Translate

Monday, October 8, 2012

Pelancong asing suka


Peti besi lama turut berada dalam koleksi simpanan Victor Chin Pen Tan.
Sambutan yang diterima daripada pelanggan dan penggemar barangan lama terhadap lorong antik ini amat menggalakkan.
Menurut Victor Chin Pen Tan, salah seorang pengusaha kedai antik di Lorong The Blue Mansion, sambutan yang diterima daripada pelanggan dan juga peminat-peminat barangan antik begitu mengujakan. Kedainya sering menjadi 'sasaran' pelancong asing yang meminati barangan antik sekiranya mereka ke Malaysia.
Katanya lagi, dia yang pada awalnya merupakan seorang pengumpul barangan lama berminat untuk membuka kedai menjual barangan antik kerana permintaan terhadap barangan tersebut begitu tinggi.
"Asalnya saya hanyalah seorang pengumpul barangan lama sejak zaman ayah saya lagi dan apabila ada di antara barangan yang dikumpul hendak dibeli oleh peminat barangan antik, saya mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai dan menempatkan barangan yang dikumpul selama ini.
"Malah sehingga hari ini saya masih lagi menjadi pengumpul tetapi sekiranya barangan tersebut ingin dibeli pelanggan, saya akan menjualnya melainkan barangan tersebut koleksi peribadi saya.
"Bukan itu sahaja, selain kedai menempatkan pelbagai barangan antik, saya juga merupakan tempat rujukan peminat-peminat barangan lama mendapatkan barangan kegemaran mereka," katanya.
Menempatkan lebih daripada 10,000 jenis barangan di kedainya, ulas Victor perniagaan yang diusahakannya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira tua atau muda.
Ini kerana katanya, kedainya bukan sahaja menempatkan satu-satu jenis barangan tetapi mempelbagaikan barangan termasuklah untuk golongan remaja.
Victor yang kini turut mempunyai pelanggan tetap dari dalam negara dan juga luar negara pastinya tidak akan ketinggalan mendapatkan barangan antik walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
Ini kerana bagi Victor ada baiknya dia sendiri yang melihat dan membeli barangan tersebut untuk kepuasan hatinya.
"Sebut sahaja di mana barangan antik ada dijual ataupun hendak dijual, sekiranya tiada halangan pasti saya akan pergi termasuklah sanggup 'terbang' ke luar negara.
"Walaupun ada kalanya apa yang dilakukan itu dilihat tidak memadai tetapi percayalah, barangan antik ini ada nilai dan juga keistimewaannya yang tersendiri.
"Barangan antik juga merupakan barangan eksklusif kerana tidak semua orang mempunyainya," katanya lagi.
Apabila ditanya adakah dia rasa berbaloi apabila terpaksa mengeluarkan modal yang banyak untuk mendapatkan satu-satu barangan tersebut, jelas Victor ia sangat-sangat berbaloi kerana ada kalanya barangan tersebut dijual pada harga melebihi modal yang dikeluarkannya.
Yang pasti, sebaik sahaja melangkah masuk ke kedai antik milik Victor, anda pastinya terpegun melihat pelbagai jenis barangan dipamerkan untuk dijual.
Daripada sekecil-kecil benda seperti pisau lipat hinggalah sebesar-besar barangan seperti anak patung ataupun kerusi, jelas menunjukkan minat Victor terhadap barangan antik.
Jadi bagi peminat-peminat barangan antik, jangan ketinggalan untuk mengunjungi Pasar Seni terutama sekali Lorong The Blue Mansion untuk mendapatkan koleksi antik peribadi anda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120920/pl_02/Pelancong-asing-suka#ixzz28ldCtr87
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment