DINGIN air terjun Chamang menyegarkan
Pancing ikan tengas waktu malam antara aktiviti perkhemahan di hutan lipur di Bentong, Pahang
AKTIVITI berkhemah dapat memberikan kepuasan kepada golongan peminat aktiviti luar selain dapat menghayati keindahan alam semula jadi. Malah, kesempatan menyelami keindahan ciptaan Ilahi itu, juga dapat menjadi terapi menghilangkan tekanan kerja dan rutin seharian.
Kebiasaannya aktiviti berkhemah dilakukan di kawasan hutan, bukit dan kawasan air terjun kerana lokasi sebegini tidak bising dengan ‘pekikan’ kenderaan dan dipenuhi hutan hijau serta air terjun yang menyejukkan mata.Hakikatnya, negara kita tidak kurang hebatnya apabila menyajikan banyak lokasi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti berkhemah kerana terdapat hutan dan air terjun yang masih terpelihara. Bagi mereka yang kurang menggemari aktiviti berkhemah terdapat banyak chalet yang disediakan pengusaha untuk beriadah dengan bayaran yang sangat berpatutan.
Baru-baru ini, penulis bersama tiga rakan yang lain sempat menghabiskan cuti hujung minggu dengan beriadah di Hutan Lipur Chamang, Bentong di Pahang, sambil menghayati keindahan alam semula jadi di kawasan hutan lipur terbabit.
Hutan Lipur Chamang yang dulunya dikenali dengan nama Air Terjun Chamang terletak kira-kira 8 kilometer (km) dari bandar Bentong, Pahang. Ia terletak dalam Kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Tinggi. Jaraknya dari Kuala Lumpur kira-kira 69 km.
Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di hutan lipur ini seperti kawasan letak kereta percuma, tandas, tempat bersalin pakaian, kawasan perkhemahan, gerai makanan dan tempat BBQ.
Penulis bersama tiga rakan yang lain lebih menggemari aktiviti berkhemah untuk menghabiskan hujung minggu sambil menikmati keindahan salam semula jadi dan menjalankan aktiviti memancing spesis tengas.
Ikuti catatan sepanjang aktiviti perkhemahan yang ringkas tetapi tetap memberikan kepuasan...
SABTU
7.00 pagi: Selepas berkumpul di rumah salah seorang peserta di Kampung Sungai Penchala dan membuat pemeriksaan akhir peralatan dan keperluan yang perlu dibawa untuk aktiviti berkhemah selama dua hari itu, kami bergerak menaiki kereta ke Hutan Lipur Chamang, Bentong.
Setibanya di pekan Bentong, kami berehat sebentar untuk sarapan dan membeli keperluan terakhir sebelum memasuki kawasan Hutan Lipur Chamang yang terletak kira-kira 8 km daripada pekan Bentong.
9.00: Mengeluarkan barangan dan bergerak ke tapak khemah. Disebabkan jangka masa untuk berkhemah hanya dua hari, kumpulan kami mengambil keputusan untuk memilih tapak perkhemahan yang tidak terlalu jauh di dalam hutan iaitu mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan saja.
Pemilihan tapak berkhemah yang dekat dapat menjimatkan masa kerana lebih banyak masa dapat digunakan untuk berehat. Jika memilih kawasan yang lebih jauh masa banyak dihabiskan untuk perjalanan saja dan ini tidak berbaloi untuk tempoh perkhemahan yang sekejap.
Bagaimanapun, pemilihan tempat jauh daripada kawasan perkelahan untuk mengelak kehadiran orang yang ramai. Kami memilih kawasan di hilir air terjun yang mempunyai beberapa kolam air yang agak dalam dengan kawasan alam semula jadi yang cantik.
9.40: Setibanya di kawasan perkhemahan, perkara penting yang dilakukan adalah mendirikan khemah, mengemas barangan yang dibawa dan mencari kayu untuk dibuat unggun api bagi mengelak daripada cuaca hujan dan kayu api menjadi basah.
11.00: Memulakan aktiviti memasak menggunakan bekalan basah yang dibawa untuk makan tengahari. Menu makan tengahari ayam goreng, sardin, telur goreng, ulam dan budu. Walaupun makanan yang disediakan biasa, ternyata selera ketika berada di dalam hutan sangat berlainan. Apatah lagi, makan tengahari di tepi jeram yang mengalir sambil menghayati alam semula jadi.
3 petang: Menjalankan aktiviti wajib selepas penat menyediakan tapak khemah dan memasak iaitu berenang di kawasan jeram berdekatan. Disebabkan kawasan yang dipilih agak jauh daripada kawasan berkelah untuk orang ramai jadi kawasan ini agak sunyi dan terasa sangat ‘privacy’ walaupun hakikatnya kedudukannya bukan terletak di tengah hutan.
6 petang: Menyediakan makan malam dan menyalakan unggun api. Khemah yang didirikan sangat mudah, cukup dapat berteduh daripada hujan dan beralaskan tikar. Keadaan sebegini lebih ‘semula jadi’ kerana dapat merasai udara hutan yang dingin berbanding penggunaan khemah tertutup. Menjadi kebiasaan kumpulan kami apabila berkhemah untuk mendirikan khemah sebegini terutama dalam tempoh yang singkat. Untuk langkah keselamatan, belerang ditabur di keliling kawasan khemah untuk mengelak daripada binatang berbisa.
9 malam: Aktiviti memancing tengas dimulakan kerana spesis ini sukar untuk dipancing ketika waktu siang. Ketika siang spesis ini agak liar dan bersembunyi di celah batu, spesis ini sangat sensitif akan kehadiran manusia dan sukar dipancing pada waktu siang. Ia hanya aktif pada waktu malam.
Aktiviti memancing pada waktu malam pula agak mencabar kerana penggunaan cahaya lampu perlu digunakan dengan cara paling minima untuk mengelak spesis ini menyedari kehadiran manusia. Saiz tengas di kawasan ini tidak terlalu besar, kebanyakannya seberat 200 hingga 800 gram saja.
Kira-kira satu kilogram lebih tengas dapat dipancing untuk dijadikan juadah makan tengahari keesokannya.
12 malam: Berjalan menyusuri kawasan jeram berdekatan sambil melihat suasana malam di kawasan Hutan Lipur Chamang. Selepas pulang terus mandi di jeram yang sejuk, pastinya selesai mandi perlu mencari unggun api kerana air dan keadaan di kawasan itu sangat sejuk. Suasana malam di Hutan Lipur Chamang sangat damai sambil mendengar deruan bunyi air jeram mengalir.
AHAD
7 pagi: Menghayati suasana pagi di Hutan Lipur Chamang yang nyaman dan berkabus. Selepas bersarapan, tiga daripada kami meneruskan aktiviti dengan menyusuri jeram dan kawasan denai di tepi jeram. Berjalan di dalam hutan ketika waktu pagi memberikan ketenangan yang sukar digambarkan sambil menghirup udara nyaman.
Ketika menjalankan aktiviti ini, pemilihan kasut perlu betul kerana selain mengikut kawasan denai, ada kalanya perlu merentas kawasan jeram. Ketika melakukan aktiviti ini perlu berhati-hati kerana ada permukaan batu yang licin dan berbahaya.
11.00: Menyiang ikan dan menyediakan makanan tengahari. Seperti semalam, makanan yang disediakan masih ringkas. Ikan tengas segar yang di goreng dan dibakar sangat membuka selera siapa saja yang bertandang ke hutan ini.
3 petang: Aktiviti mandi di jeram dan berehat.
5 petang: Berkemas untuk pulang. Aktiviti berkhemah selama dua hari di Hutan Lipur Chamang sememangnya memberikan kepuasan walaupun dalam tempoh yang singkat.
No comments:
Post a Comment