Kembara dekati flora dan fauna di rimba Pahang, kongsi misi pulihara ekosistem
PEMULIHARAAN alam sekitar bukan tanggungjawab pihak tertentu, sebaliknya setiap individu perlu mengambil inisiatif mengikut kemampuan diri.
Ini penting kerana alam sekitar cukup penting dalam kitaran kehidupan selain mengimbangi ekosistem bumi. Sehubungan itu, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar harus dititikberatkan dalam setiap lapisan masyarakat.Andai masyarakat prihatin dengan alam sekitar, generasi masa depan pasti tidak terlepas daripada menikmati keunikan dan keindahan alam sekitar biar di ceruk manapun mereka berada.Lawatan penulis dan rakan media ke Institut Biodiversiti (IBD), Bukit Rengit, Lanchang, Pahang, baru-baru ini menambah pengetahuan kami mengenai kepentingan alam sekitar dan penghuninya.
Lawatan ke IBD yang menjadi lokasi penganjuran kursus selain menjadi pusat pendidikan dan perkongsian maklumat bagi warga Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), membuka mata penulis mengenai peranan dan kesungguhan kakitangan kementerian memulihara alam sekitar.
Kemuncak program iaitu lawatan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah mendekatkan lagi hubungan antara manusia dan mamalia darat terbesar ini. Di pusat ini, kita dapat melihat lebih dekat gelagat gajah serta mempelajari kehidupan haiwan ini.
Ikuti catatan menarik sepanjang program itu...
Jumaat
11.30 pagi : Rombongan wakil media tiba di Institut Biodiversiti (IBD), Bukit Rengit, Lanchang selepas mengharungi perjalanan selama tiga jam dari Wisma Sumber Asli, Putrajaya.
Kehadiran kami disambut Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abd Rasid Samsudin; Pengarah IBD, Fakhrul Hatta Musa dan Ketua Unit Komunikasi Korporat NRE, P Yamuna. Kami diberi taklimat ringkas mengenai peranan NRE dan jabatan di bawahnya.
3 petang : Selepas berehat, sesi taklimat diteruskan dengan berkongsi maklumat mengenai peranan jabatan di bawah NRE. Dari taklimat pengurusan biodiversiti, hal ehwal perhutanan hinggalah bahagian ekopelancongan, kami dibekalkan maklumat terperinci mengenai operasi PERHILITAN.
5 petang : Tiba masanya untuk kami melawat muzium yang diuruskan IBD. Di sini, kami diterangkan mengenai jenis-jenis hutan dan tumbuh-tumbuhan di Malaysia. Tidak terkecuali, kami melihat beberapa haiwan yang diawetkan seperti seekor harimau jantan yang diberi nama Si Awang.
Kisahnya, Si Awang diselamatkan dari jerangkap pemburu haram yang mengakibatkan kecederaan serius pada satu kakinya. Selepas mati, Si Awang diawetkan bagi tujuan pembelajaran dan rujukan. Begitu juga seekor buaya yang ditangkap tahun lalu di Teluk Chempedak, Kuantan. Ia juga diawetkan untuk tujuan yang sama.
8 malam : Kami menikmati makan malam menyelerakan, apa lagi kalau bukan ikan Patin masak tempoyak yang memang sinonim dengan Pahang. Aktiviti malam ini lebih mencabar kerana kami perlu menyusuri hutan pada waktu malam.
Kami dinasihat sentiasa berada dalam kumpulan kerana dikhuatiri binatang buas berada di sekeliling. Ini kerana IBD terletak di kawasan hutan simpan dan banyak binatang buas mencari makan pada malam hari.
Rombongan kami dibawa meninjau ‘Light Trap’ yang dipasang sejak petang lagi oleh petugas. Kami difahamkan ‘Light Trap’ adalah perangkap untuk mendapatkan contoh serangga dan haiwan kecil pada waktu malam untuk tujuan penyelidikan.
Ada juga haiwan kecil yang ditangkap ini akan diawet untuk tujuan dokumentasi dan pembelajaran. Seterusnya kami mula berjalan di dalam kegelapan malam melihat aktiviti haiwan pada waktu malam.
Mengikut Pegawai Penyelidik IBD, Khairul Nizam Kamaruddin, kebiasaannya haiwan bergerak aktif pada waktu malam untuk mencari makanan. Namun, nasib tidak menyebelahi kami berikutan hujan pada sebelah petangnya.
Sabtu
9 pagi : Semua peserta tidak sabar untuk mengikuti aktiviti hari ini. Namun, sebelum itu, kami diberikan ujian untuk menguji minda berkaitan dengan NRE. Pelbagai gelagat dapat disaksikan dan walaupun berjalan secara santai, namun banyak maklumat yang diperolehi.
11 pagi : Kami di bawa menuju ke Deerland yang menjadi salah satu tarikan pelancongan yang menarik dan unik. Bagi pencinta flora dan fauna, Deerland adalah pilihan tepat. Taman berbentuk safari ini dibuka secara rasmi pada Jun 2004. Dengan persekitaran semula jadi, pengunjung dapat mengenali flora dan fauna habitat itu dengan lebih dekat.
Pemilik taman ini, Abdullah Ahmad Mahmud pada mulanya hanya mengusahakan taman ini sebagai hobi sebelum berjinak sepenuh masa berikutan permintaan menggalakkan.
Antara usahanya menjadikan Deerland sebagai Taman Safari ala Malaysia dengan memperbanyakkan lagi jenis haiwan dan tumbuhan. Bukan berteraskan mencari keuntungan, pembukaan taman ini lebih bersifat memberi kepuasan selain berkongsi maklumat bersama pengunjung. Pengunjung yang datang bukan saja dari dalam negara, malah ramai pelancong asing mengunjungi Deerland.
Penulis berkesempatan untuk memberi makan kepada rusa di taman itu. Menurut Abdullah, rusa terbesar dipelihara di taman ini ialah rusa tempatan dan sifatnya agak liar dan sukar dijinakkan.
Bukan sekadar memberi makan kepada rusa, pengunjung juga boleh bermesra dengan haiwan di taman ini seperti membelai beruang dan memegang ular sawa.
1 petang : Selepas menikmati makan tengahari yang menyelerakan dan bermesra dengan rusa dan membelai beruang jinak, kami bergerak ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah yang hanya terletak 15 minit perjalanan dari Deerland.
Di sini. kami diberi taklimat oleh Ketua Unit Gajah, Nasharuddin Othman mengenai aktiviti dan peranan yang dijalankan pusat ini. Bangga seketika penulis apabila mengetahui kemahiran anak tempatan dalam proses pemindahan gajah diiktiraf pihak luar.
Apa yang menarik, tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung. Malah, konsep yang diamalkan ialah berdasarkan nilai yang dikenakan mengikut keikhlasan hati pengunjung.
Menurut Nsharuddin, selain boleh memberi makan kepada gajah dan menunggang gajah, antara tarikan terbaru ialah ‘Denai Gajah’ di mana pengunjung berpeluang menaiki gajah melalui denai serta melihat flora dan fauna sepanjang 1.5 kilometer.
“Denai gajah adalah tarikan terbaru dan kumpulan Kembara Media NRE adalah pelawat pertama berpeluang menaiki gajah menyusuri denai. Kami masih lagi dalam proses penambah baik tarikan di pusat ini.
“Ketika ini, denai gajah masih belum dibuka kepada orang ramai. Kita juga merancang mengenakan bayaran berpatutan kerana selama ini kita hanya bergantung kepada dana kerajaan semata-mata,” katanya.
4.30 petang : Selepas puas bermain dengan gajah-gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, rombongan bertolak pulang ke IBD untuk merehatkan tubuh badan seketika sebelum menikmati jamuan petang.
5 petang : Penulis bersama beberapa rakan media mengambil kesempatan meninjau hutan sekeliling IBD. Hasrat pada mulanya ingin menjalankan aktiviti sendiri, namun atas faktor keselamatan kami ditemani oleh beberapa pekerja institut ini.
Alangkah terkejutnya melihat air terjun cantik hanya beberapa ratus meter saja dari IBD. Tidak disangka dalam hutan ini kita dapat melihat pelbagai kecantikan flora dan fauna.
8 malam : Malam ini, kami bertuah kerana dapat menyaksikan proses ‘Taksedemi’ atau pengawetan haiwan. Difahamkan, hanya terdapat 20 orang pakar dalam bidang pengawetan di Malaysia.
IBD menjadi pusat utama dalam proses pengawetan haiwan dan kebanyakan pengawetan haiwan dilakukan di sini. Teknik pengawetan haiwan juga berubah dari masa ke masa.
Kini mereka menggunakan gentian kaca untuk membentuk badan haiwan berbanding sabut kelapa dan serami pada masa dulu. Tempoh pengawetan haiwan bergantung kepada saiz haiwan terbabit.
10 malam : Aktiviti seterusnya adalah persembahan kumpulan. Setiap kumpulan mempamerkan bakat terpendam masing-masing. Tidak terkecuali kami turut mengambil peluang untuk berkaraoke bersama-sama.
Majlis penyampaian sijil dan cenderahati kepada peserta Program Kembara Media NRE turut dianjurkan. Kami menghabiskan masa berbual sambil menikmati hidangan sebelum pulang ke bilik apabila mencecah tengah malam. Kenangan kembara kali ini menjadi titik tolak dan membuka mata penulis mengenai kepentingan memulihara alam sekitar.
No comments:
Post a Comment