Translate

Monday, October 8, 2012

Mistik, stigma Pulau Jerejak


WALAUPUN telah ditutup hampir 20 tahun lalu, stigma Pulau Jerejak sebagai tempat buangan penjenayah tegar, paling ganas dan bahaya tidak pernah pudar.
Stigma itu masih kuat sehingga ia menerima jolokan sebagai Alcatraz Malaysia, merujuk kepada sebuah penjara di Amerika Syarikat yang dikhususkan untuk menahan penjenayah paling ganas di negara itu.
Sejak pusat tahanan atau nama rasminya Pusat Pemulihan Akhlak itu ditutup pada 1993, tidak banyak diperkatakan tentang pusat tersebut dan pulau yang satu ketika dahulu pernah dicadangkan oleh Inggeris menjadi pangkalan tentera lautnya.
Apatah lagi ketika pusat tahanan itu beroperasi 1969-1993 ia merupakan kawasan larangan.
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, sesekali akan timbul berita mempromosi pelancongan ekoran pembukaan satu-satunya pusat pelancongan di pulau itu iaitu Jerejak Rainforest Resort pada 2004.
Hakikatnya Pulau Jerejak bukan pusat tahanan atau dalam bahasa kasar tempat buangan samseng tegar atau pengedar dadah sahaja kerana sejarahnya melangkaui stigma buruk itu.
Yang pasti pulau itu sentiasa menjadi pilihan sebagai pusat pengasingan. Bermula sebagai pusat kuarantin imigran China dan India, ia kemudian diperluaskan kepada jemaah haji yang pada ketika itu pergi dan balik dari tanah suci menaiki kapal.
Selepas itu ia menjadi pusat rawatan penyakit batuk kering dan kusta sebelum dijadikan pusat tahanan samseng dari seluruh negara. Dikatakan juga pulau tersebut mempunyai kaitan awal hubungan Malaysia dan Rusia.
Walaupun kerap menjadi pusat pengasingan, pulau tersebut sebenarnya tidak terlalu terasing.
Sebaliknya, ia boleh dilihat jelas ketika melalui Jambatan Pulau Pinang dan di sepanjang pesisir pantai Bayan Lepas.
Kedudukan pulau itu dengan Pulau Pinang khususnya Bayan Lepas juga telah dipendekkan kepada 1.5 kilometer berbanding 2.3 km sebelum ini setelah kerja penambakan pantai dilakukan.
Dengan kerjasama Jabatan Penjara, wartawan S2, HAMDEN RAMLI dan jurugambar ISMAIL KAMADIN berkunjung ke pulau itu baru-baru ini bagi melihat sisa-sisa kehidupan lalu yang menjadi stigma masyarakat hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120915/pl_01/Mistik-stigma-Pulau-Jerejak#ixzz28lclcP6y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment