Translate

Monday, September 17, 2012

Keindahan & ketenangan Killarney


Pemandangan menarik di Rose Castle.

PELUANG menjejak kaki ke bumi Killarney yang terletak di barat daya Ireland adalah kenangan cukup indah dan menarik. Sebelum ini, nama Killarney langsung tidak pernah diketahui mahupun didengar kerana umum hanya mengetahui nama Dublin, Belfast dan Cork yang sering menjadi tumpuan dan pilihan pelajar Malaysia untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.
Killarney adalah bandar terbesar di daerah Kerry dan menjadi pusat pelancongan terkenal di Eropah.
Dengan kepadatan penduduk hampir 14,000 orang, bandar ini menjadi pilihan penduduk republik ini serta dari negara luar untuk bercuti.
Ini kerana kedudukannya yang strategik, dekat dengan pelbagai destinasi pelancongan serta memiliki banyak bangunan bersejarah, menjadikannya cukup unik.
Menurut sejarah, bandar Killarney mula menjadi penting sekitar pertengahan 1700 apabila seorang rakyat tempatan yang kaya - Lord Kenmare membangunkan perniagaan pelancongan.
Jadi, tidak hairanlah jika ke bandar ini dan melihat banyak hotel serta B&B (Bed & Breakfast) untuk kemudahan pelancong.
Ramai tidak mengetahui, di sebalik kemajuan bandar ini dalam bidang pelancongan, ia ditunjangi sekumpulan rakyat Malaysia yang memilih untuk bekerja dan menetap di sini.
Mereka bekerja dalam bidang hospitaliti dan perkhidmatan penyediaan makanan seperti chef, perkhidmatan kaunter hadapan dan pengurusan restoran.
Sebilangan besar telah menetap di sini lebih 10 tahun dan mempunyai keluarga serta anak-anak yang lahir dan membesar di sini. Malah ada yang berkahwin dengan rakyat tempatan.
Mereka ialah pekerja profesional dari pelbagai hotel di seluruh Malaysia yang ditawarkan peluang bekerja 10 tahun lalu.
Kedatangan penulis ke republik ini selama 60 hari untuk menziarahi suami yang menetap dan telah bekerja di republik ini hampir 12 tahun.
Memilih untuk berada di negara ini ketika tamat musim sejuk dari Februari hingga April adalah pilihan terbaik merasai keseronokan berada di negara empat musim.
Walaupun musim sejuk telah berakhir, masih kelihatan salji di puncak bukit dan suhu sekitar 2 darjah Celsius selain hujan renyai menambah kedinginan.
Berada di negara asing, perkara yang sering dirisaukan adalah makanan. Bagi mendapatkan bekalan makanan halal dan segar seperti daging lembu, kambing dan ayam, tidak menjadi masalah kerana terdapat kedai menjual produk halal yang diusahakan oleh warga Bangladesh.
Paling menarik, pelbagai bahan makanan turut dijual seperti rempah ratus, nasi impit segera, kicap, sos cili, ubi keledek dan pelbagai bahan basah yang dibawa dari Malaysia dan Indonesia.
Ini menjadikan kedai beliau tumpuan orang Islam untuk mendapatkan stok bekalan makanan.
Tambah menarik, semua warga Bangladesh ini fasih berbahasa Melayu menjadikan penulis terasa seperti berada di tanah air apabila membeli keperluan dapur.
Komuniti Malaysia yang berada di sini hidup dengan ikatan kekeluargaan yang cukup erat.
Menjalani hidup sebagai golongan perantau di negara asing, menjadikan komuniti ini saling bekerjasama dan seringkali mengadakan majlis makan dari rumah ke rumah.
Paling menyeronokkan, hidangan yang disediakan adalah masakan kampung dari tanah air membuatkan kerinduan pada kampung halaman terubat.
Terasa uniknya, walaupun berada di negara asing, masih dapat menikmati keenakan masakan tradisional Melayu malah ia lebih enak kerana dimasak oleh chef yang pakar.
Sekiranya berniat mencuba makanan dari restoran, berhati-hati kerana penggunaan bahan yang tidak halal.
Begitu juga apabila membeli biskut, roti, makanan ringan atau ubat gigi, harus diteliti labelnya.
Percutian di Killarney tidak lengkap sekiranya tidak melawat tempat dan bangunan bersejarah.
National Park - sebuah taman negara yang mempunyai pemandangan cukup indah di mana dari sini dapat dilihat gunung-ganang, hutan kayu dan tasik.
Ditemui pada 1932, Killarney National Park turut menjadi habitat rusa merah serta pelbagai flora dan fauna.
Sebuah lagi tempat menarik adalah Muckross House - sebuah bangunan direka oleh pereka Scotland, William Bum pada 1839 dan siap pada 1843. Rumah ini milik generasi keluarga Herbert.
Untuk masuk ke rumah ini, anda dikenakan sedikit bayaran namun apabila berada di dalamnya, mata terpegun dan kagum menyaksikan rumah bangsawan Inggeris lama dengan susun atur perabot zaman dahulu kala.
Ring of KerryDi luar, terdapat sebuah taman dipenuhi pokok bunga yang cantik, kedai cenderamata serta restoran.
Jangan lepaskan peluang mengelilingi Ring of Kerry. Perjalanannya mengambil masa lebih kurang empat jam.
Ring of Kerry adalah laluan dalam bentuk bulatan - bermula dari National Park dan berakhir di tempat yang sama.
Pengunjung akan melalui beberapa buah kawasan kampung serta menikmati keindahan sebenar daerah Kerry.
Pemandangan gunung, bukit dan tasik menemani penulis sepanjang perjalanan menuju ke Killorgin. Ketika sampai ke Rossbeigh kami berhenti untuk melihat kawasan pantai di situ.
Angin yang kuat ditambah suhu dingin serta kedudukan rumah di kawasan bukit membuatkan penulis merasa takjub dan gerun.
Perjalanan diteruskan sehingga sampai ke Waterville di mana penulis dapat menyaksikan Lautan Atlantik terbentang di hadapan.
Menarik juga disini, apabila dikatakan Charlie Chaplin pernah singgah untuk mencari ketenangan dan inspirasi.
Seterusnya, perjalanan sampai di Sneem - sebuah pekan kecil di mana terdapat pelbagai kedai cenderamata serta deretan restoran yang terkenal dengan masakan ikan segar. Penulis tidak ketinggalan mencuba keenakan ikan kod.
Lokasi terakhir di Ring of Kerry adalah Kenmare. Sepanjang perjalanan, penulis terpegun melihat kambing biri-biri hitam dan putih memenuhi kawasan bukit di situ.
Sebuah lagi tempat menarik di sini adalah Ladies View. Menurut cerita, ia tempat persinggahan dayang-dayang kepada Permaisuri Victoria untuk melihat pemandangan pada 1861, di mana terdapat pertemuan sungai, gunung dan tasik.
Hampir tiba semula di bandar Killarney, penulis singgah di Torc Waterfall - kawasan air terjun yang sungguh indah dan unik pada ketinggian 18 meter.
Sebuah lagi tempat pelancongan yang menarik adalah Ross Castle - istana lama yang berlatarbelakangkan tasik ini cukup bersejarah.
Dibina pada abad ke-15, ia menyimpan pelbagai cerita dan sejarah. Pengunjung boleh menyewa bot dari istana untuk bersiar-siar di sekeliling pulau.
Selain melawat tempat menarik, pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti memancing, bermain golf, menaiki bot dan berjalan kaki.
Bagi yang gemar berbelanja, boleh membeli cenderamata untuk dijadikan kenangan pada harga menarik.
Gedung beli-belah, kedai jualan borong dan restoran yang terkenal seperti TESCO, Mark & Spencer, New Look, TopShop, Nosh Coffee, O'Brien dan Mc Donalds terdapat di sini.
Penulis cukup berpuas hati kerana berpeluang melihat sambutan St. Patricks yang diraikan oleh warga Ireland di Killarney.
Sesuatu yang pasti tidak dapat penulis lupakan adalah keramahan warga emas yang sering menyapa "Hi" atau "Hello" di sepanjang jalan sambil melemparkan senyuman.
Untuk ke Killarney, pengunjung boleh menaiki dua penerbangan dan transit di London.
Jika memilih menaiki penerbangan Malaysia Airlines System (MAS) dari KLIA, perjalanan dianggarkan 12 jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London.
Dari sana, anda perlu menukar penerbangan untuk ke Lapangan Terbang Cork dan perjalanan dari Heathrow, London ke Cork, Ireland mengambil masa lebih kurang sejam.
Dari Cork, anda boleh menaiki pengangkutan awam untuk ke Killarney yang jauhnya sejam perjalanan.
MAS juga menawarkan penerbangan terus ke Dublin dan untuk sampai ke Killarney dari Dublin mengambil masa lebih kurang empat jam.
Sekiranya anda memilih untuk menaiki penerbangan Air Asia, pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang Stansted sebelum menukar penerbangan di Lapangan Terbang Kerry, Ireland.
Lokasi Lapangan Terbang Kerry lebih dekat dengan Killarney, hanya lebih kurang 15 minit.

No comments:

Post a Comment