Translate

Wednesday, May 2, 2012

Cabaran alam



 PENGALAMAN menaiki gajah sesuatu yang tidak harus di lepaskan di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah.

Adrenalin diuji di hutan Raub

ADA banyak sebab untuk ke Raub, Pahang walaupun bandar itu mungkin jarang-jarang menjadi antara destinasi pilihan percutian pada hujung minggu. Tidak jauh jarak perjalanan ke Raub andai dari kota besar seperti Kuala Lumpur, menyebabkan daerah bersebelahan dengan Bentong dan Jerantut ini tidak harus dipinggirkan sebegitu saja.
Maka, tatkala produksi program percutian pelancongan Destinasi ke Destinasi, Astro Prima bertandang ke Raub, baru-baru ini peluang sama dimanfaatkan sekumpulan wartawan untuk turut sama merasai dingin udara hutan hujan khatulistiwa yang kekal terpelihara.Seakan lukisan alam berlatarkan hutan menghijau, begitulah realitinya landskap di bumi Raub yang cukup memberikan inspirasi buat pemuja alam semula jadi. Lebih-lebih lagi dengan kedinginan udara dari Bukit Fraser, tiada sebab untuk menafikan kedamaian sebenar hutan yang belum terusik dek pembangunan kota.

Semalaman di daerah terpencil itu siapa sangka pelbagai tarikan alam mampu menjanjikan nikmat percutian sebenar, pada masa yang sama perasaan turut terbuai dek keasyikan Casabrina Vacation Villas & Spa (Casabrina) yang bertaraf enam bintang di lereng bukit menghala ke Bukit Fraser.

Di sebalik layanan bak tetamu VIP di Casabrina, masa dihabiskan mendekati gajah di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah serta aktiviti ekstrem di Jeram Besu.. Inilah percutian eksotika...

SABTU 
8 pagi: Sementelah banyak aktiviti yang direncanakan sepanjang berada di Raub, maka rombongan media serta krew produksi Destinasi Ke Destinasi perlu bertolak lebih awal untuk meredah Lebuh Raya Karak menghala ke Pantai Timur Semenanjung. Lokasi berkumpul ialah di Astro, Sungai Besi Kuala Lumpur. Berkobar perasaan pagi itu, walaupun jujurnya minda masih belum berkobar dengan gejolak kegembiraan aktiviti sepanjang di sana kelak.

10.15 pagi: Untungnya menaiki bas persiaran, maka tidaklah terasa letih terutama apabila menyusuri jalan berliku untuk ke daerah Raub. Dalam ralit menyaksikan keindahan hutan belantara serta bukit bukau yang menghijau, tanpa sedar destinasi penginapan sudah pun tiba. Nah, tersergam di depan mata pintu gerbang Casabrina yang cukup eksklusif. Bagai berada di pulau pelancongan Bali lagaknya, begitulah bisik hati apabila menjejaki di villa bertaraf enam bintang ini. Mana tidaknya, terletak di lereng bukit, Casabrina memang begitu mempesonakan sesiapa saja yang bertandang ke situ sehingga timbul rasa pelik kerana tidak disangka-sangka adanya sebuah resort mewah di kawasan terpencil seperti itu. Ditambahkan dengan layanan cukup mesra serta jemputan minuman selamat datang, terdetik rasa kagum melihat persekitaran villa berkonsepkan moden nusantara itu.

11 pagi: Walaupun hanya menawarkan beberapa unit bilik serta sebuah banglo ekslusif, setiap satu daripada villa itu menjanjikan keunikan tarikan binaan tersendiri apatah lagi kesemua bilik seolah-olah menyatu dengan alam semula jadi di sekitarnya. Malah pemiliknya Casabrina, Felix Tee, turut sama membawa kesemua rombongan meneroka satu persatu ‘keajaiban’ Casabrina hingga ada yang melopong terpesona!

11.30 pagi: Selepas membahagikan tempat penginapan bermalam, tiba masanya untuk menjamu selera. Terpaksa menikmati makan tengah hari lebih awal kerana selepas ini rombongan akan berangkat pula ke Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang mengambil masa kira-kira sejam dari situ. Bau masak lemak ikan patin tempoyak tidak dapat disembunyikan dari dapur sehingga akhirnya menjadi antara menu membangkitkan selera tengah hari itu.

1 petang: Kekenyangan dek menu tradisi Pahang itu, tanpa sedar rombongan selamat tiba di pusat konservasi gajah yang dibuka pada 1989. Bukanlah kali pertama ke pusat perlindungan gajah liar itu, tetapi suasananya nyata berbeza kali ini kerana beberapa kawasan sekitarnya mula dibangunkan terutama kandang dan kemudahan pelancongan. Ibaratnya tidak malulah untuk mempelawa pelancong melihat pusat konservasi gajah selepas melihat sendiri perubahan di depan mata. Selain peluang mandi-manda dengan gajah, pelancong boleh memberi makan, menaiki gajah serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan gajah. Bukan setakat gajah liar dari seluruh Semenanjung yang ditempatkan di situ, ada juga kes berkaitan anak gajah ditinggalkan induknya dan gajah cacat ditempatkan di situ. Antara nama-nama gajah yang meniti di bibir ialah Sanom, Selendang, Abong dan Siput dengan pelbagai gelagat mencuit hati. Di situ, terdapat keseluruhan 22 ekor gajah termasuk enam ekor jantan serta dua ekor gajah denak yang banyak membantu tugas-tugas menyelamat serta pemindahan gajah di seluruh negara.

3.30 petang: Masih lagi di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah. Kali ini rombongan diberi maklumat video mengenai projek konservasi gajah yang disampaikan oleh Penolong Pengarahnya, Ahmad Kamsul Alias. Seperti mana kata beliau, fungsi utama penubuhan pusat itu ialah untuk memindahkan gajah liar daripada kawasan berisiko, selain memberi mendidik gajah. Diberi makanan seperti batang pisang, rumput, kacang, buah-buahan serta daun hutan, kesemua gajah yang ditempatkan di situ diibaratkan cukup bertuah serta disayangi berbanding berada di hutan sendiri.

5 petang: Kembali ke Casabrina. Tidak menunggu lama kerana keletihan dimanfaatkan untuk berenang yang menghadap bukit bukau menghijau. Dalam pada itu, sajian minum petang juga sudah menanti siap dengan buah-buahan tempatan. Umpama layanan VIP begitulah lagaknya sambutan yang diberikan di Casabrina.

8.30 malam: Sebaik membersihkan diri, sekali lagi kesemua berkumpul di ruang makan hingga ada wakil media yang menyindir membayangkan berat badannya akan bertambah kalau seminggu menghabiskan percutian di Casabrina. Kalau difikirkan logiknya, memang begitulah situasinya kerana layanan serta menu sajian cukup menyelerakan sesiapa saja. Tidak sia-sia bermalam di villa mewah ini yang diibaratkan sesuai dengan harga pakejnya...

10 malam: Kesempatan waktu ini dimanfaatkan untuk menemuramah pengacara Destinasi ke Destinasi, Nur Jihan Musa atau Jihan yang juga Naib Juara Raja Lawak musim ketiga. Sebagaimana kata Jihan, daerah Raub adalah antara lokasi yang dikunjunginya untuk melengkapkan pengembaraan 13 episod kembaranya di seluruh negara. 

12 tengah malam: Gelak ketawa melayani kerenah Jihan yang cukup peramah, tanpa sedar waktu sudah larut malam. Bunyi cengkerik seolah-olah biola alam mengiringi rasa mengantuk di tengah hutan belantara itu. Esok pagi, menjanjikan lebih aktiviti mencabar sebelum pulang ke Kuala Lumpur.


AHAD

7 pagi: Mahu saja rasanya menarik lagi selimut kerana keasyikan malam di Casabrina tetapi mengenangkan adanya aktiviti perlu disertai pagi ini, digagahkan juga kudrat untuk bangun awal pagi. Mandi dengan kedinginan air kaki bukit, rasa mengantuk bertukar segar. Sebaik menikmati sarapan pagi kopi panas dan roti, aktiviti yang dijanjikan pagi ini ialah acara white water rafting serta flying fox di Pusat Rekreasi Jeram Besu.

9 pagi: Perjalanan lebih sejam akhirnya membawa ke Jeram Besu. Walaupun agak takut mulanya untuk menyertai aktiviti ekstrem, tetapi apabila mengenangkan ramai rakan wartawan yang sanggup mengambil risiko akhirnya digagahkan juga diri untuk merasai debaran yang sama. Dimulakan dengan aktiviti flying fox, apa yang lebih mencengkam rasa getar ialah setiap daripada peserta perlu merentasi di atas arus deras Sungai Lipis sejauh lebih 100 meter. Walaupun pernah mencuba aktiviti serupa, tetapi penulis belum pernah merasai pengalaman menyoroti flying fox merentasi anak sungai dengan ketinggian lebih 50 meter. Sederas air Sungai Lipis, begitu jugalah pantasnya degup jantung ini. Tetapi, sebaik sudah mencuba kali pertama, rasa ketagih pula untuk mencuba kali kedua. Alamatnya, kami semua diberi peluang untuk kali kedua...

11 pagi: Menanti cabaran kedua, kali ini acara yang dinanti-nantikan ialah white water rafting atau berakit di arus deras Sungai Lipis sekali gus menguji kemampuan peserta dalam mengharungi kuasa alam semula jadi. Bukan suatu ‘tiket’ mudah untuk peserta menikmati acara penuh berisiko ini, memandangkan sebelum itu perlu ada beberapa ujian keberanian termasuk berenang melawan arus untuk memastikan persediaan rapi peserta. Puas menanti, akhirnya tiga bot sedia menguji perjalanan lebih lima kilometer yang mengambil masa kira-kira 40 minit. Daripada sekecil cabaran hingga hampir menterbalikkan bot, begitulah cabaran yang diharungi kami semua. Malah, bot kami paling riuh berbanding dua bot lain walaupun kalau diikutkan tiadalah bahayanya kerana dibantu oleh jurumudi berpengalaman. Namun, kata orang kala tidak riuh tidaklah meriah, begitulah gamatnya gelagat sepanjang berakit beramai-ramai. Pada babak-babak terakhir, kesemua peserta berpeluang untuk berenang bersendirian sambil dihanyutkan air menambahkan lagi keseronokan. 

12.15 tengah hari: Sebelum cabaran benar-benar tamat, sekali lagi pengalaman berakit dilalui di mana kali ini kesemua peserta di bawa ke lokasi yang benar-benar menguji persefahaman sekumpulan. Tidak lama, tetapi arus deras yang menanti memang cukup menyentap perasaan. Akhirnya, selepas puas menjerit dan beraksi ekstrem barulah cabaran benar-benar berakhir. Selepas membersihkan diri, jamuan minum kecil-kecilan diberikan sebagai penghargaan buat peserta yang berani untuk menguji adrenalin diri.

1.40 petang: Kembali semula ke Casabrina untuk berkemas pulang. Rasa sayang pula mahu meninggalkan penginapan mewah. Sudahlah mendapat layanan bak keluarga diraja, masa seolah-olah berlalu cukup pantas kerana tidak berpeluang untuk menghabiskan banyak waktu di resort itu memandangkan banyak agenda di habiskan di sekitar Raub. Pun begitu, tidak ralatlah kiranya memandangkan bukan semua orang bertuah mendapat layanan enam bintang sebagaimana yang dinikmati.

2.15 petang: Sebelum meninggalkan 1,001 kenangan di Casabrina, sekali lagi sajian makan tengah hari dinikmati dengan sajian ala kampung. Ulam-ulaman, rendang, masak gulai dan buah-buahan tempatan menjadi pembangkit selera petang itu. Rasa begitu mencemburui, lantas seketika cuma dapat dihabiskan di daerah hutan penuh kehijauan itu. Tidak melengah masa, akhirnya rombongan perlahan-lahan meninggalkan Casabriana dengan kenangan terindah.

3 petang: Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, sempat juga waktu singkat dimanfaatkan di bandar Bentong yang kebetulan sehala destinasi ke ibu negara. Dapatlah berhenti seketika sebelum perjalanan ditamatkan di Astro. Dua hari beradu dengan alam di bandar Raub, keletihan bagai terubat kerana leka udara segar hutan belantara. Bagi penggemar rimba, inilah masanya untuk bertaut dengan pencipta-Nya!


Destinasi Jihan

MENURUNI gunung curam, berpaut di air deras hinggalah terpaksa memegang haiwan eksotik, semua itu pengalaman yang cukup mencabar dilalui pengacara Destinasi Ke Destinasi, Jihan, sepanjang dia terbabit dalam rakaman dokumentari 13 episod di Astro Prima bermula 9 Januari lalu.

Berkongsi pengalaman di sebalik konsep destinasi percutian tempatan itu, Jihan menyifatkan dia menempuh pengalaman baru yang memang asing dilaluinya sebelum ini kerana antara paparan dalam babak dokumentari itu ialah dia harus berdepan dengan beberapa cabaran berbeza dalam hidup.

“Setiap destinasi yang saya kunjungi memberi dimensi baru di mana bukan saja gaya hidup yang memang berbeza, paparan aktiviti yang cukup unik menambah tarikan untuk kita mencuba setiap benda baru yang sememangnya ada ditawarkan di negara sendiri,” kata Jihan yang turut menceritakan babak di mana dia hampir bertarung dengan maut.

Menceritakan insiden yang berlaku di Gunung Kinabalu, Sabah dan Pulau Dayang di Johor, Jihan, 28, berkata dia berdepan dengan keadaan cuaca hujan di dua lokasi itu di mana tragedi di Gunung Kinabalu ialah dia hampir tergelincir pada arus deras hingga dia terpaksa berpaut pada kayu.

Ketika di Pulau Dayang pula, Jihan sekali lagi berdepan dengan bahaya di mana kali ini dia berdepan dengan laut yang bergelora ketika dalam perjalanan ke pulang berkenaan. Mujur, kesemua aktiviti yang dilakukan wanita cekal ini tidak bertukar tragedi yang membahayakan.

“Syukur, kerana semua kesulitan dapat diatasi hingga kalau diimbas kembali semua pengalaman itu, memang tidak terfikir yang saya mampu lakukan. Kebetulan pula, saya bukanlah jenis yang brutal sebenarnya dan gayat pula terutama di tempat-tempat tinggi.

“Tetapi, demi tugas dan diberi kebebasan mengikut cara saya, nampaknya saya mampu berdepan dengan semua cabaran ini. Hingga siapa sangka, tanpa sedar saya tidak lagi berasa gayat dan boleh melakukan semua acara ekstrem termasuklah aktiviti white water rafting, abseiling dan memandu pacuan empat roda.

“Dengan paparan santai, rasanya ia dapat mendekatkan lagi dengan penonton untuk pergi melancong,” kata Jihan.

Program pelancongan Destinasi Ke Destinasi berkonsep diari kembara menyusuri lokasi percutian indah di seluruh Malaysia, di samping meneroka aktiviti lasak yang menyeronokkan. 

Bersiaran setiap Ahad, jam 6.30 petang selama 30 minit di Astro Prima, program itu disiarkan selama 13 episod bermula 9 Januari lalu dengan destinasi yang bermula di Gunung Kinabalu (Sabah), Endau Rompin, Gunung Ledang dan Pulau Dayang (Johor).

Destinasi lain yang dipaparkan menerusi program musim pertama itu ialah Rizab Hidupan Liar Krau, Kuala Gandah dan Taman Negara Merapoh (Pahang), Tasik Kenyir (Terengganu), Gunung Stong (Kelantan), Bukit Merah Lake Town Resort dan Royal Belum (Perak), Gua Kelam dan Wang Kelian (Perlis) serta Kuala Kubu Baru (Selangor). 


Info Casabrina & Raub


  • Casabrina Vacation Villa & Spa (Casabrina) yang terletak di kaki bukit menghala ke Bukit Fraser Pahang adalah seluas 10.9 hektar dengan berlatar belakangkan suasana rimbun hutan hujan. 

  • Menambah tarikan villa yang memiliki seni binaan nusantara kontemporari itu ialah keasyikan pemandangan daripada setiap penjuru seolah-olah menidakkan adanya seni bina secantik itu di tengah-tengah hutan daerah Raub.

  • Eksotika Casabrina dikuatkan lagi dengan hiasan dalaman berkonsepkan Bali. Ini jelas terlihat menerusi dua vila yang tersergam di situ iaitu Villa Amertani dan Villa Aranya yang memuatkan rekaan perabot bali yang cukup berseni. Malah, beberapa villa baru sedang dalam perancangan pembinaannya.

  • Andai mahu menguji kekuatan fizikal dan mental, lakukan juga aktiviti ekstrem white water rafting dan flying fox di Taman Rekreasi Jeram Besu yang terletak sejam perjalanan dari bandar Raub.

  • Jangan lepaskan peluang yang sama untuk melihat gajah di depan mata menerusi aktiviti di Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah. 

  • Maklumat lanjut mengenai pakej ditawarkan di Casabrina Vacation Villa, layari laman web, www.casabrina.net 
  • No comments:

    Post a Comment