk bayaran letak kereta dan pelbagai kemudahan awam yang disediakan pihak pengurusan.

10 pagi : Penulis mendapati kenderaan pengunjung ‘berbaris’ panjang untuk mendapatkan petak letak kereta paling hampir dengan air terjun. Sangkaan penulis, jam 9 pagi terlalu awal untuk menjejaki pusat rekreasi ini, rupa-rupanya meleset kerana kenderaan dilihat berderet-deret memenuhi Air Terjun Sungai Pandan termasuk bas pelancong dari Singapura.

11 pagi : Selepas menyusuri persisiran anak sungai sambil mendaki, penulis berhenti di lokasi air terjun yang paling atas. Lokasi ini menjadi pilihan kerana tempat lain sudah dipenuhi pengunjung terutama keluarga yang datang berkelah.

Ramai memilih untuk mandi di bawah curahan air terjun yang dingin dan jernih. Penulis tidak ketinggalan menyertai kumpulan pengunjung sambil melihat pelbagai aksi pengunjung untuk dirakamkan di lensa.

1.30 petang : Penulis menikmati makan tengahari nasi campur dengan juadah lauk tradisional di atas batu bersebelahan air terjun. Cukup berselera menjamah hidangan dalam persekitaran yang sungguh nyaman, apatah lagi selepas keletihan bermain air.

Penulis melihat kebanyakan pengunjung membawa makanan sendiri dan ada yang mengadakan jamuan barbeku di kawasan khas yang disediakan.

4 petang : Penulis kemudian dibawa meninjau di sekitar kawasan hutan lipur untuk sesi fotografi ketika matahari sudah mula condong ke barat. Kami menyeberang jambatan gantung sepanjang 30 meter pada ketinggian 50 meter, menyusuri anak Sungai Pandan hingga ke hilir serta menyusup denai di celah rimbunan buluh untuk melihat pemandangan air terjun dari atas bukit.

7 petang : Selepas kepenatan meredah hutan, penulis sempat berendam sekali lagi di air terjun untuk membersihkan badan sebelum memasuki khemah yang disediakan bagi menikmati pengalaman bermalam di air terjun. Hidangan makan malam adalah menu barbeku dengan ikan bakar dari spesis ikan sungai yang ditangkap di sekitar Sungai Pandan dan Sungai Lembing.

Ikan bakar bersama air asam dan nasi goreng kampung dan kentang bakar, sungguh menyelerakan sambil memanaskan badan di depan unggun api.

11 malam : Kesempatan bermalam tidak dibiarkan berlalu begitu saja kerana suasana malam di hutan lipur ini menjanjikan kelainan tersendiri. Berbekalkan lampu suluh, penulis dibawa menyeberangi beberapa anak sungai untuk memasuki hutan lipur itu bagi menjejaki tapir, pelanduk dan landak.

Bagaimanapun, hujan renyai mengganggu aktiviti ini lalu penulis hanya bertemu tapak tapir dan lubang persembunyian landak.

Ahad

6 pagi :
 Selepas tidur nyenyak dibuai deruan air terjun, penulis bangun awal kerana mahu berada di tengah hutan sebelum fajar menyinsing bagi menyaksikan lebih 50 spesis burung.

Antara spesies burung yang dapat dilihat termasuk murai bukit, burung matahari, kelicap dan ketitir yang berkicau mencari makan sebaik matahari menyinar. 

Sambil menghayati irama alam yang menakjubkan itu, penulis menikmati bekalan sarapan pagi ubi kayu rebus dimakan dengan gula merah dan kelapa parut, sambil disulami kopi panas. Sarapan tradisional yang ringkas tapi cukup membekalkan tenaga.

10 pagi : Aktiviti meredah Hutan Lipur Sungai Pandan seluas 50 hektar itu diteruskan lagi. Kami meneroka kawasan kaki bukit yang dipenuhi rimbunan buluh, rotan dan pokok spesies Diterocarpaceae berteras padu seperti belian, keruing, keranji, merbau dan cengal. Pokok ini mencatat ketinggian antara 60 hingga 70 meter serta menjadi habitat lotong, monyet dan ungka.

Menyelusuri rumpun buluh, penulis ditunjukkan kaedah mengenal jenis rebung serta cara-cara mencabutnya dari rumpun buluh tanpa terkena miang berbisa pada pangkalnya.

2 petang : Selepas menikmati makan tengahari di gerai nasi campur berhampiran tapak letak kereta, penulis dibawa menjejaki titian tinjau (board walk) di kawasan rizab botani. Titi gentian sepanjang satu kilometer itu merentasi hutan seluas dua hektar yang dipenuhi spesis periuk kera, orkid dan paku pakis.

Apa yang menarik, spesis periuk kera unik dari jenis Nepenthes Rafflesiana boleh ditemui di sini. Ia adalah spesis terbesar yang mampu menakung kira-kira satu liter air di dalam 'periuk'nya. Keunikan itu menyebabkan hutan lipur ini kerap menjadi lokasi penggambaran iklan dan program televisyen antarabangsa.

5 petang : Penulis meninggalkan Air Terjun Sungai Pandan dengan pelbagai pengalaman dan pengetahuan mengenai hutan hujan tropika dan tarikan alam di lokasi bertuah ini. Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat mengenai lokasi menarik ini boleh menghubungi 019-5177477, 016-922 4777 atau layari laman web www.pandanwaterfall.my.

INFO: Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan
  • Terletak 25km dari Bandar Kuantan atau 15 minit dari Plaza Tol Gambang dan 30 minit dari Plaza Tol Kuantan.
  • Satu-satunya air terjun di Malaysia yang membolehkan kenderaan pengunjung masuk dan parkir sehingga ke gigi air.
  • Bayaran masuk RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak manakala tandas dan letak kereta percuma.
  • Air terjun setinggi 100 meter dengan direntasi jambatan gantung sepanjang 30 meter.
  • Rizab botani seluas 2 hektar dipenuhi spesis periuk kera, orkid dan rotan manakala hutan lipur seluas 50 hektar dihuni spesis tapir dan burung liar tropika.
  • Lokasi sesuai untuk rekreasi lasak seperti perkhemahan, absiling, flying fox dan meredah hutan.
  • Tapak riadah dan santai untuk aktiviti hari keluarga atau program korporat seperti kursus jati diri dan kem motivasi.

No comments:

Post a Comment