TEPAT 9.50 pagi, saya akhirnya menjejakkan kaki ke Pulau Jerejak - pulau yang penuh dengan cerita menakutkan.
Ditemani pegawai Jabatan Penjara, Sarjan Abu Bakar Ramli, 51, saya dan jurugambar, Ismail Kamadin memulakan perjalanan ke kiri dari jeti Jerejak Rainforest Resort menuju lokasi pusat tahanan paling digeruni di negara ini.
Dalam keadaan hujan panas renyai-renyai kami melalui denai batu bercampur tanah selebar kira-kira dua meter yang dipenuhi pokok dan semak di kiri dan kanan.
Menurut Abu Bakar, dahulu jalan tersebut bertar dan dibina oleh tahanan.
''Di sini banyak batu besar. Mereka perlu membakar batu dan pahat keesokan harinya untuk membina jalan ini. Bas mini pun boleh lalu," ujarnya lagi.
Selepas kira-kira 20 langkah pandangan terarah kepada sebuah bangunan lama. Kami berhenti seketika sambil Abu Bakar cuba mengecam bangunan tersebut.
''Ini kuaters kakitangan. Dahulu ini kawasan paling jauh kerana kawasan tumpuan adalah di sana," sambil tangannya menunjuk ke arah depan lokasi sebenar pusat tahanan itu.
Dari situ pandangan mata kami terus disajikan bangunan lama yang semuanya terbiar, rosak, dilitupi daun dan dikelilingi pokok hutan bermula rumah pengarah, pusat gim kakitangan, tadika dan rumah aktiviti isteri kakitangan.
Selepas itu kami sampai ke kawasan semak setinggi dua meter yang sebenarnya merupakan bekas tapak padang bola dan tidak jauh dari situ tempat latihan menembak. Semuanya sudah hilang diganti hutan muda.
Kemudian kami melalui kawasan berpokok dan di celah-celah pokok tersebut kelihatan salib.
Semangat saya terus disentap selepas mengetahui ia merupakan tanah perkuburan Cina dan penganut Kristian dipercayai bekas pesakit batuk kering dan kusta.
Tidak jauh dari situ kami tiba di sebuah bangunan, dipercayai bangunan utama di pulau berkenaan tertulis 1911. Di sinilah berpusatnya segala aktiviti sejak pulau itu dibuka pada 1910 sebagai pusat kuarantin imigran oleh penjajah Inggeris.
Menurut Abu Bakar, semasa Pusat Pemulihan Akhlak beroperasi, bangunan tersebut dijadikan stor. Namun selepas ditutup ia dijadikan pejabat sebuah syarikat pembangunan pelancongan berdasarkan tulisan pada bangunan berkenaan.
Di depan bangunan tersebut terdapat jeti. Struktur asal kelihatan masih kukuh tetapi bumbung banyak tercabut tinggal rangka. Itulah 'nyawa' kehidupan masa lalu kerana hubungan dengan dunia luar bermula di situ.
Dari bangunan itu kami cuba mencari blok menempatkan kem tahanan tetapi kecewa selepas melihat kawasan itu dipenuhi bongkah batu ibarat berada di kawasan kuari. Apatah lagi kelihatan empat lori 'hantu.
Kami memanjat bongkah batu tersebut dengan harapan akan dapat melihat sisa-sisa kehidupan terasing yang menjadi igauan setiap lapisan masyarakat. Kami lega kerana dari atas longgokan batu itu dapat melihat beberap atap bangunan tanda masih terdapat tinggalan kenangan lalu.
Sebaik memasuki salah satu daripada empat blok yang masih berdiri kukuh itu timbul keinsafan melihat keadaan yang cukup ringkas. Simen setinggi setengah meter di kiri dan kanan menjadi katil penghuni.
Selain dinding setinggi satu setengah meter, kediaman tahanan hanya dipagari besi sehingga ke bumbung. Angin bebas menerobos masuk kerana tiada penghadang atau tingkap. Penulis tidak dapat membayangkan betapa sejuk kawasan itu pada malam dan dinihari.
Di hujung bangunan itu terdapat satu ruang bilik mandi berkongsi tiga tandas cangkung untuk kemudahan tahanan. Antara tandas dan ruang mandi tiada pintu hanya dipisahkan tembok simen, cukup untuk menyembunyikan seseorang yang berada dalam keadaan mencangkung.
Kesan-kesan grafiti yang masih terdapat pada dinding sedikit sebanyak menggambarkan jiwa penghuninya selama dua tahun ditahan di pusat itu. Ironinya, kesunyian mungkin menghimpit namun berdasarkan statistik pusat tersebut pernah menempatkan hingga 1,000 tahanan pada satu-satu masa.
Dengan keluasan 12.1 hektar dan memiliki 34 blok yang mana 28 blok digunakan untuk menempatkan tahanan, bermakna setiap blok dihuni kira-kira 30 penghuni. Malah pada peringkat awal dibuka pada 12 Jun 1969, ia sudah menerima 500 'penghuni', kebanyakannya terbabit dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Semua tahanan ditahan di bawah dua akta iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya 1985 (Langkah-langkah pencegahan khas).
Pada 1981 berlaku kejadian rusuhan membabitkan 100 tahanan selepas tidak berpuas hati dengan pelanjutan tempoh tahanan. Berdasarkan rekod, terdapat dua kejadian tahanan lari iaitu pada Januari 1988 seramai tujuh orang dan tiga orang pada Mei tahun sama.
Dari blok itu kami meninjau kawasan sekeliling mencari pagar setinggi 3.7 meter dan 20 menara pemerhati yang menjadi benteng pusat tahanan itu tetapi hampa kerana semuanya hilang ditelan semak dan pokok.
Hujan lebat memaksa kami memendekkan tinjauan dan meninggalkan sisa-sia kenangan lalu yang hampir musnah itu untuk kembali ke jeti sebelum menaiki bot ke Pulau Pinang.