Translate

Monday, October 8, 2012

Hiburan terkawal sehingga dinihari


KEGIATAN riadah, hiburan karaoke dan sembang santai sambil menikmati makanan dan minuman di bawah satu bumbung semakin popular dan menjadi trend di bandar-bandar di Lembah Klang.
Bandar raya Shah Alam tidak ketinggalan menampilkan aktiviti popular tersebut melalui sebuah pusat riadah sehenti, Pusat Sukan Triways (PST) yang terletak di Padang Jawa berhadapan bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Selangor.
PST mula menjadi tumpuan pelanggan menjelang tengah malam disebabkan di sebelah siang ramai warga Shah Alam yang bekerja dan hanya akan sampai di rumah menjelang senja.
Pusat riadah tersebut yang beroperasi sejak tiga tahun lalu menyediakan gelanggang futsal, badminton dan snooker yang dibuka seawal pukul 9 pagi dan ditutup menjelang 4 pagi, bergantung kepada tempahan gelanggang pada hari tersebut.
Di samping gelanggang sukan atau riadah, PST turut menyediakan ruang karaoke di luar kafe di tingkat bawah, selain menyajikan makanan dan minuman seperti teh tarik dan air tenaga isotonik.
Pengurus Besar PST, Mokhtar Zainal Abidin berkata, kewujudan PST memberikan alternatif untuk warga Shah Alam beriadah dengan menyertai pelbagai aktiviti sukan, tidak kira siang mahupun tengah malam.
''Antara tujuan PST ditubuhkan adalah untuk menggalakkan orang muda melakukan aktiviti sosial yang sihat seperti beriadah dan berhibur dalam suasana terkawal pada malam minggu.
''Daripada mereka mengunjungi kelab-kelab malam dan terlibat dengan gejala sosial seperti merempit dan penagihan dadah, ada baiknya mereka bermain futsal, badminton dan snooker yang berfaedah untuk kesihatan," katanya.
Pemimpin belia setempat dari Shah Alam, Azhari Shaari, 40, yang sering meluang masa dan bermandi peluh bersama para belia setempat di PST menyifatkan pusat riadah tersebut begitu sesuai untuk golongan tersebut mengeratkan hubungan sesama mereka selepas waktu bekerja.
Katanya, meskipun mereka mula bermain futsal pada pukul 12 tengah malam, namun keasyikan dan keseronokan beriadah di PST menyebabkan mereka kadang-kala tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi.
Azhari berkata, pendekatan PST yang menggabungkan elemen sukan, hiburan dan tempat menjamu selera, menjadikan ia unik dan merupakan satu pembaharuan yang harus dikekalkan serta diperluaskan di seluruh negeri Selangor.
''Di PST ini, para belia dan golongan veteran boleh mengadakan aktiviti futsal dalam suasana penuh semangat kesukanan dengan bayaran berpatutan," katanya.
Seorang pengunjung ruang karaoke dari Pelabuhan Klang, Siti Ramedia Saadon, 28, berkata, PST menyediakan kemudahan yang lengkap untuk beliau dan keluarga bersantai bersama.
''Saya suka datang ke PST kerana suka dengan kualiti sistem bunyi karaoke di sini, selain kemudahan tempat meletak kereta juga memuaskan," katanya.
Adiknya, Siti Fairuz, 25, berpendapat suasana di PST selesa dengan segala kemudahan yang disediakan termasuk tempat untuk bersolat dan menjamu selera.
Sementara itu, pengusaha karaoke di PST, Abu Bakar Latif atau DJ Burn, 40, berkata, karaoke sesuai untuk dijadikan hiburan seisi keluarga kerana setiap ahli keluarga mempunyai genre lagu tertentu yang mereka gemar.
''Kebanyakan yang datang ke PST dan berkaraoke adalah keluarga yang datang dari sekitar Klang dan Shah Alam, di samping terdapat juga para pelanggan setia dalam kalangan penduduk setempat.
''Aktiviti sebegini mampu menyatukan keluarga yang mempunyai minat yang sama seperti menyanyi. Ibu bapa akan memilih lagu era 1960-an dan irama retro lain, manakala anak-anak akan menyanyi lagu popular masa kini," katanya.
Burn yang petah berceloteh berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menghangatkan suasana malam dengan aktiviti bersama famili dan teman-teman, sama ada untuk aktiviti fizikal mahupun sekadar mengalunkan lagu Ombak Rindu kendalian beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120915/pl_06/Hiburan-terkawal-sehingga-dinihari#ixzz28lbwOJCo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment