Translate

Monday, October 8, 2012

Seharian di Universal Studio

PENULIS sempat bergambar di hadapan mercu tanda popular Universal Studio, Singapura ketika melawat bersama rakan-rakannya.



MUNGKIN ramai yang menyangka melawat ke Singapura memakan belanja yang banyak tambahan pula nilai wang mereka lebih dua kali ganda ringgit.
Namun percutian saya bersama dua rakan ke Universal Studio, Singapura masih boleh dianggap sebagai bajet kerana kesemua perbelanjaan adalah dalam lingkungan RM250.
Mari kita ikuti percutian Elsa Azzelia Ahmad bersama rakan-rakannya ke Johor Bahru dan Universal Studio Singapura:
Perjalanan dimulakan dari Terminal Bersepadu Selatan menuju ke Terminal Bas Larkin pada hari Rabu pagi dan sampai di Johor Bahru pada pukul 1 petang.
Setibanya di sana kami menjamu selera di terminal bas kerana terdapat pelbagai juadah makanan yang di sediakan yang rata-ratanya makanan kampung atau nasi campur.
Selepas menjamu selera kami mula bergerak ke hotel yang terletak di Danga Bay dengan menaiki teksi.
Suasana di Danga Bay sangat mempesonakan, tambahan pula ia merupakan kali pertama saya ke sini.
Melalui maklumat yang kami terima, tapak Danga Bay merupakan kawasan laut yang ditambak bagi menempatkan hotel, kedai-kedai dan juga tempat riadah bagi seisi keluarga.
Selepas check-in di hotel, kami berehat seketika bagi membolehkan aktiviti menjelajahi Bandar Raya Johor Bahru pada sebelah petangnya.
Pada pukul 5 petang, kami pun meluangkan masa berjalan-jalan sekitar Danga Bay, menaiki tram yang mengelilingi tempat peranginan itu.
Terdapat beberapa kapal layar milik persendirian diletakkan di kawasan yang disediakan menggamit keindahan senja kawasan tersebut.
Lebih menarik lagi, kami menyaksikan sebuah kapal persiaran yang dihiasi lampu neon yang cantik digunakan sebagai restoran yang mana ia akan belayar sepanjang selat berdekatan dengan Danga Bay.
Maklumlah kami dalam lingkungan cuti bajet, jadi kami tidaklah makan malam di atas kapal tersebut.
Nasib menyebelahi kami kerana, seorang kenalan di universiti berbesar hati membawa kami berjalan-jalan di sekitar bandar Johor Bahru.
Kami singgah makan di Jalan Wong Ah Fook menikmati makanan di gerai yang terdapat di lorong belakang deretan kedai di situ.
Selepas puas menjamu selera, kami dibawa ke pasar malam yang terletak tidak jauh dari situ dan terus pulang ke hotel kemudiannya.
Kami bangun seawal jam 6 pagi pada keesokkan harinya, kerana bas yang membawa kami ke Universal Studio, Singapura akan bertolak pada pukul 7 pagi.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah untuk ke Universal Studio melalui Tambak Johor.
Setibanya di sana, kami tidak perlu beratur panjang kerana bukan pada waktu puncak.
Pelbagai permaianan kami main termasuklah Transformers Ride, Water Rapid, Far Far Away Kingdom dan pelbagai jenis permainan yang terdapat dalam filem keluaran Universal.
Selain itu pengunjung di situ turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, tarian, teater dan juga demonstrasi pembikinan filem oleh pengarah terkenal Steven Spielberg.
Sedar tidak sedar, kami telah berada di sana hingga pukul 7 malam, kami terpaksa meninggalkan Universal Studio yang penuh keseronokan untuk pulang kerana bas akan menunggu kami pada pukul 8 malam.
Setibanya di Larkin kami terus menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 11 malam dengan tiket yang kami telah beli pada hari kami sampai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120908/pl_01/Seharian-di-Universal-Studio#ixzz28laQny8H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment