Translate

Monday, October 8, 2012

Laluan antik Pasar Seni


PASAR Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market, satu nama yang tidak asing lagi di kalangan para pelancong untuk mendapatkan pelbagai barangan cenderahati untuk dibawa pulang.
Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, Pasar Seni juga merupakan sebuah bangunan yang menempatkan pelbagai keindahan hasil seni dan kraf tempatan yang begitu popular di kalangan pencinta seni.
Bukan itu sahaja malah keunikan Pasar Seni dapat dilihat apabila bangunan bersejarah ini bukan sahaja menjadi destinasi persinggahan pelancong dari dalam dan luar negara malah ia juga merupakan lokasi pertemuan atau persinggahan ramai terutama remaja dan golongan muda.
Turut melalui pelbagai fasa perubahan dalam usaha menjadikannya sebuah destinasi bertaraf antarabangsa, bangunan berkeluasan kira-kira 33,3333 meter persegi itu masih tetap memainkan peranannya sebagai gedung khazanah kesenian dan warisan negara yang unggul.
Dibina pada tahun 1888, bahagian dalam Pasar Seni kini telah diwujudkan pembahagian zon untuk memudahkan pengunjung mencari barangan selain diserlahkan elemen-elemen budaya yang pasti mengagumkan pengunjung.
Antaranya Kampung Baru, Jalan Jonker Melaka iaitu lorong yang menampilkan seni bina bangunan bercirikan Baba dan Nyonya, The Blue Mansion, Pulau Pinang yang dipenuhi barangan antik tempatan dan Batik Emporium yang terletak di tingkat atas menjual segala barangan bermotifkan batik.
Tidak ketinggalan Lorong Melayu, Cina (Straits Chinese) dan India (Little India) yang masing-masing menyerlahkan kekuatan elemen budaya tersendiri yang dapat dilihat melalui hiasan dalamannya seperti ukiran, lantai jubin yang menghiasi lorong dan tidak ketinggalan barangan yang dijual di lorong-lorong tersebut.
Yang pasti menurut Pengurus Bangunannya, Cheong Wai Mun, pembahagian zon-zon tersebut bertujuan memberi pengunjung merasai perbezaan budaya daripada masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini.
Katanya lagi, hari ini Pasar Seni telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan ia dilakukan lebih berseni dan teratur.
"Zon-zon yang diwujudkan mempunyai keistimewaan masing-masing. Ini memudahkan para pengunjung memperoleh dan mendapatkan apa yang mereka inginkan.
"Selain menawarkan hasil kraf tangan serta barangan seni, di sini juga boleh diperoleh barangan antik.
"Untuk barangan antik ini, ia ditempatkan di satu lorong iaitu The Blue Mansion yang mengambil nama sempena sebuah bangunan lama di Pulau Pinang iaitu Cheong Fatt Tze atau dikenali sebagai Blue Mansion dan semuanya dikumpulkan di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120920/pl_01/Laluan-antik-Pasar-Seni#ixzz28ldMJnkb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment