Translate

Wednesday, May 2, 2012

Santai famili di PD

pix_gal0
Menangkap ikan, ketam dari bilik hotel antara detik manis di Legend International Water Homes

KESEMPATAN bercuti bersama ahli keluarga tersayang bukan sekadar menjadi peluang bersantai, tetapi paling penting, merapatkan silaturahim yang mungkin terbatas akibat kekangan kerja dan tanggungjawab lainnya.

Justeru, ramai yang lebih suka memilih pusat peranginan atau hotel yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik bagi pelanggannya. Ini penting kerana selain mengelak kebosanan, ia juga menjadi syarat waktu santai dimanfaatkan dengan menikmati pelbagai kemudahan disediakan di hotel berkenaan.Kelebihan itulah yang dimiliki Legend International Water Homes (LIWH), Lukut, Negeri Sembilan, yang siap dibina sembilan bulan lalu. Penulis dan keluarga yang kesemuanya seramai lapan orang, memilih LIWH bukan saja kerana bilik penginapan dan kemudahannya yang serba selesa, tetapi lebih menarik lagi, pemandangan lautannya yang sebegitu indah.Panorama menarik menghadap Selat Melaka yang boleh dilihat dari Grand Pool Villa misalnya, mencetuskan persekitaran serba mendamaikan. Bilik yang kami duduki juga selesa dilengkapi dua katil besar selain lantai kaca yang membolehkan kita menjenguk air laut, termasuk ikan yang berenang dari dalam bilik.

Terletak berhampiran Port Dickson, pusat percutian popular ini dikenali kerana keindahan pantainya manakala LIWH pula menawarkan pelbagai kemudahan menarik bagi memastikan percutian anda serba serbi menarik dan menyeronokkan, seperti yang kami lalui. Ikuti pengalaman menarik ini...

Sabtu

12.30 tengah hari:
 Kami sekeluarga bertolak dari Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor menuju Lukut, Negeri Sembilan. Kedudukan Sepang dan Lukut tidaklah jauh iaitu pada jarak kira-kira 35 kilometer. Perjalanan melalui jalan Pekan Sepang, Bukit Pelanduk, Tanah Merah dan Lukut. Sambil berjalan, kami menikmati pemandangan menarik sehinggalah tiba kira-kira jam 2 petang di Batu 2 Lukut yang menjadi destinasi tujuan dan lokasi LIWH yang dibina di atas air. 
2.30 petang: Selepas menikmati hidangan lazat makan tengah hari di Restoran Lanun, kami sekeluarga mandi di kolam renang di bilik Grand Pool Villa yang juga menghadap Selat Melaka. Apa yang menarik, kami tidak perlu mengenakan pakaian renang mengikut peraturan yang lazimnya ditetapkan jika mandi di kolam renang awam atau di hotel. Di sini sebaliknya, memadailah dengan hanya terjun mengenakan kemeja T dan seluar panjang.

4.30 petang: Pelbagai aktiviti disediakan untuk kanak-kanak contohnya boleh bermain dam ular gergasi, menaiki basikal mengelilingi kawasan hotel dan rekreasi di taman permainan.
Pastinya seronok apabila dapat berbasikal bersama ahli keluarga mengelilingi kawasan resort yang luas itu.

6 petang: Acara yang dinantikan - aktiviti memancing dan menangkap ketam bermula! Hotel ini turut menyediakan umpan dan peralatan memancing termasuk joran dan bintor untuk menangkap ketam. Tidak susah sebaliknya cuma perlu meletakkan joran dan bintor dari beranda hotel sambil bersantai menghayati keindahan laut lepas ketika detik hampir senja. Sedang asyik melihat panorama itu, kami dikejutkan apabila joran mengena. Penulis turut dimaklumkan, ada pengunjung berjaya menangkap ikan bari seberat lima kilogram. Lebih puas, habuan itu dimasak di Restoran Lanun mengikut resipi kegemaran. Selain habuan joran, lebih menarik lagi apabila ketam suri memenuhi bintor selepas beberapa jam dilabuhkan ke dalam laut. 

8.30 malam: Sekali lagi ke Restoran Lanun untuk menikmati makan malam yang menyediakan pelbagai juadah termasuk BBQ, pelbagai masakan laut termasuk siput pepahat, salad serta hidangan pencuci mulut.

9.30 malam: Kami beramai-ramai ke pusat bandar Port Dickson dan singgah di Batu 4 untuk melihat apa yang dijual di pasar malam. Di sini, deretan gerai ikan bakar dan makanan lain sarat dengan dengan pelanggan. Bagi yang suka membeli-belah, pelbagai jenis pakaian turut dijual di sini khususnya ‘baju rasmi’ untuk bersantai di tepi laut serta pelampung.

10.30 malam: Selesai ‘mencuci mata’ di bandar Port Dickson, kami pulang ke Legend International Water Homes. Walaupun sedikit kepenatan, kami sekeluarga sebaliknya mempunyai cara tersendiri untuk menyegarkan diri - mandi di kolam renang. Malah, akibat terlalu asyik berendam dan bersembang, diam tak diam jam menunjukkan sudah hampir jam 1 pagi! Ketika itu, habis kulit jari menjadi kecut kerana terlalu lama berendam di kolam renang itu.

Sabtu

7 pagi:
 Aktiviti riadah kami mulakan dengan berjoging di kawasan sekitar hotel. Udara yang nyaman menjadikan aktiviti berjoging ini lebih selesa.

8 pagi: Kami ke Restoran Lanun untuk menikmati sarapan pagi yang turut menyediakan juadah Barat dan Timur. 

9 pagi: Selepas menikmati hidangan sarapan pagi yang enak itu kami ke padang untuk belajar memanah yang turut menyediakan khidmat jurulatih bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan sukan ini.

10.30 pagi: Sekali lagi ke kolam renang. Ternyata, inilah aktiviti paling seronok bagi kami sekeluarga di samping bersenam bagi membakar kalori yang diambil ketika sarapan pagi.

1 tengah hari: Menikmati hidangan makan tengah hari di Restoran Lanun sebelum meninggalkan hotel. Kami dijamu dengan pelbagai lauk pauk masakan Melayu dan Cina yang begitu lazat.

3 petang: Destinasi seterusnya ke Pantai Teluk Kemang yang sememangnya popular di kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing. Kawasan ini pula tidak jauh dari tempat penginapan kami. Apalagi, kesempatan itu digunakan bagi menghayati pemandangan, membeli pakaian yang turut dijual di sini selain beraneka makanan. Rasa damai dan tenang melihat lautan yang luas terbentang selain desiran bayu laut yang menyegarkan.

5 petang: Kami pulang ke Sepang selepas dua hari bersantai di Port Dickson. Kenangan di Port Dickson pastinya lebih indah jika anda singgah pusat makanan di Batu Empat untuk menikmati keenakan ikan bakar bagi juadah makan malam. Biarpun puas, di hati masih terselit harapan untuk bertandang lagi ke Port Dickson bagi menikmati pengalaman menghayati keindahan alam, makanan dan kemudahannya, termasuk yang disediakan di pusat penginapan Legend International Water Homes.

No comments:

Post a Comment