Translate

Tuesday, May 15, 2012

Rehat, santai dengan tenang

BERKELUASAN 133.55 hektar, resort empat bintang ini terletak di lokasi strategik berdekatan dengan pusat pentadbiran Putrajaya dan 30 minit dari Bandaraya Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mula beroperasi pada Ogos 1995, ia adalah hotel pertama yang dibuka di Putrajaya. 
Menawarkan 151 bilik mewah termasuk 26 suite yang lengkap bagi memenuhi keperluan pengunjung. Setiap bilik mempunyai balkoni dan tingkap yang dibina menghadap persekitaran hijau padang golf.

Bilik Heliconia dilengkapi katil berkembar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dalam bilik seperti televisyen paparan cecair kristal (LCD) dengan saluran satelit, meja kerja, pancuran bilik mandi, bar mini, peti keselamatan, seterika serta pembancuh kopi dan teh.

Pemilihan bilik Orchird sesuai untuk keluarga yang inginkan katil bersaiz raja atau katil berkembar.

Suite Anthurium menawarkan bilik tidur dan ruang tamu yang berasingan.

Pasangan pengantin yang mengadakan majlis perkahwinan ditempatkan terus di suite yang indah ini. Pastinya pengantin teruja dan seronok dengan pelbagai pakej menarik ini.

Pilihan tempat makan menjamin kualiti masakan dan hidangan yang disediakan chef berpengalaman.

Kafe Palm terkenal dengan kelazatan pelbagai jenis masakan tempatan dan antarabangsa yang dihidang secara bufet atau ala carte.

Bagi menikmati hidangan yang lebih eksotik, Restoran Aroi Dee Thai pasti membuatkan pengunjung kekenyangan dengan pilihan masakan nyonya atau Thai yang menakjubkan.

Bar Courtyard mampu menempatkan sehingga 60 orang menawarkan persekitaran terbuka bagi mereka yang ingin minum sambil berehat dan berbual.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai minuman dan makanan ringan di Bistro Mulligans yang boleh memuatkan 80 orang sambil berkaraoke, bermain pool serta dart.

Lokasi strategiknya sesuai untuk mengadakan sebarang majlis dan persidangan dengan wujudnya 13 bilik pelbagai fungsi.

Ballroom Perdana mampu memenuhi 350 orang untuk pelbagai majlis dan boleh dibahagikan kepada tiga bilik berasingan yang mengendalikan acara lebih kecil.

Putra 1 dan Putra 2 boleh digabungkan sebagai satu dewan manakala Putra 3 dan 4 sesuai untuk perbincangan dan mesyuarat kecil.

Padang golf 9 lubang menanti peminat yang gemarkan sukan ini. Suasana menghijau dan damai dinikmati di Kelab Golf Palm Garden sama ada untuk bersukan santai atau berbual mengenai perniagaan.

Hotel Palm Garden IOI Resort adalah lokasi yang tepat untuk berehat dan bersantai dengan persekitaran yang tenang, makanan yang lazat serta pelbagai aktiviti disediakan sebagaimana slogannya ‘tempat tumpuan perniagaan dan percutian’.



INFO:

Lokasi: IOI Resort, 62502 Putrajaya
Tel: 03-8943 2233
Web: www.palmgarden.com.my

No comments:

Post a Comment