Translate

Wednesday, May 2, 2012

Air terjun 9 tingkat



 MEMANJAT dinding 90 darjah antara cabaran ditempuhi peserta ekspedisi ini.
 PERIUK kera dan orkid hutan antara tumbuhan yang ditemui.
 PESERTA sibuk menyediakan makan malam.


Gunung Muntahak penuh keunikan, tarikan alam semula jadi

KETIKA melayari laman web Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) baru-baru ini, penulis terbaca pengumuman aktiviti yang menyebut, ‘Ekspedisi mendaki Gunung Muntahak, Air Terjun Sungai Tengkil dan Air Terjun Sungai Pelepah Kiri’. Tanpa berlengah, penulis terus menghubungi penganjur untuk menyatakan keinginan turut serta dalam ekspedisi itu.
Segala-galanya didorong dengan keinginan bermain air terjun yang sudah lama tidak dijejaki, jika adapun di lokasi sama seperti Ulu Yam atau Sungai Congkak, Selangor yang sering sesak dengan pengunjung hingga melenyapkan ‘mood’ untuk beriadah.Ekspedisi ini yang dilabel OGKL sebagai bertaraf Gred C, disertai 26 ahli yang mula berkumpul di Heritage Cafe di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur sebelum bertolak menaiki enam kereta secara konvoi ke lokasi dituju, Petri Jaya, Kota Tinggi, Johor.

Selain penulis dan teman-teman OGKL, kembara ini disertai sembilan peserta lain yang menunggu di Petri Jaya iaitu enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardun (SMKTS), Batu Pahat, Johor dan dua penunjuk arah. Mereka ialah Noh Ismail, 45 dan Shaharudin Abdul Razak, 47 atau lebih dikenali sebagai Rambo. Tidak ketinggalan, seorang wanita yang sudah bergelar nenek, Hasnah Abdullah, 59, menjadikan ekspedisi kali ini cukup menarik.

Sabtu

5 pagi : Kami akhirnya tiba di bandar Petri Jaya selepas menempuh perjalanan lebih lima jam. Sementara menunggu siang menjelma, kebanyakan peserta terutama pemandu mengambil peluang untuk melenyapkan mata sebentar bagi mengumpul tenaga. 
8.35 pagi : Selesai bersarapan dan menukar pakaian mendaki, kami memulakan perjalanan menaiki kereta menuju ke Gunung Muntahak melalui laluan Noh. Laluan ini mengambil nama individu pertama membuka laluan ini pada sekitar 1990-an. Sepanjang perjalanan sejauh tujuh kilometer ke kaki Gunung Muntahak, kami melalui ladang kelapa sawit dan jalan tanah merah menyebabkan pemandu terpaksa lebih berhati-hati mengawal kenderaan masing-masing.

10 pagi : Kami tiba di tapak pendakian. Ketua ekspedisi kali ini merangkap Presiden OGKL, Afif Che Embi, 34, dan Noh memberi sedikit taklimat. Selepas melakukan regangan dan memanaskan badan, cabaran bermula. Bagi perjalanan peringkat pertama ini, kami terpaksa meredah paya, bekas lombong lama dan semak samun serta benteng pasir yang ditumbuhi pokok orkid buluh dan periuk kera sebelum tiba di kaki gunung.

Dalam perjalanan, ada peserta tenggelam hingga paras lutut ketika melangkah kawasan berselut. Selain itu, pengalaman terserempak dengan tapak kaki harimau belang sebesar tapak tangan menyebabkan penulis remang bulu roma dan dalam hati berdoa supaya haiwan itu tidak menampakkan kelibatnya.

Kemudian, kami berhenti sebentar di Ulu Sungai Tengkil yang menjadi lokasi rehat pertama. Kebanyakan peserta mengambil peluang untuk mengisi bekas air dan membasahkan muka bagi menyegarkan badan.

12 tengah hari: Kami tiba di air terjun Sungai Tengkil tingkat dua. Ketika itu, semua mata terpaku pada keindahan air terjun dan terus menerpa untuk bermain air.

Afif memberi masa 45 minit kepada peserta untuk berehat dan makan tengah hari. Selepas itu, kami meninggalkan semua beg galas besar dan hanya membawa beg galas kecil sebelum meneruskan perjalanan menuju ke puncak Gunung Muntahak. Perjalanan seterusnya tidak begitu mencabar kerana beban berat sudah ditinggalkan selain laluan yang agak landai.

2.30 petang: ‘Subhanallah, subhanallah’ - itulah kata-kata pertama yang keluar dari mulut Afif setibanya kami di air terjun tingkat tujuh yang tidak dinafikan cukup indah.

Penulis tidak percaya dengan apa yang dilihat kerana inilah kali pertama berpeluang melihat kecantikan air terjun setinggi kira-kira 30 meter turun menegak melalui permukaan seakan-akan dinding dengan kecuraman 90 darjah. Di bawahnya, kolam semula jadi dengan air jernih dan sejuk cukup sesuai untuk mandi-manda.

Semua peserta tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan. Ini kerana Noh menyatakan antara sembilan tingkat air terjun di Gunung Muntahak, air terjun tingkat tujuh paling cantik.

Pendakian ke puncak Gunung Muntahak diteruskan. Kami melalui laluan sebelah kiri air terjun dan treknya agak curam serta penuh dengan resam. Trek ini menjadi semakin landai apabila pendaki tiba di ketinggian 1,700 kaki. Dari sini, pendaki perlu mendaki dua puncak permatang sebelum tiba di puncak sebenar. Selepas sejam, Noh memberitahu beliau tidak dapat meneruskan perjalanan kerana berasa kurang sihat. Ini menyebabkan kami terpaksa meneruskan pendakian dengan peranan beliau diambil alih Afif.

Sebelum itu Noh, sempat menyerahkan peta dan menunjukkan navigasi yang perlu diikuti hingga ke puncak.

5 petang: Akhirnya, kami berjaya menawan puncak Gunung Muntahak. Kami terkejut mendapati ada kumpulan lain yang tiba terlebih dulu. Kumpulan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan mereka sudah tiba sejak jam tiga petang serta menggunakan laluan Johan dari Tenggara.

Pemandangan sekeliling tidak dapat dilihat kerana dihalang oleh pokok kayu yang tumbuh melebihi lima meter. Kami tidak berehat lama, iaitu kira-kira setengah jam saja kerana masa yang suntuk dan khuatir perlu berjalan malam untuk turun ke bawah.

Kerisauan menjadi kenyataan apabila kami terpaksa berjalan malam atau istilah yang diguna pakai OGKL, ‘overtime’. Ini kerana kami tersesat selama setengah jam ketika penurunan. Insiden itu berlaku apabila Rambo bergerak ke depan walaupun sepatutnya, kami membelok kanan apabila tiba di satu persimpangan.

Mujur ada antara kami yang tersedar dan segera berpatah balik sebelum terserempak dengan Noh. Nasib Rambo dan lima peserta lain tidak diketahui kerana mereka sudah terlalu jauh ke depan menyebabkan kami terpaksa turun terlebih dulu. Perjalanan menjadi perlahan kerana ada antara kami tidak membawa lampu suluh dan melangkah lebih pendek kerana berhati-hati.

9 malam: Akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan. Tanpa membuang masa, kami mendirikan khemah dan bersiap untuk memasak. Sekitar jam 10 malam, enam peserta tersesat itu berjaya turun dengan bantuan penunjuk arah yang digunakan kumpulan penuntut UTM. Kami bersyukur kerana mereka berjaya turun dengan selamat. Selesai makan malam, kami terus tidur supaya dapat bangun awal keesokan hari.

Ahad

10 pagi: Selepas bersarapan dan mengemas semua peralatan perkhemahan, kami memulakan perjalanan. Kami menuju lokasi seterusnya iaitu air terjun Sungai Pelepah kiri. Perjalanan agak jauh, iaitu mengambil masa kira-kira dua jam. Apa yang menarik, air terjun ini mempunyai 13 tingkat. Bagi Noh, air terjun ini adalah lebih cantik dari air terjun Sungai Tengkil serta mempunyai kolam lebih luas.

1.30 petang : Kami hanya membawa keperluan penting saja iaitu makanan dan ‘ration’ untuk dimasak ketika berkhemah. Sebelum bergerak, kami sempat membeli makanan di sebuah gerai dan terkejut mendapati harganya agak mahal.

Sasaran kami seterusnya ialah air terjun tingkat 11. Trek perjalanan kali ini juga boleh dianggap santai, jadi memudahkan perjalanan kami.

2.30 petang: Kami tiba di air terjun tingkat sembilan, kami berehat sebentar untuk menyediakan makanan tengah hari. Awan semakin mendung menyebabkan kami segera bergerak menuju ke tingkat 11 yang hanya mengambil masa 40 minit saja. Cabaran yang perlu dihadapi kali ini ialah memanjat dinding 90 darjah menggunakan tali dan mujur tiada yang tercedera.

Sebaik tiba, semua pelajar SMKTS melompat ke dalam kolam termasuk penulis bagai kanak-kanak yang riang mendapat alat permainan baru. Selepas hampir sejam bermain, kami turun kerana khuatir dengan hujan yang semakin lebat serta air yang deras. Seorang rakan, Razman Arsad sempat melakukan aksi terjun tiruk di air terjun tingkat lapan dan keberaniannya itu menerima tepukan gemuruh dari peserta lain.

6.30 petang: Kami memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Penulis berazam untuk menjenguk sekali lagi Gunung Muntahak dan keindahan air terjunnya.

Info Gunung Muntahak

  • Terletak di Bandar Petri Jaya, Kota Tinggi, Johor dengan ketinggian 634 meter (2,080 kaki) dari aras laut serta memiliki air terjun sembilan tingkat.
  • Boleh didaki dari tiga arah iaitu barat dikenali sebagai laluan Noh, tenggara (laluan Johan) dan selatan (laluan Pelepah).

1 comment: