Translate

Monday, October 8, 2012

Dunia indah saya - L. Ramli


laluan di antara Kem 4 dan 5, Pulau Jerejak ini menjadi jalan tetap L. Ramli pulang ke rumah di Pusat Kuarantin pada 1966.
ITU jam tak ada siapa mahu kerja di Pulau Jerejak. Apa lagi sebagai atendan hospital. Di pulau sunyi, tidak ada hiburan tapi sebagai anak Pulau Jerejak saya sudah biasa. Lagi pun masa tu susah hendak dapat kerja kerana pendidikan setakat darjah enam, itu pun tidak lulus."
Demikian jelas penyanyi popular tahun 60-an, Datuk L. Ramli memulakan cerita mengenai Pulau Jerejak seperti direkodkan pada majlis pengisahan sejarah pulau itu anjuran Arkib Negara pada 2006.
Menurutnya, walaupun tidak lahir di pulau itu tetapi sebahagian besar zaman kecil dan remaja dihabiskan di pulau tersebut.
''Ayah dan bapa saudara pun bekerja di situ. Saya belajar di sekolah Inggeris sehingga darjah tiga di Sekolah Sir Edward Gent di Kem 5 pulau itu, sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Melayu Sungai Nibong sehingga darjah enam," tambahnya.
Tamat darjah enam dia menjadi 'penganggur' sebelum diterima bekerja sebagai atendan di Hospital Tibi di Kem 1 pada 1966. Sepanjang sembilan tahun menganggur dia melakukan pelbagai kerja termasuk memancing ikan, memotong kayu dan dijual 50 sen seikat serta kerja-kerja buruh di Sungai Nibong.
Sebagai atendan hospital dia bukan sahaja melakukan kerja mencuci tetapi banyak kerja sampingan lain termasuk menghantar mayat pesakit tibi ke Sungai Nibong dari Kem 1 Pulau Jerejak.
"Itu jam tidak ada perasaan takut. Saya dengan seorang atendan berbangsa Cina mengayuh sampan dengan keranda berisi mayat yang hanya ditutup kain merah. Perjalanan mengambil masa satu setengah jam," katanya.
Enam bulan menjadi atendan dia ditukarkan sebagai operator. Walaupun kerja tersebut tidak menggunakan banyak tenaga tetapi memaksa dia bekerja syif sama ada dari pukul 7 pagi hingga 2 petang, 2 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga keesokan paginya.
''Kalau syif pagi, saya boleh balik naik perahu atau jalan kaki tetapi kalau syif pukul 2, saya tidak balik tetapi kalau ada perkara mustahak saya akan balik juga ke rumah di Pusat Kuarantin dengan jalan kaki.
''Dengan sebatang buluh, lampu suluh dan beg saya berjalan naik bukit sehingga sampai ke Kem 4 yang terletak di sebelah barat pulau. Dari situ saya kena berjalan ke Kem 5 melalui jalan tepi laut dan terpaksa melalui kawasan tanah perkuburan Melayu, Cina dan India.
''Pernah sekali ketika menaiki bukit saya terdengar daun bergesel kuat dan bila disuluh kepala ular katang tebu sedia mematuk. Saya pukul dengan buluh sampai mati dan memasukkan bangkai ular ke dalam beg untuk dibawa pulang," katanya menambah semua itu dilakukan walaupun gaji pada ketika itu hanya RM86 sebulan.
Pengalaman berulang-alik dalam kepekatan malam itu berakhir apabila semua jabatan kerajaan di pulau itu dipindahkan setelah kerajaan membuat keputusan menjadikan pulau tersebut pusat tahanan pada 1969.
Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Dara Pujaan itu ketika memberitahu S2, selepas berpindah ke Kepala Batas, dia kerap kembali ke pulau itu untuk menangkap ikan.
''Sepatutnya tidak boleh tetapi kawan bantu," katanya yang masih aktif menyanyi.
Beliau mengakui pulau itu 'keras' kerana menjadi tempat pihak tertentu menjalankan kegiatan 'buang bala' dan kejadian mayat hanyut tersangkut di batu-batu sekeliling pulau itu juga kerap berlaku.
''Memang ada (hantu). Saya pernah nampak hantu putih duduk atas batu tetapi bapa saudara saya ingatkan, kalau nampak benda pelik jangan tegur, diam sudah. Jangan cabul," katanya.
Beliau menambah, walau apa pun persepsi masyarakat terhadap Pulau Jerejak, pulau itu tetap indah kerana sebahagian besar hidupnya dihabiskan di pulau tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120915/pl_03/Dunia-indah-saya---L-Ramli#ixzz28lcO7ERT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment