Translate

Wednesday, May 2, 2012

Tanam semula karang

CHALET atas air menjadi tarikan Pangkor Laut Resort.
CHALET atas air menjadi tarikan Pangkor Laut Resort.
PENGALAMAN menanam semula terumbu karang sememangnya asing bagi sesetengah orang, termasuk penulis yang beranggapan hidupan marin itu hanya boleh ‘dihidupkan’ secara semula jadi. 

Tidak pernah terlintas di fikiran, terumbu karang yang sememangnya diketahui amat sensitif dengan persekitarannya dan hanya boleh hidup di perairan yang bersih, sebenarnya boleh ditanam semula.Apatah lagi, usaha pembiakannya bukan saja bertujuan menyelamatkan hidupan itu, tetapi memastikan kelangsungan terumbu karang berikutan ekosistem bumi yang kian tidak menentu yang mana 30 peratus daripada spesies itu di seluruh dunia, mati akibat pemanasan global.Kesannya turut dirasai manusia kerana terumbu karang bukan sekadar perhiasan dasar lautan tetapi bertindak sebagai benteng dan perlindungan pantai terhadap ombak yang kuat. 

Ia juga menyediakan kawasan yang selamat dan penuh dengan makanan untuk tumbesaran anak-anak ikan kerana ia kaya dengan makanan dan perlindungan kepada 50 peratus spesies hidupan marin. 

Justeru, kelangsungan terumbu karang itu sewajarnya dipastikan kerana kewujudannya turut memanjangkan hayat hidupan marin lainnya. Menyedari kepentingan itu, syarikat korporat, YTL Group mengadakan program pemuliharaan ‘Reef Check Coral Transplant, Reef and Beach Clean-Up’ di pusat peranginan terkemuka miliknya, Pangkor Laut Resort (PLR), baru-baru ini. 

Selain tujuan murni menyelamat dan memulihara hidupan laut, usaha yang disertai 200 kakitangan syarikat itu juga antara khidmat sosial PLR mendidik kakitangannya menjaga alam sekitar khususnya hidupan di pusat peranginan bertaraf dunia itu, termasuk melakukan pembersihan pantainya. Ikuti pengalaman 48 jam penulis menyertai program ‘Reef Check Coral Transplant, Reef and Beach Clean-up’ ini. 
SABTU 

10 pagi
 
Rombongan media dan saintis hidupan laut tiba di jeti Lumut dari Kuala Lumpur yang mengambil masa selama tiga jam perjalanan. Rombongan disambut oleh kakitangan Pangkor Laut Resort. Kami dibawa menaiki bot ke Pangkor Laut Resort, sebuah pulau persendirian milik YTL Group. 

10.30 pagi 
Dari jauh sudah kelihatan keindahan resort ini. Tidak hairanlah, ia menjadi tumpuan ramai yang terpikat dengan keunikan persekitarannya yang masih mengekalkan ciri-ciri semula jadinya. Kami disambut pihak pengurusan PLR yang diketuai Pengurusnya, Dalip Singh dan Pengarah Perhubungan Awam YTL Hotels, Tracy Khee. Rombongan media diberikan taklimat ringkas mengenai aktiviti sepanjang berada di sini sebelum diberikan bilik untuk beristirehat. 

2.30 petang 
Aktiviti pertama penulis di PLR adalah sesi taklimat mengenai kepentingan menjaga hidupan laut terutama karang di hadapan kakitangan yang terbabit dalam program itu. Taklimat ringkas tapi cukup bermaklumat itu disampaikan Pensyarah Fakulti Marin Biologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kee Alfian Abdul Adzis dan Pengurus Besar Reef Check Malaysia, Julian Hyde. 

3.00 petang 
Kumpulan petugas PLR dan rombongan media dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan lokasi bagi menyempurnakan pembersihan pantai, disebabkan faktor keluasan pulau yang agak besar. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan yang memulakan usaha membersihkan di pesisir pantai dan kumpulan kedua pesisiran laut. Air yang jernih dan ombak yang tidak terlalu kuat memberi kelebihan kepada kami untuk melakukan proses pembersihan ini. 

5.30 petang 
Selepas kira-kira dua jam, penulis tidak melepaskan peluang menikmati keindahan panorama, termasuk di Marina Bay, salah satu pantai yang terpelihara di PLR. Tidak ketinggalan, peluang menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam. 

8 malam 
Suasana malam di PLR sangat mendamaikan ditambah dengan tiupan bayu laut yang mendamaikan. Tidak hairanlah jika PLR sentiasa menjadi pilihan pasangan untuk datang berbulan madu di sini. Malam ini rombongan media dan saintis diraikan dalam satu majlis makan malam oleh pengurusan PLR. Selain menikmati makanan yang enak kami juga dihidangkan dengan persembahan nyanyian. Tidak banyak dilakukan dan kesempatan itu memberi peluang penulis berborak dengan Kee Alfian. Saintis ini menyuarakan kebimbangannya mengenai terumbu karang yang kian terhakis atau mati disebabkan kecuaian manusia selain faktor pemanasan global. Beliau turut menyelar sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menjadikan terumbu karang barangan hiasan. 

AHAD 

8 pagi
 
Cuaca sedikit mendung selepas hujan pada sebelah malamnya. Namun itu tidak sedikit pun mematahkan semangat saintis hidupan laut untuk meneruskan misi mereka menanam semula terumbu karang. Kami bertolak menggunakan bot ke lokasi pertama sekitar dua kilometer dari pulau untuk memotong sedikit terumbu karang bagi proses percambahan. Barisan saintis yang diketuai oleh Julian Hyde telah bersiap sedia dengan peralatan dan kelengkapan menyelam. 

9.30 pagi 
Matahari kian meninggi tapi penulis dan jurugambar masih setia menanti barisan saintis muncul ke permukaan air setelah hampir satu jam mereka melakukan proses selaman untuk memotong sedikit terumbu karang. Apa yang dilakukan oleh mereka adalah mencari terumbu karang yang masih hidup sebelum memotong sedikit terumbu karang sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas sebelum di bawa ke lokasi penanaman terumbu karang. Ini disebabkan terumbu karang tidak mampu hidup lama di atas permukaan air dan terdedah kepada bahang cahaya matahari. 

10.30 pagi 
Rombongan media dan saintis segera bergegas ke lokasi penanaman terumbu karang yang terletak di sekitar PLR. Terumbu karang yang siap dipotong akan dimasukkan ke dalam satu tiub plastik sebelum diletakkan di atas sangkar cambahan atau tukun. Sangkar seberat 100 kilogram setiap satu ini dipasang awal dan diikat ke dalam air. Sebelum proses penanaman, saintis akan memeriksa tahap kualiti air agar penanaman terumbu dapat dijalankan. Terumbu karang yang siap diletakkan di dalam plastik dibawa turun oleh saintis bagi proses penanaman. Difahamkan, terumbu karang dibiarkan hidup secara semula jadi di situ selama enam bulan sebelum saintis memeriksa semula proses percambahan terumbu karang ini. Terumbu karang memerlukan masa yang panjang untuk membesar dan setelah membesar ia akan diletakkan di sekitar kawasan PLR. 

12 tengah hari 
Setelah berjam-jam berada di atas laut bagi melihat sendiri proses pemulihan dan penanaman semula ini kami pulang ke jeti untuk menikmati makan tengah hari. Rombongan media akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang ini. 

2 petang 
Sebelum rombongan media berangkat pulang, kami dibawa meninjau PLR menggunakan jalan darat dan laut, termasuk kemudahan chalet dan lapan villa eksklusif yang mempunyai kolam renang dan pembantu rumah khas untuk mereka yang menyewa di sini. Turut ‘menemani’ kami, sekawan burung enggang serta hidupan liar seperti monyet, tupai dan helang yang menjadi sebahagian keunikan PLR. Tidak hairanlah, berada di PLR seolah-olah berada di sebuah alam kayangan hasil gabungan keindahan lautan dan hidupan hutannya. 

5 petang 
sudah sampai masanya untuk penulis dan rakan media yang lain meninggalkan PLR yang penuh dengan keindahan dan cerita yang tersendiri ini. Kami menaiki bot menuju ke jeti Lumut sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Memori dan ilmu yang diperoleh sepanjang berada di sini akan tetap menjadi kenangan indah.

No comments:

Post a Comment