Cuti panjang hujung tahun sudah makin hampir. Anda sudah buat perancangan melancong? Kalau belum, bagaimana kalau saya cadangkan satu destinasi yang sangat menarik, murah dan meriah?
Tempat ini jarang dikunjungi oleh pelancong dari negara kita dan anda boleh buat persiapan mulai sekarang. Destinasi yang saya cadangkan adalah Amerika Syarikat (AS). Menarik, bukan?
Tentu anda bertanya, kenapa AS. Jawapannya, AS menjanjikan kemeriahan dan keseronokan berganda. Hanya orang bertuah sahaja dapat menikmatinya.
Saya berani cakap begitu kerana saya telah ke sana bersama Ketua Pegawai Eksekutif POTO Travel & Tours Sdn. Bhd., Ab. Rahman Mohd. Ali dan dua orang pegawai agensi pelancongan terkenal itu untuk tinjauan awal program kembara majalah MASTIKA, baru-baru ini.
Baiklah, mari saya ceritakan betapa seronoknya melancong dan bercuti di sana. Pertama, AS membuai kita ke dalam dunia glamor. Manakan tidak, destinasi utama program kembara tersebut adalah Los Angeles, California.
Di situlah letaknya Hollywood, pusat industri hiburan dunia dan dihuni oleh para selebriti bertaraf megastar. Destinasi wajib, Walk of Fame (Laluan Kemasyhuran) iaitu laluan pejalan kaki sepanjang 2.1 kilometer yang lantainya dipasang butiran-butiran bintang berwarna merah jambu.
Di dalam bintang tersebut diabadikan pula nama selebriti terkenal Hollywood dalam bidang perfileman, radio, televisyen, pentas dan muzik.
Sekarang ini ada lebih kurang 2,500 bintang di Walk of Fame. Pilihlah kita hendak bergambar dengan bintang terrazzo milik Michael Jackson, The Beatles, Britney Spears, Tom Cruise, Celine Dion, Michael Jackson, Johnny Depp atau artis-artis lain.
Kemudian kita boleh bersiar-siar di Beverly Hills untuk melihat kediaman mewah artis-artis terkenal. Antaranya rumah Halle Barry, Britney Spears, Simon Cowell, Jacky Chan dan Jack Nicholson. Malah bekas rumah Marilyn Monroe juga akan kita kunjungi. Hebat, bukan?
Itu belum dikira hotel kecil yang menjadi lokasi penggambaran filem Pretty Women lakonan Richard Gere dan jelitawan Julia Roberts serta muzium Ripley's Believe it Or Not.
Keseronokan digandakan dengan pelbagai aktiviti di taman tema Disneyland dan Universal Studios.
Apa ada di Disneyland? Selain permainan serta persembahan berkonsepkan kisah dongeng, pengembaraan dan futuristik, kita juga boleh bermesra dengan watak-watak kartun seperti Duffy Duck, Mickey Mouse, Minnie, Beauty and The Beast, Alice and Wonderland, Lilo dan Stitch.
Apabila melihat watak-watak ini berarak dan kemudian menyaksikan kemeriahan permainan bunga api pada sebelah malamnya, saya yakin anda rasa macam hendak jadi budak kecil semula!
Kalau Disneyland berkonsepkan kanak-kanak dan keluarga, Universal Studios pula lebih dewasa sifatnya. Di sini kita boleh berseronok dari pagi sampai malam dengan permainan-permainan kembara, futuristik, 4D, sains fiksyen dan lasak.
Paling menarik persembahan King Kong 360 3D, pertempuran Transformers, Jurassic Park, juga aksi penuh dramatik Waterworld.
Menyaksikan studio-studio yang digunakan dalam filem serta drama terbitan Universal Studios pula akan membuatkan kita berasa lebih dekat dan faham akan industri tersebut. Antara yang boleh kita lawati set filem Jaws, Desparate Housewives, Fast and Furious dan Bates Motel.
Apalah maknanya melancong ke AS kalau tidak berkunjung ke Grand Canyon?
Terletak di Arizona, sesiapa pun pasti terpegun melihat dindingnya yang berlapis-lapis dengan warna berbeza-beza - merah, coklat, kuning, kelabu - serta dasarnya yang menjunam hingga 1.6 kilometer dalam.
Kalau bernasib baik, kita akan dapat melihat singa, helang, labah-labah black widow, elk, burung hering, ular orok-orok, katak bertanduk, coyote dan kala jengking yang hampir pupus.
Pemandangan ajaib dan unik di Grand Canyon sepanjang 445 kilometer dan seluas 29 kilometer itu tentu membuatkan kita berasa insaf akan keagungan Tuhan.
Las Vegas, kota hiburan paling terkenal di dunia, adalah destinasi seterusnya. Di sinilah tempatnya untuk meneruskan keseronokan di Hollywood tadi dengan menyertai persembahan hiburan, permainan, fun fair dan sebagainya.
Apa yang menarik, wajah sebenar Las Vegas hanya dapat kita lihat pada malam hari sahaja. Ketika itu segenap inci kota hiburan tersebut diterangi dengan cahaya lampu yang berwarna-warni dan bergemerlapan.
Siang, Las Vegas 'tidur'. Semua aktiviti hiburan dihentikan. Malam, ia akan meriah kembali dan kita boleh berhibur semula. Selain menyediakan pelbagai bentuk hiburan untuk kita nikmati, Las Vegas juga menjadi istimewa kerana ia dibangunkan di tengah padang pasir tandus dan penuh kaktus.
Sebahagian besar pembangunnya ialah mafia dan gengster! Ini semua menjadikan Las Vegas sebuah kota penuh drama dan misteri.
Lawatan masih belum berakhir kerana masih ada San Francisco. Di sana, satu lagi ikon legenda akan kita lawati, iaitu Jambatan Gantung Golden Gate.
Disebabkan anda melancong pada hujung tahun, anda akan dapat melihat kepulan kabus tebal di bawah jambatan tersebut. Landskap semula jadi yang menakjubkan ini menghasilkan pemandangan seolah-olah ia dibina di atas awan!
Kota San Francisco dibina di atas lebih 40 buah bukit. Ini menjadikan kota itu beralun-alun dan bagaikan menjunam ke laut.
Bukan itu saja, di sana kita juga boleh berkunjung ke Lombard Street, Penjara Alcatraz, kemudian bersantai menikmati makanan laut dan membeli cenderamata di Fisherman's Wharf.
Belum tamat lagi… ada dua lagi keseronokan melancong ke AS dalam kembara ini. Pertama, menyaksikan keindahan alamnya. Untuk pengetahuan anda, sebahagian besar California, Arizona dan Nevada adalah kawasan gurun.
Ini membuatkan di sepanjang perjalanan kita akan menjadi ralit melihat bumi yang tandus, deretan pokok kaktus serta rerumput kering.
Di situ dahulunya puak Red Indian tinggal. Sekarang mereka boleh kita temui di hentian rehat tertentu, menjual kraftangan serta hiasan manik tradisional.
Di sesetengah tempat, gurun kering tandus ini dilihat berjalur-jalur dengan lapisan warna ungu, biru, kuning, coklat dan oren. Ia terhasil daripada tindak balas warna tanah dan haba matahari. Sangat indah.
Menghala ke San Francisco, kita akan ralit melihat muka buminya yang beransur-ansur menghijau, padang ragut luas terbentang serta pokok-pokok kering.
Ops, belum habis lagi! Ada satu lagi aktiviti paling menyeronokkan di AS - shopping. Inilah aktiviti tidak patut anda lepaskan!
Saya katakan begitu kerana cukup banyak cenderamata dijual di sana dengan harga relatif murah. Sebagai contoh, kita boleh membeli baju T berkualiti dan tertera nama tempat dilawati dengan harga AS$5 (RM15) sahaja.
Tempat paling istimewa untuk membeli-belah di AS adalah factory outlet. Terdapat banyak factory outlet dan jangan terkejut, ia menjual barangan berjenama daripada minyak wangi, pakaian, beg, kasut, perapi tubuh dan sebagainya - dengan potongan harga sehingga 70 peratus! Setiap hari, tujuh hari seminggu!
Saya jamin, sesiapa saja yang berkunjung AS akan dihinggapi penyakit 'gila shopping.' Itulah yang kami alami selama dua minggu di sana.
Nah, apa tunggu lagi. Semua boleh anda rasai dengan menyertai program kembara MASTIKA yang akan diadakan pada 11 Oktober dan 6 Disember ini serta 27 Mac 2013. Pakej Muslim, 12 hari 9 malam dan tempat terhad. Cuma RM9,989 sahaja… harga yang anda takkan dapat di tempat lain.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi MASTIKA di talian 03-92006640/019-2260039.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120909/pl_01/AS-Murah-meriah#ixzz28lavzRPM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment