Translate

Wednesday, May 2, 2012

Redah Kuala Lipis





Panik susuri daratan, sungai antara catatan Ekspedisi Berakit di Kem Penempatan Orang Asli Pos Betau, Pahang 

SUDAH lebih 10 tahun penulis tidak meneroka hutan belantara, apa lagi menyelusuri sungai yang mencabar. Kali terakhir pun, mengikuti Jelajah Penurunan Cameron Highlands (Cameron Descent), memberi pengalaman tidak dapat dilupakan – berkayak menuruni sungai Cameron Highlands sebelum menyelusuri sungai dan jeram sehingga ke Ulu Tembeling.
Kali ini, terpanggil dengan keseronokan rakan-rakan berakit dengan anak-anak, keputusan di saat akhir menyertai Ekspedisi Berakit di Kem Penempatan Orang Asli Pos Betau, Kuala Lipis, baru-baru ini, membuatkan diri terpaku mengenangkan betapa betapa generasi muda perlu perlu diberi pendedahan lebih banyak untuk mengenali sendiri keindahan alam semula jadi negara yang semakin terhakis akibat pembangunan.Perjalanan dua jam dari Kuala Lumpur ke Sungai Koyan, Kuala Lipis, sebelum memasuki kawasan penempatan Orang Asli Semai yang masih dikuasai hutan, sejauh mata memandang.

Pos Betau hanya terletak kira-kira 20 kilometer selepas memasuki Sungai Koyan dan ia adalah penempatan Orang Asli keturunan Semai yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk sekolah rendah, klinik kecil, pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan kira-kira 10 kampung kecil yang menjadi penempatan semula kaum ini. 

Ikuti catatan 48 jam mengenai ekspedisi menarik ini:

Jumaat 
9 pagi : Sudah terpacak di sebuah stesen minyak di tepi Lebuh Raya Karak, menunggu ketua rombongan Halimi Hassan dan Azman Suradi. Pada masa sama, anak-anak - Khairi Anwar, Shafikah dan Syeera, kelihatan tidak begitu ghairah kerana tidak tahu apa aktiviti yang bakal dilakukan. Selepas semuanya ada, kami memulakan perjalanan menggunakan Jalan Bentong-Raub-Sungai Koyan-Pos Betau.

12.30 tengah hari : Tiba di kawasan pekan Sungai Koyan. Makan tengah hari dengan penuh selera, apa lagi berlaukkan juadah tempoyak ikan patin. Selesai makan, kewajipan mengerjakan solat Jumaat di masjid berhampiran, ditunaikan. Selepas itu kesemua lima kereta bergerak memasuki Sungai Koyan, menuju ke Pos Betau.

2 petang : Tiba di Pos Betau dan rumah yang bakal menjadi penginapan selama dua hari. Terletak di tepi sungai yang kelihatan mengalir sejuk, rumah penginapan yang baru membuka tirai pada tetamu ini adalah dua rumah Orang Asli keturunan Semai dan sebuah pejabat lama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang sudah dibaik pulih.

3 petang : Halimi, Azman tidak membuang masa untuk bercerita mengenai program homestay atau inap desa yang bakal dilancar di kawasan ini. Bo, isteri Halimi, pula sudah sibuk memulakan tugasan rasminya iaitu memasak di dapur. Kami yang lain, mencari tempat untuk meletak barang serta menyediakan tempat tidur masing-masing.

5 petang: Selesai makan petang dan duduk berehat sambil menikmati tiupan angin petang. Pada masa sama, deruan air sungai itu seakan menjadi irama yang mendamaikan. Tapi, takkanlah setakat nak tengok air sungai sajakan? Lalu, semua berjalan ke jeti batu bersebelahan rumah penginapan. Airnya sejuk tetapi mengalir deras. Beberapa anak kecil berusia antara 5 – 12 tahun terpaksa berpaut di batu dan sesiapa saja berdekatan untuk memastikan diri tidak hanyut dibawa arus deras. Sesi lompat terjun begitu meriah, apa lagi masing-masing sempat beraksi di hadapan kamera Nikon D90 yang merakam wajah-wajah ceria anak-anak yang jarang sekali dapat bermesra dengan alam semua jadi.

6.30 petang: Kami diperkenalkan dengan Ketua Tok Batin Kaum Semai, Mat Selalu. Tapi dia bukan insan sembarangan kerana pernah menjadi anggota perisikan pasukan Renjer ketika zaman Darurat dan pernah bertugas di seluruh negara. Malah suasana moden dan lebih tersusun di Pos Betau adalah hasil kerja kerasnya untuk memujuk anak buahnya menerima arus perubahan yang semakin rancak.

7.30 malam: Makam malam dengan menu ringkas. Walaupun sekadar burger tetapi ia sudah cukup meriah bagi seluruh kumpulan ekspedisi. Dua lagi rakan tiba untuk menyertai program berakit esok.

9 malam: Kumpulan Sewang sudah menunggu. Menarik sekali melihat gadis-gadis Orang Asli Kaum Semai ini berhias indah, comel sekali setiap seorang. Ramai tidak sabar untuk melihat tarian Sewang yang sudah menjadikan mereka juara kebangsaan tahun lalu. Tidak lama kemudian, sesi tarian itu pun bermula. Anak-anak pada mulanya cuma mengusik dan akhirnya tidak keberatan apabila ditarik ke tengah dewan untuk menari bersama. Bukan hanya anak muda, sebaliknya golongan bapa turut sama menyertai tarian yang rentak dan irama amat mudah dan meriah. Malah gerak tarinya juga mudah diikuti.

10 malam: Selama lebih sejam bersewang, masing-masing berpeluh sakan. Saya mengambil peluang berbual dengan beberapa Tok Batin. Ramai meluahkan kebimbangan warisan dan tradisi mereka semakin tergugat disebabkan arus kemodenan. Kerana itu, walaupun ia sekadar tarian budaya yang hanya dipersembahkan sekali sekala, generasi muda Orang Asli akan terus diminta belajar dan mengamal warisan tradisi.


Sabtu

8 pagi : Mat Selalu tiba dengan kenderaan pikap. Kira-kira 15 anggota ekspedisi berakit berusia 5 - 50 tahun, menaiki kenderaan itu. Terlintas di hati...mengapa perlu naiki kenderaan ini sedangkan kami sudah ada kenderaan pacuan empat roda sendiri sendiri? Apa yang pasti, perjalanan seterusnya seakan memberi jawapan kepada persoalan itu. Ekspedisi pertama yang bermula dengan pengembaraan di jalan tanah merah yang berbukit bukau, melintasi kawasan perkampungan Orang Asli dan meredah jambatan kayu sejauh 15 kilometer untuk ke kawasan permulaan berakit. Riuh rendah penumpang yang berdiri sesak di di belakang kenderaan pikap itu. Setiap kali ia menuruni bukit, melintasi kawasan pokok, setiap kali itulah jeritan nyaring kedengaran. Terasa seperti peserta ekspedisi pula bagai orang ‘jakun’ setiap kali melintas rumah Orang Asli Semai ini.

9.15 pagi: Cubaan melintas jambatan kayu gagal. Trak kecil ini tergelincir di celah-celah kayu menyebabkan semua orang melompat keluar dengan pantas. Kerjasama - itulah perkataan amat penting dalam mana-mana ekspedisi. Setiap orang mempunyai tugas masing-masing dan akhirnya trak dapat diselamatkan, jambatan dibetulkan semula dan peserta meneruskan perjalanan yang riuh rendah.

10 pagi: Tiba di jambatan yang akan memulakan ekspedisi berakit. Enam rakit sudah disediakan Mat Selalu dan orangnya. Ramai tersentak melihat rakit yang diikat dengan lima hingga tujuh batang buluh. Bagaimanapun, disebabkan ini bukan ekspedisi pertama bagi beberapa orang, maka semua mengambil tempat masing-masing. Dua memegang buluh penentu rakit berada di hadapan dan belakang dan yang lain mengimbang diri di tengah rakit.


10.30 – 1 tengah hari: Perjalanan ekspedisi yang amat menyeronokkan, menenangkan fikiran dan mencabar keberanian anak-anak. Perjalanan berakit secara henti-henti amat menarik.

Hentian pertama di Batu Gibraltar hanya untuk mandi-manda dan menyejukkan badan, sebelum penempuan sekumpulan anak Orang Asli yang leka bermain bola sepak. Rupanya, demam Piala Dunia 2010 turut melanda kawasan pedalaman ini. Sekumpulan lain mencabar keberanian anak bandar untuk terjun ke dalam sungai dari pokok yang mempunyai ketinggian lebih lima meter. Cabaran disambut, anak bandar tidak menghampakan walaupun bersaing dengan anak-anak kecil yang sekadar berusia enam tahun.

1.15 tengah hari : Tiba di kawasan homestay. Namun, hanya berhenti seketika sebelum ekspedisi disambung kira-kira 10 kilometer lagi. Pengembaraan itu lebih mencabar, bagi yang tidak pandai dan tidak pantas untuk mengawal rakit menyaksikan rakitnya akan tersangkut di pokok atau di beting dan terpaksa diselamatkan.

2 petang: Akhirnya tiba di destinasi akhir ekspedisi. Memang keletihan tetapi gembira dengan pengalaman meredah keindahan hutan belantara yang masih belum lagi tercemar. Sekali lagi menaiki belakang trak kecil Mat Selalu untuk pulang ke homestay.

5 petang: Mat Selalu membawa kami melawat kebun koko dan buah-buahan milik penduduk Orang Asli. Nyata tanpa batasan sempadan tanah, kumpulan Orang Asli Semai ini mempunyai tanah seluas sejauh mata memandang untuk memajukan tanah yang tidak boleh disentuh orang lain – asalkan mereka rajin.

8 malam: Kepenatan membuatkan diri terasa hendak demam. Selepas makan terus masuk tidur tetapi yang lain menyambung aktiviti dengan karaoke. Keesokannya, kami semua kembali ke bandar membawa pengalaman menarik - panik, teruja dan kagum dengan keindahan alam semula jadi selain masyarakat Asli yang kaya budi bahasanya. Mereka yang ingin berasakan pengalaman menarik ini boleh menghubungi Halimi atau Man Tiger melalui email ecolife@aol.asia atau azmansuradi@gmail.com.

No comments:

Post a Comment