caption image
Keunikan etnik peribumi Tatau, kehijauan Similajau tambat hati di bandar minyak
APABILA ditanya, rupa-rupanya majoriti wakil media yang menyertai lawatan ke Bintulu, Sarawak sempena pembukaan Tune Hotel di bandar perindustrian itu baru-baru ini, tidak pernah menjejakkan kaki di kota keempat terbesar di Sarawak ini.
Apa yang diketahui hanyalah fakta bahawa Bintulu adalah antara pusat perindustrian terbesar di Sarawak serta menjadi tumpuan syarikat cari gali minyak dan gas selain Miri.Tidak disangka, rupanya melalui program dua hari itu, kami didedahkan dengan pelbagai tarikan pelancongan di Bintulu. Kami menyaksikan sendiri keunikan budaya etnik pribumi Tatau, keindahan alam semula jadi di Taman Negara Similajau dan pelbagai keistimewaan lain yang selama ini menjadi rahsia bandar yang cukup terkenal dengan perusahaan belacan dan cencaluk ini.
Ikuti jelajah 48 Jam ke Bintulu, Sarawak!
Isnin
12 tengah hari : Selepas berkumpul di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang sejak pagi dan menaiki penerbangan yang mengambil masa kira-kira dua jam, kumpulan media akhirnya tiba di Lapangan Terbang Bintulu.
Sejurus tiba, kami bergegas menuju ke kenderaan yang sudah sedia menanti dan bertolak ke Tune Hotel Bintulu. Perjalanan dari lapangan terbang ke hotel mengambil masa kira-kira 30 minit dan jalan raya sibuk kerana sesi persekolahan baru bermula.
12.30 tengahari : Disebabkan kami terlewat daripada jadual yang diatur, kami bergegas meletakkan barang di bilik penginapan untuk mengikuti program dirancang.
Kami menghadiri sesi temubual ringkas bersama Pengurus Besar Tune Hotel, Karen Thong. Menurut Karen, antara sebab pihak Tune Hotel memilih Bintulu sebagai lokasi cawangan barunya ialah kerana potensinya sebagai bandar perindustrian minyak dan gas serta tarikan pelancongan yang ada.
Hotel baru ini memiliki 101 bilik dan terletak di kawasan strategik iaitu di pusat perniagaan Assyakirin. Tambah Karen, ruang bilik penginapan juga lebih besar berbanding cawangan Tune Hotel lain. Ini kerana menurut Karen, pelanggan yang berkunjung ke hotel ini dijangka menginap dalam tempoh lebih sehari.
2.30 petang : Selepas sesi temubual, kami bergegas menaiki kenderaan untuk pergi ke rumah panjang Tatau yang perjalanannya mengambil masa kira-kira sejam dari hotel. Kami berhenti di jeti yang berhampiran dengan pekan Tatau dan menaiki bot sampan untuk ke Rumah Panjang Jalong.
Perjalanan menyusuri Sungai Tatau ke Rumah Panjang Jalong mengambil masa kira-kira 20 minit. Sungai ini adalah jalan perhubungan utama bagi etnik Tatau untuk pergi ke pekan.
2.50 petang : Menghampiri kawasan Rumah Panjang Jalong, dari jauh lagi sekumpulan penduduk sudah menunggu di jeti, sebahagiannya lengkap dengan pakaian tradisi. Kedatangan kami disambut begitu mesra, terutama penduduk wanita. Seperti kebanyakan etnik yang mendiami rumah panjang di negeri ini, etnik Tatau juga mengamalkan tradisi menyaji air tuak kepada tetamu sebelum masuk ke rumah.
Hampir setiap wanita Tatau yang berdiri menyambut kami memegang botol dan gelas tuak. Masing-masing bersungguh-sungguh meminta kami merasainya.
Pada mulanya, jenuh juga wakil media beragama Islam menolak dengan baik permintaan mereka yang mungkin kurang mengerti mengapa kami enggan menerima minuman itu. Namun, akhirnya mereka mengerti dan ia disambut baik.
3.05 petang : Rumah Panjang Jalong mempunyai 18 unit atau pintu yang lazimnya setiap satu didiami sebuah keluarga. Menurut Tuai Rumah, Jalong anak Anyik, ada kira-kira 108 orang penghuni menetap di rumah itu. Namun, kebanyakan anak muda merantau ke bandar untuk bekerja. Sebaik menjejakkan kaki ke dalam rumah ini, kami dipelawa untuk menyertai barisan penghuni yang sedia melakukan tarian tradisi etnik Tatau. Habis tarian, kami dijemput menikmati makanan tengahari yang menghidangkan juadah cita rasa etnik Tatau yang banyak menggunakan sumber hidupan sungai dan daun-daun hutan.
6 petang : Ketika berada bersama etnik Tatau yang mendiami Rumah Panjang Jalong ini, kumpulan media sempat berkenalan dan berbual bersama penghuninya. Antara yang menjadi topik perbualan ialah kebimbangan kumpulan etnik Tatau yang sudah berusia mengenai bilangan keturunan etnik ini yang berkurangan. Menurut seorang daripada warga tua yang ramah berkongsi cerita dengan kami, kebanyakan generasi baru etnik Tatau adalah hasil daripada perkahwinan campur dengan etnik lain. Sebelum hari beransur gelap, kami meminta diri untuk berangkat pulang, sekali lagi menyusuri sungai dan menaiki van pulang ke hotel.
8.30 malam : Selepas menyegarkan tubuh badan, kami bersiap-siap untuk keluar makan malam. Untuk malam pertama di sini, kami dibawa ke sebuah restoran di Tanjung Batu. Sambil menikmati pelbagai sajian makanan laut yang sedap-sedap belaka, masing-masing bercerita mengenai pengalaman bertemu dekat dengan etnik Tatau.
11 malam : Kami bertolak pulang ke hotel dan berehat secukupnya sebelum mengikuti aktiviti yang dikhabarkan mencabar pada keesokan hari.
Selasa
8.30 pagi : Pada hari kedua, kumpulan media dibawa menikmati sarapan ala barat. Masing-masing bergurau sambil menyarankan supaya makan lebih banyak kerana perlu melakukan aktiviti lasak yang pastinya memerlukan tenaga fizikal.
10 pagi : Sebelum cuaca beralih ke panas terik, kami cepat-cepat bertolak menuju ke Taman Negara Similajau, kira-kira 30 minit perjalanan daripada hotel.
10.30 pagi : Sebelum memulakan aktiviti jungle trekking di hutan Taman Negara Similajau ini, kami diberi penerangan daripada kakitangan pengurusan mengenai taman negara ini. Kawasan berkeluasan 7,064 hektar ini diwartakan pada 1976 dan menjadi antara kawasan rekreasi masyarakat setempat. Istimewanya, kawasan hutan taman negara ini berdekatan dengan pesisiran pantai dan perairan Laut China Selatan. Selepas mendengar penerangan itu, kami memulakan misi mencabar fizikal, iaitu berjalan kaki mengikut trek di Taman Negara Similajau yang jaraknya kira-kira 10 kilometer (km). Namun atas faktor kesuntukan waktu, kami memilih untuk berhenti di hentian kedua, iaitu Turtle Beach 1 saja. Laluan sepanjang tujuh kilometer sehingga ke Turtle Beach 1 ini, jika diikutkan tidaklah sukar kerana bentuk muka bumi yang agak rata. Cuma di kawasan tertentu memerlukan kami melakukan sedikit pendakian, menuruni cerun dan melalui titi kayu untuk melintasi beberapa batang sungai yang merintang di hutan ini. Agak gerun juga perasaan kami apabila melalui titi di setiap sungai. Ini kerana awal-awal lagi kami diberitahu renjer yang membawa kami, supaya jangan cuba-cuba untuk masuk ke dalam sungai yang dikatakan didiami spesis buaya air masin.
12.30 tengahari : Hampir dua jam berjalan, kami mula letih. Kami mengambil masa untuk berehat seketika untuk mengumpul tenaga sebelum meneruskan penjelajahan.
Sambil berjalan perlahan, mata kami meliar mencari spesis flora dan fauna di hutan Taman Negara Similajau. Difahamkan, antara tumbuhan istimewa yang boleh didapati di hutan ini adalah tongkat ali dan bintangor.
1.30 petang : Selepas tiga jam, akhirnya kami berjaya menjejakkan kaki ke Turtle Beach 1 yang dikatakan kawasan pantai yang dinaiki penyu hijau, penyu belimbing dan penyu karah untuk bertelur. Sesuai dengan kedudukan Taman Negara Similajau yang terpelihara ini, pantainya sangat bersih dengan pasirnya yang putih.
Namun, pukulan ombak yang kuat membatalkan niat kami untuk berjalan lebih jauh ke dalam air. Jadi, kami mengisi masa dengan merakamkan gambar berlatarbelakangkan pemandangan indah di pantai ini.
2.15 petang : Untuk memastikan perjalanan keluar dari hutan lancar dan selamat, kami memilih untuk memulakan perjalanan keluar lebih awal sebelum hari mulai gelap. Lucunya, ramai di antara kami yang berjalan lebih laju, ada masanya seperti berlari ketika perjalanan keluar ini kerana ingin lekas sampai ke tempat permulaan tadi.
4.20 petang : Akhirnya, kami tiba juga ke pintu masuk dan keluar untuk aktiviti jungle trekking ini. Masing-masing yang sudah keletihan meluru ke kafe untuk menjamu selera.
6 petang : Dari Taman Negara Similajau, kami bertolak pulang ke hotel dan berehat seketika sebelum keluar semula untuk menikmati makan malam. Walaupun terpancar keletihan di wajah dan sakit-sakit badan, kepuasan tetap diperoleh selepas berjaya mengharungi cabaran jungle trekking sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Taman Negara Similajau.
No comments:
Post a Comment