Translate

Monday, October 8, 2012

Seharian di Universal Studio

PENULIS sempat bergambar di hadapan mercu tanda popular Universal Studio, Singapura ketika melawat bersama rakan-rakannya.



MUNGKIN ramai yang menyangka melawat ke Singapura memakan belanja yang banyak tambahan pula nilai wang mereka lebih dua kali ganda ringgit.
Namun percutian saya bersama dua rakan ke Universal Studio, Singapura masih boleh dianggap sebagai bajet kerana kesemua perbelanjaan adalah dalam lingkungan RM250.
Mari kita ikuti percutian Elsa Azzelia Ahmad bersama rakan-rakannya ke Johor Bahru dan Universal Studio Singapura:
Perjalanan dimulakan dari Terminal Bersepadu Selatan menuju ke Terminal Bas Larkin pada hari Rabu pagi dan sampai di Johor Bahru pada pukul 1 petang.
Setibanya di sana kami menjamu selera di terminal bas kerana terdapat pelbagai juadah makanan yang di sediakan yang rata-ratanya makanan kampung atau nasi campur.
Selepas menjamu selera kami mula bergerak ke hotel yang terletak di Danga Bay dengan menaiki teksi.
Suasana di Danga Bay sangat mempesonakan, tambahan pula ia merupakan kali pertama saya ke sini.
Melalui maklumat yang kami terima, tapak Danga Bay merupakan kawasan laut yang ditambak bagi menempatkan hotel, kedai-kedai dan juga tempat riadah bagi seisi keluarga.
Selepas check-in di hotel, kami berehat seketika bagi membolehkan aktiviti menjelajahi Bandar Raya Johor Bahru pada sebelah petangnya.
Pada pukul 5 petang, kami pun meluangkan masa berjalan-jalan sekitar Danga Bay, menaiki tram yang mengelilingi tempat peranginan itu.
Terdapat beberapa kapal layar milik persendirian diletakkan di kawasan yang disediakan menggamit keindahan senja kawasan tersebut.
Lebih menarik lagi, kami menyaksikan sebuah kapal persiaran yang dihiasi lampu neon yang cantik digunakan sebagai restoran yang mana ia akan belayar sepanjang selat berdekatan dengan Danga Bay.
Maklumlah kami dalam lingkungan cuti bajet, jadi kami tidaklah makan malam di atas kapal tersebut.
Nasib menyebelahi kami kerana, seorang kenalan di universiti berbesar hati membawa kami berjalan-jalan di sekitar bandar Johor Bahru.
Kami singgah makan di Jalan Wong Ah Fook menikmati makanan di gerai yang terdapat di lorong belakang deretan kedai di situ.
Selepas puas menjamu selera, kami dibawa ke pasar malam yang terletak tidak jauh dari situ dan terus pulang ke hotel kemudiannya.
Kami bangun seawal jam 6 pagi pada keesokkan harinya, kerana bas yang membawa kami ke Universal Studio, Singapura akan bertolak pada pukul 7 pagi.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah untuk ke Universal Studio melalui Tambak Johor.
Setibanya di sana, kami tidak perlu beratur panjang kerana bukan pada waktu puncak.
Pelbagai permaianan kami main termasuklah Transformers Ride, Water Rapid, Far Far Away Kingdom dan pelbagai jenis permainan yang terdapat dalam filem keluaran Universal.
Selain itu pengunjung di situ turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, tarian, teater dan juga demonstrasi pembikinan filem oleh pengarah terkenal Steven Spielberg.
Sedar tidak sedar, kami telah berada di sana hingga pukul 7 malam, kami terpaksa meninggalkan Universal Studio yang penuh keseronokan untuk pulang kerana bas akan menunggu kami pada pukul 8 malam.
Setibanya di Larkin kami terus menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 11 malam dengan tiket yang kami telah beli pada hari kami sampai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120908/pl_01/Seharian-di-Universal-Studio#ixzz28laQny8H
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Seharian di Universal Studio

Lokasi bersantai popular lewat malam

Ibu bapa tidak risau tentang keselamatan anak-anak kerana kawasan sekitar yang selamat.



AM sudah menunjukkan detik 12 tengah malam. Tidak seperti lokasi lain yang sudah sunyi sepi, dataran Pekan Rabu Kuah di Pulau Langkawi, Kedah kebiasaannya masih gamat dan meriah dengan pengunjung terutama pada cuti hujung minggu atau menjelang 31 Ogos untuk menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara.
Selain bersantai menikmati angin malam, ramai pengunjung yang datang bersama ahli keluarga memilih untuk berehat di tepi laut bagi menyaksikan kapal-kapal yang berlabuh.
Malah kawasan ini juga menjadi tempat pertemuan dan perjumpaan bagi ahli-ahli kelab pemilik Toyota Vios Tuner (TVT) Malaysia-Langkawi.
Ketua kumpulan TVT Langkawi, Mohd. Noor Talib, 33, berkata, perjumpaan tersebut selain bertujuan mempamerkan kenderaan masing-masing yang sudah diubah suai dan masih mengutamakan ciri-ciri keselamatan yang diluluskan, ia juga bagi mengeratkan hubungan sesama ahli.
Katanya, aktiviti kelab tersebut sudah bermula sejak beberapa bulan lalu dan setiap bulan bilangan ahli yang menyertainya semakin ramai.
Menurutnya, mereka tidak mengehadkan umur penyertaan ahli, sebaliknya sesiapa sahaja yang ingin menyertai kelab itu hanya perlu memiliki kenderaan jenis Toyota Vios, mempunyai lesen dan boleh memberi kerjasama yang baik.
"Dulu, kelab ini hanya dianggotai oleh kira-kira 10 ahli. Bagaimanapun, jumlahnya kini meningkat kepada 15 ahli," katanya.
Beliau berkata, mereka memilih dataran Pekan Rabu, Kuah sebagai lokasi perjumpaan kerana selain kawasannya luas, pemandangan di situ juga menarik dan mendamaikan.
"Pemandangan waktu malam di sini begitu cantik. Pengunjung boleh melihat kapal-kapal yang berlabuh, mendengar deruan ombak dan menikmati angin malam yang membuai.
"Malah anak-anak juga boleh dibiarkan berlari-lari dan bermain kerana kawasannya yang luas dan jauh daripada kesibukan jalan raya.
Seorang pengunjung, Fazilah Isa, 40, berkata, untuk bersantai bersama keluarga, dataran Pekan Rabu, Kuah itu amat bersesuaian.
Katanya, kebanyakan gerai-gerai makan lain di sekitar daerah itu menutup operasi apabila menjelang tengah malam.
Bagaimanapun, gerai-gerai di dataran itu masih beroperasi sehingga lewat malam dan ada yang beroperasi sehingga awal pagi.
"Keluarga saya suka menghabiskan masa di sini terutama ketika hujung minggu. Kami akan menghabiskan masa berjam-jam berehat dan menikmati bekal yang dibawa sebelum pulang ke rumah.
"Jika di sini, kami akan berborak panjang hingga lewat malam sambil melepaskan lelah selepas seharian penat bekerja. Dengan cara ini, hubungan kami sekeluarga juga semakin erat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120908/pl_02/Lokasi-bersantai-popular-lewat-malam#ixzz28la2l6zG
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Lokasi bersantai popular lewat malam

Pelayaran mewah di Laut Andaman


Acara terbuka di atas kapal untuk penumpang termasuk kepada peserta pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. bersama Utusan Malaysia sebaik saja berlepas dari pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Krabi dan Phuket, Thailand .
PERCUTIAN ke Krabi dan Phuket di Thailand dengan menaiki pesawat mungkin sudah biasa. namun jika anda memilih untuk ke sana dengan belayar menaiki kapal mewah SuperStar Libra, ia tentu memberi pengalaman baru dan menarik untuk dikenang.
Itulah yang dirasai penulis bersama lima pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. dan Utusan Malaysia yang berpeluang menginap di "hotel mewah terapung" yang belayar membelah Laut Andaman menuju ke Negara Gajah Putih itu baru-baru ini.
Sebaik sahaja SuperStar Libra memulakan pelayaran dari Jeti Swettenham, Pulau Pinang pada jam 5 petang, mood bercuti pantas meresap ke dalam jiwa setiap tetamu yang teruja menaiki kapal mewah berusia 23 tahun yang dibina di Finland itu.
Penumpang disajikan dengan hiburan percutian iaitu persembahan oleh Band H2O di Deck 9 iaitu kawasan berhampiran kolam sambil menikmati hidangan berbeku secara bufet.
Panorama indah iaitu menyaksikan matahari terbenam di Laut Andaman berserta hembusan angin petang yang mendamaikan bakal menemani pelayan hari pertama anda.
Aktiviti malam pertama meriah apabila dihiburkan dengan persembahan Simply Cabaret serta tarian oleh Dasha dan Dima dari Belarus yang pernah menjuarai Pertandingan Tarian Ballroom Dunia bertempat di Stardust Lounge di Deck 5 yang tersergam umpama pentas konsert di Arena of Star, Genting Highlands.
Kapal berlabuh di Krabi kira-kira pukul 9 pagi dan penumpang boleh turun dengan menggunakan pengangkutan feri dari kapal ke Jeti Ao Pra Nang.
Terkenal dalam peta pelancongan kerana memiliki antara gugusan kepulauan tercantik di dunia, namun Krabi bukanlah tempat percutian yang mempesonakan sepanjang tahun kerana jika kedatangan anda tidak kena pada waktunya terutamanya ketika musim hujan, percutian menjadi sedikit hambar!
Apa tidaknya, hujan dan ombak beralun agak berbahaya jika anda mahu berkunjung ke beberapa pulau terkenal seperti Pulau Poda, Pulau Tup, Pulau Ayam, Pulau Deang, Pulau James Bond Island mahupun Teluk Maya.
Menurut pemandu pelancong yang bernama Mat, waktu terbaik untuk melancong ke situ ialah sekitar Oktober hingga April kerana ketika itu cuaca panas terik apabila cahaya matahari akan memancar sekali gus membuatkan air laut kelihatan kehijau-hijauan.
Krabi mempunyai penduduk kira-kira 400,000 dengan 40 peratus daripadanya beragama Islam. Tidak hairanlah banyak masjid yang kelihatan membuatkan anda berasa tidak terasing.
Kapal mewah Super Star Libra membawa pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. bersama Utusan Malaysia.
Lokasi pertama di Krabi ialah Ladang Ikan Arapaima Gergasi di Jalan Pantai Klong Muang yang mana terdapat lebih 20 spesis ikan.
Anda boleh meniti titi yang dibuat untuk menyeberangi kolam buatan dan memberi makan kepada ikan. Paling menarik terdapat tiga ekor ikan naga atau araipama sepanjang hampir satu meter yang berwarna keemasan menunggu anda.
Selain itu, terdapat dua ekor buaya Siam yang dikurung dalam sangkar selain burung kakak tua yang begitu jinak.
Lokasi seterusnya yang dilawati ialah Kuil Gua Harimau yang mana mengikut cerita pemandu pelancong, Harimau dikatakan pernah muncul di situ satu masa dahulu.
Sebagai mengingati perkara itu, patung harimau dibina dalam gua berkenaan yang kini berfungsi sebagai Tokong Budha.
Soal mendapatkan makanan halal juga tidak menjadi masalah kerana banyak restoran makanan Islam seperti Restoran Terapung Randalay di Kong Jilad yang menawarkan hidangan tempatan Kari Hijau Ayam Hijau Ala Thai dan Tom Yam Putih Ikan yang cukup menyelerakan dinikmati ketika cuaca hujan.
Lokasi seterusnya ialah Ban Laempoh iaitu kawasan pantai yang menghadap Pulau Phi -Phi Island.
Bagaimanapun, disebabkan hujan lebat sepanjang hari, rombongan sedikit hampa kerana tidak dapat melihat pulau itu.
Di sini terdapat fosil batuan sepanjang lebih 100 meter yang terbentuk akibat proses alam semula jadi.
Menarik tentang fosil ini, pada mulanya ia dikatakan berusia 75 juta tahun namun kajian semula mendapati ia terbentuk sekitar 45 juta tahun lalu.
Hanya terdapat tiga tempat di dunia yang mempunyai fosil seperti itu iaitu di Amerika Syarikat dan Jepun.
Bagaimanapun, akibat hakisan ombak termasuk tsunami besar yang melanda kawasan itu pada 2004, 30 peratus fosil itu telah pecah dan terbahagi kepada dua bahagian.
Bagi yang berminat dengan cenderahati yang dibuat daripada kulit kerang dan siput serta perhiasan rantai mutiara laut, anda pasti rambang mata kerana puluhan kedai di sini menawarkannya pelbagai rekaan dengan harga yang berpatutan.
Kunjungan ke Krabi tidak lengkap jika tidak ke Pantai Au Nang. Di sebabkan tempat itu menjadi tumpuan pelancong asing, maka keadaan di sini tidak lagi kelihatan seperti Thailand kerana lambakan restoran makanan Itali, India dan Arab serta kemunculan beberapa butik mewah.
Masa lawatan di Krabi hanya sehingga pukul 5.30 petang sahaja kerana kapal akan berlayar pada jam 7 petang dan bersiap untuk makan malam gala di Restoran Four Season di atas kapal itu dalam suasana formal.
Hiburan sambil berlayar diteruskan di atas kapal apabila penumpang boleh menyaksikan persembahan oleh ahli silap mata, Charles Bach yang dibawakan khas dari Las Vegas, Amerika Syarikat.
Peserta pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. dan Utusan Malaysia bersama ahli keluarga yang belayar dengan kapal mewah Super Star Libra dari Pulau Pinang ke Krabi dan Phuket, Thailand, baru-baru ini.
Pada hari ketiga, kapal berlabuh di Terminal Antarabangsa Chaophaya, Phuket kira-kira jam 10 dan penumpang boleh meneroka pulau yang menjadi nadi pelancongan Thailand itu sehingga pukul 8 malam.
Tempat pertama yang dituju ialah Point of View yang mana pemandangan lautnya cukup indah dengan beberapa pulau kecil dapat dilihat.
Malah ada juga pasangan pengantin termasuk dari negara Barat mengambil peluang melakukan fotografi di situ selain puluhan replika gajah yang cukup sinonim dengan Thailand.
Rombongan seterusnya dibawa membeli-belah di Phuthai Souvenir Market yang mana barangan yang ditawarkan di situ harganya 50 peratus lebih murah daripada yang dijual di Pantai Patong.
Antara yang terdapat di sini ialah barangan perhiasan rumah, perhiasan diri dan makanan ringan yang dihasilkan oleh kaum minoriti di Chiang Mai seperti Mae Hong Song malah kain sutera Thai juga boleh didapati dengan harga RM50 sehelai.
Bagaimanapun, pemandu pelancong hanya memberikan masa selama 15 hingga 20 minit sahaja untuk membeli belah di situ kerana secara bergurau katanya, lebih lama di situ, aktiviti perniagaan di Pantai Patong bakal gulung tikar.
Di luar kompleks itu, ada penduduk tempatan yang membawa gajah dan anda boleh membeli pisang dan sayur sayuran pada harga kira-kira RM2 untuk diberi makan. Jika berani anda boleh mendekati gajah itu untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.
Satu lagi tarikan di Phuket ialah Sri Bhurapa Orchid yang terletak di Kwang Road yang mendedahkan kepada pelancong bagaimana gajus segar diproses sehingga dibungkus untuk dijual.
Di sini terdapat lebih 30 perisa gajus kering untuk dijual antaranya disalut coklat, wasabi, madu, keju, kari malah anda juga boleh mencuba jus gajus segar.
Tdak jauh dari situ, rombongan turut dibawa melawat Big Bee Farm untuk melihat lebah diternak dan bagaimana proses mendapatkan madunya dihasilkan.
Anda juga boleh membeli pelbagai produk berasaskan madu lebah di sini pada harga yang berpatutan.
Aktiviti seterusnya ialah melawat kawasan yang cukup popular di Phuket iaitu Pantai Patong yang telah mencatat pelbagai sejarah suka duka kepada industri pelancong Thailand termasuklah pernah dibadai tsunami pada 2004.
Di sepanjang pesisiran pantai ini, suasana cukup meriah dengan puluhan pusat hiburan, pusat urut, salun rambut, kedai pakaian dan cenderamata.
Di Jalan Bangla pula, terdapat sebuah stadium yang dibina untuk sukan Muay Thai iaitu satu lagi tarikan utama Phuket.
Menariknya, perlawanan tinju ini turut disertai oleh peserta dari luar negara seperti Jerman, Australia dan Kanada.
Acara promosi untuk pertandingan yang biasanya dibuat pada sebelah malam juga meriah apabila petinju dibawa berarak menaiki lori di tengah-tengah kesibukan bandar Phuket sambil bendera negara masing-masing dikibarkan.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan budaya tempatan, anda boleh mengunjungi Taman Tema Kebudayaan Phuket FantaSea yang berlatarkan elemen kebudayaan tradisi Thailand.
Pelayaran hari terakhir sekali lagi diserikan persembahan khas 'Underwater Escape' oleh Charles sebelum kapal berlabuh semula di Pulau Pinang kira-kira pukul 12 tengah hari.
Pendek kata, kunjungan ke Krabi dan Phuket dengan menaiki Starcruise Libra menjanjikan pengalaman yang menarik dan perlu dicuba.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20121005/pl_01/Pelayaran-mewah-di-Laut-Andaman#ixzz28lZkgmnU
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Pelayaran mewah di Laut Andaman

Pakej umrah keluarga


JEMAAH yang menginap di hotel-hotel yang terletak di Al-Braj Al-Byit, Mekah boleh ke Masjidil Haram dalam tempoh singkat.
UMAT Islam yang gemar melancong sambil membeli-belah di negara-negara Eropah, China dan Asia Tenggara sudah tentu akan mendapat lebih banyak pahala daripada Allah SWT jika mereka membelanjakan wang itu untuk menunaikan umrah.
Mereka boleh mengerjakan umrah bersama-sama keluarga menerusi pakej Haramain Excellence yang diuruskan oleh Tareeq Al-Jannah Travel & Education Sdn. Bhd.
Bagi suami, apa salahnya anda meraikan ulang tahun perkahwinan dengan membawa isteri menunaikan umrah dengan pakej istimewa yang tidak memerlukan orang kesayangan anda bersesak-sesak dan anda berdua juga diberi layanan orang kenamaan (VIP).
Anda berdua, suami dan isteri, langkah demi langkah bersama-sama mengelilingi Kaabah. Seiring dan sejalan seindah bunga di taman. Dari Bukit Safwa ke Bukit Marwah. Segala-galanya kerana Allah SWT.
Mengulas perkara itu, pengarah syarikat berkenaan, Mohd. Hassan Ismail berkata, sesiapa sahaja boleh menyertai pakej itu yang mengenakan bayaran serendah RM7,777 seorang.
Beliau berkata, pakej itu bukan sahaja untuk suami isteri malah ia juga sesuai untuk anak yang ingin menghargai jasa ibu dan bapa yang telah bersusah payah memelihara mereka dan juga bagi membawa ahli keluarga lain mengerjakan umrah.
"Masa dan keselesaan, itulah yang kami utamakan. Pelanggan tidak perlu lagi menyertai pakej umrah secara beramai-ramai dengan jemaah lain. Ini banyak membuang masa dan mereka tidak bebas untuk menumpukan perhatian bagi beribadat.
"Pakej lapan hari tujuh malam yang kita tawarkan ini termasuk penginapan di hotel pilihan berhadapan Masjidil Haram selama empat malam dan berhadapan Masjid Nabawi selama tiga malam," katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, pakej itu tidak termasuk harga tiket kapal terbang yang boleh ditempah sendiri oleh pelanggan dan jika diminta, pihaknya juga boleh mengurus tempahan tiket dan visa dengan bayaran tambahan.
"Pelanggan boleh memilih untuk mendapat pakej umrah dan lawatan yang lebih pendek atau panjang mengikut kesesuaian masa masing-masing.
"Masa di tangan pelanggan sama ada hendak pergi berziarah di tepi pantai Laut Merah dan sebaliknya atau ingin menambah hari untuk tinggal sehari dua di Jeddah. Terpulanglah kepada pelanggan," katanya.
Ditanya apakah keistimewaan lain yang boleh diperoleh melalui pakej berkenaan, beliau berkata, hotel-hotel yang disediakan adalah bertaraf lima bintang yang kebanyakannya terletak di dalam Al-Braj Al-Byit di Mekah iaitu bangunan kedua tertinggi di dunia yang menempatkan jam besar.
Antara hotel berkenaan yang boleh dipilih pelanggan adalah Intercontinental, Hilton, Fairmont , Movenpick dan Le Meridien di Mekah serta The Oberoi, Shaza, Movenpick, Hilton dan Intercontinental di Madinah.
"Pilihan di tangan pelanggan dan hanya beberapa langkah mereka keluar dari hotel, mereka akan berada di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi," jelasnya.
Menurut beliau, pelanggan juga boleh memilih untuk tinggal di bilik yang mempunyai pemandangan Masjidil Haram atau dengan pemandangan Kaabah di Mekah atau memilih untuk tinggal di bilik yang mempunyai pemandangan Masjid Nabawi di Madinah.
"Pemandangan indah kedua-dua masjid ini akan sentiasa terpahat di hati dan sentiasa di ingatan. Kaabah pula cukup istimewa kerana dari zaman Nabi Ibrahim hinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW pelbagai peristiwa telah berlaku di sekitarnya," ujar Mohd. Hassan.
Katanya, antara keistimewaan lain adalah pelanggan yang tiba di lapangan terbang Jeddah atau Madinah akan disambut oleh pegawai penyambut tetamu dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), GMC Suburban yang akan digunakan sepanjang lawatan itu.
Selain makanan yang disediakan oleh pihak hotel, katanya, pelanggan boleh memilih makanan Malaysia dan Indonesia serta hidangan tempatan seperti Nasi Mandi Kambing atau Ayam, Kabsa Daging Unta dan Masbi serta makanan antarabangsa lain.
Sebagai penghargaan kepada pelanggan, jelas beliau, pihaknya turut menyediakan kad SIM untuk membuat panggilan telefon, talian Internet, sejadah yang disulam khas dan al-Quran.
"Air zam-zam 10 liter seorang dan pelbagai herba yang digunakan oleh bangsa Arab sejak zaman-berzaman juga disediakan di dalam bilik pelanggan.
"Berdasar hadis sahih, kami juga menyediakan madu Seder yang dikatakan sebagai ubat penyembuh pelbagai penyakit.
"Biji habbatus sauda juga disediakan, kerana ia adalah ubat kepada segala penyakit. Minyak zaitun turut diberikan dan ia baik untuk disapu di seluruh badan seperti yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. Tamar Ajwa pula baik untuk menghalang sihir.
"Pelbagai jenis kacang, kismis dan susu unta yang mempunyai antibodi yang tinggi nilainya serta untuk menambah kekuatan jasmani turut disediakan," katanya.
Tambah beliau, umat Islam yang berminat untuk menyertai pakej berkenaan boleh menghubungi Faizah Omar Shah (017-8818577) atau Mohammad Ali Mohd. Hassan (011-5756954) untuk membuat temu janji.
Katanya, wakil syarikat itu akan datang ke rumah atau pejabat pelanggan untuk menerangkan lebih lanjut mengenai pakej berkenaan dan menguruskan tempahan.
Jelas beliau, syarikat yang beralamat di No. 3-2-1, Jalan Medan PB4A, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor juga merancang untuk memperkenalkan beberapa pakej baru yang akan diumumkan menerusi laman web www.tareeqaljannah.com.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20121004/pl_01/Pakej-umrah-keluarga#ixzz28lZVx7Xu
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Pakej umrah keluarga

Jamal perluas legasi


JENAMA Sekinchan Ikan Bakar tidak perlu lagi diperkenalkan kepada rakyat negara ini, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat yang menetap di sekitar Lembah Klang.
Kejayaan Pengasas dan Pengarah Urusan restoran tersebut, Datuk Jamal Md. Yunos sering kali menjadi penanda aras kepada golongan usahawan muda terutamanya dalam kalangan bumiputera untuk berusaha gigih mengecapi kejayaan serupa.
Siapa sangka, bermula dengan hanya menjual burger, berniaga di pasar malam dan menjual khemah-khemah untuk kegunaan majlis keraian, kini Jamal dianggap sebagai ikon usahawan muda negara.
Melibatkan diri dalam perniagaan pada usia muda, pelbagai dugaan serta rintangan telah dihadapinya. Bagaimanapun, semuanya diharungi dengan semangat yang tabah serta mudah tidak berputus asa dan hasilnya boleh dilihat pada hari ini.
ImpianSelain mempunyai 18 cawangan Restoran Sekinchan Ikan Bakar di seluruh Semenanjung ketika ini, Jamal turut terlibat dengan perniagaan menjual kereta.
Meskipun Jamal sangat sinonim dengan perniagaan makanan tetapi jangan terkejut sekiranya selepas ini beliau akan dikenali pula sebagai usahawan perhotelan.
Mungkin ramai tidak tahu, dalam Jamal berusaha mengembangkan perniagaan restorannya ke seluruh negara, beliau juga merancang dan memasang impian untuk membangunkan sebuah resort.
Menggunakan nama Sekin Hotel & Resort, 'buah tangan' terbaru Jamal itu bakal memulakan operasi secara rasmi pada November depan.
Menurut Jamal, fasa pertama projek yang dibangunkan di kampung halamannya, Sekinchan, Selangor itu menelan belanja kira-kira RM12 juta.
Projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 25 hektar itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun hadapan.
"Ketika ini fasa pertama hampir siap dan akan dibuka secara rasmi pada November nanti, manakala fasa kedua juga telah bermula. Kedua-dua fasa ini meliputi 10 hektar keluasan tanah, tanah selebihnya saya merancang untuk membina sebuah taman tema di sebelah resort, itu untuk fasa ketiga.
"Sebenarnya, resort ini telah mula beroperasi secara tidak rasmi sebelum sambutan Aidilfitri lalu sebagai prapelancaran untuk menilai reaksi orang ramai terhadapnya. Alhamdulillah, sejak dibuka, walaupun belum siap sepenuhnya, resort ini sentiasa menerima tempahan khususnya pada hari minggu dan cuti umum," katanya yang ditemui Mingguan Malaysia di resort miliknya di Sekinchan, Selangor baru-baru ini.
Menara tinjauMenyentuh mengenai resort tersebut, Jamal memberitahu, fasa pertama yang bakal siap dalam masa terdekat ini mempunyai 100 bilik meliputi bilik untuk seorang dan keluarga.
Katanya, fasa pertama tersebut juga meliputi kolam memancing ikan, restoran Sekinchan Ikan Bakar, kawasan ternakan arnab serta menara tinjau.
"Bilik yang disediakan di resort ini lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuklah menyediakan siaran Astro. Selain itu, saya boleh memberi jaminan harganya adalah murah serta berpatutan sesuai dengan lokasinya di kawasan perkampungan nelayan di tepi pantai.
"Pengunjung boleh memancing pelbagai jenis ikan di kolam yang disediakan dan hasil tangkapan boleh diserahkan kepada restoran untuk dimasak mengikut cita rasa mereka. Kami juga menyediakan kemudahan kepada pelancong mengikut nelayan menjala ikan di tengah lautan menaiki bot yang disediakan.
"Menara peninjau akan menjadi antara daya penarik pelancong ke resort ini. Menara setinggi 100 meter ini membolehkan pengunjung melihat suasana indah lautan selain merasai nikmat angin bayu di kawasan tinggi di tepi laut," jelasnya.
Untuk fasa kedua pula, anak kelahiran Sungai Leman, Sekinchan itu berkata, ia meliputi pembinaan surau, dewan pelbagai guna serta bilik mesyuarat.
Menurut Jamal, apabila resort berkenaan siap pada Jun 2013 nanti, sebanyak 158 bilik disediakan dan terdapat 30 chalet tepi pantai akan dibuka kepada pengunjung.
"Chalet-chalet ini juga meliputi pelbagai kemudahan asas seperti yang ada pada bilik-bilik biasa di dalam resort. Setakat ini, pembangunan resort berjalan dengan lancar dan saya komited ia mampu disiapkan seperti dirancang.
"Fasa ketiga masih dalam perbincangan. Saya bercadang untuk membangunkan taman tema tetapi masih belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenainya," ujarnya.
Kejayaan Jamal ini harus menjadi penyuntik semangat kepada usahawan-usahawan lain khususnya dalam kalangan orang Melayu serta masyarakat bumiputera untuk terus maju.
Jamal berkata, negara serta kerajaan sedia ada memberi banyak peluang perniagaan kepada golongan tersebut dan mereka sewajarnya merebut peluang yang telah terhidang.
Dugaan"Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya. Kita patut bersyukur dilahirkan di sebuah negara yang aman, ekonomi yang kukuh, banyak peluang perniagaan boleh diterokai, kita hanya perlu beruaha dan merebutnya.
"Jangan sampai orang luar masuk ke negara kita dan mengambil peluang yang seharusnya menjadi milik kita," jelasnya.
Banyak dugaan telah ditempuhi Jamal sepanjang bergelar ahli perniagaan berjaya khususnya daripada pihak-pihak yang cemburukan kejayaannya.
Menurut Jamal, sejak kebelakangan ini wujud segelintir pihak yang cuba menghancurkan perniagaannya dengan menyeru orang ramai memboikot restoran Sekinchan Ikan Bakar miliknya menerusi medium internet.
Jamal bagaimanapun tidak mudah melenting dan menerima dugaan itu sebagai cabaran kepadanya untuk terus berjaya.
"Saya tahu wujud pihak yang iri hati. Saya tengok blog-blog yang mengajak orang ramai boikot restoran saya, saya tidak takut, saya hanya perlu berusaha lebih gigih, kalau kita ikhlas, tuhan akan tolong dan terbukti apabila kini saya mempunyai sebuah resort sendiri.
"Untuk berjaya dalam perniagaan, perkara seperti ini adalah lumrah dan kita perlu hadapi. Jangan cepat melatah dan putus asa apabila ada orang berbuat demikian kepada kita, sebaliknya terus bertahan dan buktikan bahawa kita tidak mudah ditewaskan dengan perbuatan dengki seumpamanya," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120923/pl_01/Jamal-perluas-legasi#ixzz28lYwEAjr
© Utusan Melayu (M) Bhd 
READ MORE - Jamal perluas legasi

Monday, September 17, 2012

Semuanya hampir musnah

JETI utama Pulau Jerejak tinggal atap dan rangka sahaja.


TEPAT 9.50 pagi, saya akhirnya menjejakkan kaki ke Pulau Jerejak - pulau yang penuh dengan cerita menakutkan.
Ditemani pegawai Jabatan Penjara, Sarjan Abu Bakar Ramli, 51, saya dan jurugambar, Ismail Kamadin memulakan perjalanan ke kiri dari jeti Jerejak Rainforest Resort menuju lokasi pusat tahanan paling digeruni di negara ini.
Dalam keadaan hujan panas renyai-renyai kami melalui denai batu bercampur tanah selebar kira-kira dua meter yang dipenuhi pokok dan semak di kiri dan kanan.
Menurut Abu Bakar, dahulu jalan tersebut bertar dan dibina oleh tahanan.
''Di sini banyak batu besar. Mereka perlu membakar batu dan pahat keesokan harinya untuk membina jalan ini. Bas mini pun boleh lalu," ujarnya lagi.
Selepas kira-kira 20 langkah pandangan terarah kepada sebuah bangunan lama. Kami berhenti seketika sambil Abu Bakar cuba mengecam bangunan tersebut.
''Ini kuaters kakitangan. Dahulu ini kawasan paling jauh kerana kawasan tumpuan adalah di sana," sambil tangannya menunjuk ke arah depan lokasi sebenar pusat tahanan itu.
Dari situ pandangan mata kami terus disajikan bangunan lama yang semuanya terbiar, rosak, dilitupi daun dan dikelilingi pokok hutan bermula rumah pengarah, pusat gim kakitangan, tadika dan rumah aktiviti isteri kakitangan.
Selepas itu kami sampai ke kawasan semak setinggi dua meter yang sebenarnya merupakan bekas tapak padang bola dan tidak jauh dari situ tempat latihan menembak. Semuanya sudah hilang diganti hutan muda.
Kemudian kami melalui kawasan berpokok dan di celah-celah pokok tersebut kelihatan salib.
Semangat saya terus disentap selepas mengetahui ia merupakan tanah perkuburan Cina dan penganut Kristian dipercayai bekas pesakit batuk kering dan kusta.
Tidak jauh dari situ kami tiba di sebuah bangunan, dipercayai bangunan utama di pulau berkenaan tertulis 1911. Di sinilah berpusatnya segala aktiviti sejak pulau itu dibuka pada 1910 sebagai pusat kuarantin imigran oleh penjajah Inggeris.
Menurut Abu Bakar, semasa Pusat Pemulihan Akhlak beroperasi, bangunan tersebut dijadikan stor. Namun selepas ditutup ia dijadikan pejabat sebuah syarikat pembangunan pelancongan berdasarkan tulisan pada bangunan berkenaan.
Di depan bangunan tersebut terdapat jeti. Struktur asal kelihatan masih kukuh tetapi bumbung banyak tercabut tinggal rangka. Itulah 'nyawa' kehidupan masa lalu kerana hubungan dengan dunia luar bermula di situ.
Dari bangunan itu kami cuba mencari blok menempatkan kem tahanan tetapi kecewa selepas melihat kawasan itu dipenuhi bongkah batu ibarat berada di kawasan kuari. Apatah lagi kelihatan empat lori 'hantu.
Kami memanjat bongkah batu tersebut dengan harapan akan dapat melihat sisa-sisa kehidupan terasing yang menjadi igauan setiap lapisan masyarakat. Kami lega kerana dari atas longgokan batu itu dapat melihat beberap atap bangunan tanda masih terdapat tinggalan kenangan lalu.
Sebaik memasuki salah satu daripada empat blok yang masih berdiri kukuh itu timbul keinsafan melihat keadaan yang cukup ringkas. Simen setinggi setengah meter di kiri dan kanan menjadi katil penghuni.
Selain dinding setinggi satu setengah meter, kediaman tahanan hanya dipagari besi sehingga ke bumbung. Angin bebas menerobos masuk kerana tiada penghadang atau tingkap. Penulis tidak dapat membayangkan betapa sejuk kawasan itu pada malam dan dinihari.
Di hujung bangunan itu terdapat satu ruang bilik mandi berkongsi tiga tandas cangkung untuk kemudahan tahanan. Antara tandas dan ruang mandi tiada pintu hanya dipisahkan tembok simen, cukup untuk menyembunyikan seseorang yang berada dalam keadaan mencangkung.
Kesan-kesan grafiti yang masih terdapat pada dinding sedikit sebanyak menggambarkan jiwa penghuninya selama dua tahun ditahan di pusat itu. Ironinya, kesunyian mungkin menghimpit namun berdasarkan statistik pusat tersebut pernah menempatkan hingga 1,000 tahanan pada satu-satu masa.
Dengan keluasan 12.1 hektar dan memiliki 34 blok yang mana 28 blok digunakan untuk menempatkan tahanan, bermakna setiap blok dihuni kira-kira 30 penghuni. Malah pada peringkat awal dibuka pada 12 Jun 1969, ia sudah menerima 500 'penghuni', kebanyakannya terbabit dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Semua tahanan ditahan di bawah dua akta iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya 1985 (Langkah-langkah pencegahan khas).
Pada 1981 berlaku kejadian rusuhan membabitkan 100 tahanan selepas tidak berpuas hati dengan pelanjutan tempoh tahanan. Berdasarkan rekod, terdapat dua kejadian tahanan lari iaitu pada Januari 1988 seramai tujuh orang dan tiga orang pada Mei tahun sama.
Dari blok itu kami meninjau kawasan sekeliling mencari pagar setinggi 3.7 meter dan 20 menara pemerhati yang menjadi benteng pusat tahanan itu tetapi hampa kerana semuanya hilang ditelan semak dan pokok.
Hujan lebat memaksa kami memendekkan tinjauan dan meninggalkan sisa-sia kenangan lalu yang hampir musnah itu untuk kembali ke jeti sebelum menaiki bot ke Pulau Pinang.
READ MORE - Semuanya hampir musnah

Mistik, stigma Pulau Jerejak



WALAUPUN telah ditutup hampir 20 tahun lalu, stigma Pulau Jerejak sebagai tempat buangan penjenayah tegar, paling ganas dan bahaya tidak pernah pudar.
Stigma itu masih kuat sehingga ia menerima jolokan sebagai Alcatraz Malaysia, merujuk kepada sebuah penjara di Amerika Syarikat yang dikhususkan untuk menahan penjenayah paling ganas di negara itu.
Sejak pusat tahanan atau nama rasminya Pusat Pemulihan Akhlak itu ditutup pada 1993, tidak banyak diperkatakan tentang pusat tersebut dan pulau yang satu ketika dahulu pernah dicadangkan oleh Inggeris menjadi pangkalan tentera lautnya.
Apatah lagi ketika pusat tahanan itu beroperasi 1969-1993 ia merupakan kawasan larangan.
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, sesekali akan timbul berita mempromosi pelancongan ekoran pembukaan satu-satunya pusat pelancongan di pulau itu iaitu Jerejak Rainforest Resort pada 2004.
Hakikatnya Pulau Jerejak bukan pusat tahanan atau dalam bahasa kasar tempat buangan samseng tegar atau pengedar dadah sahaja kerana sejarahnya melangkaui stigma buruk itu.
Yang pasti pulau itu sentiasa menjadi pilihan sebagai pusat pengasingan. Bermula sebagai pusat kuarantin imigran China dan India, ia kemudian diperluaskan kepada jemaah haji yang pada ketika itu pergi dan balik dari tanah suci menaiki kapal.
Selepas itu ia menjadi pusat rawatan penyakit batuk kering dan kusta sebelum dijadikan pusat tahanan samseng dari seluruh negara. Dikatakan juga pulau tersebut mempunyai kaitan awal hubungan Malaysia dan Rusia.
Walaupun kerap menjadi pusat pengasingan, pulau tersebut sebenarnya tidak terlalu terasing.
Sebaliknya, ia boleh dilihat jelas ketika melalui Jambatan Pulau Pinang dan di sepanjang pesisir pantai Bayan Lepas.
Kedudukan pulau itu dengan Pulau Pinang khususnya Bayan Lepas juga telah dipendekkan kepada 1.5 kilometer berbanding 2.3 km sebelum ini setelah kerja penambakan pantai dilakukan.
Dengan kerjasama Jabatan Penjara, wartawan S2, HAMDEN RAMLI dan jurugambar ISMAIL KAMADIN berkunjung ke pulau itu baru-baru ini bagi melihat sisa-sisa kehidupan lalu yang menjadi stigma masyarakat hari ini.
READ MORE - Mistik, stigma Pulau Jerejak