Translate

Wednesday, May 2, 2012

Kembara mesra


 PESERTA program Grand Livina 3 bersama ahli keluarga berkumpul di Plaza stesen R&R PLUS.

Peluang cuti, kumpul hadiah serta jalin mesra warnai program tahunan pemilik Nissan Grand Livina di Bukit Merah

TEMPOH 48 jam penuh makna, antara keseronokan pengembaraan berkumpulan dan jalinan silaturahim. Itulah kesimpulan 420 peserta program Kembara Grand Livina 3 (KGL 3) ke Bukit Merah Lake Town (BMLT), Perak, baru-baru ini yang membabitkan 100 kenderaan MPV Nissan Grand Livina.
Pelbagai kenangan manis ternyata dirakam pada program tahunan anjuran Pemilik Nissan Grand Livina Malaysia (PNGL). Biarpun ia pada asasnya bertujuan mengeratkan hubungan ahli, keluarga PNGL, program itu turut memberi peluang kepada peserta berinteraksi dengan syarikat korporat yang menyokong kembara kali ketiga ini.Menariknya, peserta program cukup bertuah kerana Petronas Dagangan Berhad sudi menyumbangkan Petronas Syntium 95 serta merchandise Petronas kepada kesemua peserta konvoi. 

Beberapa ahli PNGL melalui syarikat persendirian turut menghulurkan sumbangan sebagai usaha sokongan pihak lain termasuk Sapura Industrial, PLUS Berhad, Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Kementerian Kesihatan Malaysia, D’Kaytie Bakery, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Astra Manufacturing Sdn Bhd, Finas dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM).

Berikut catatan perjalanan konvoi yang turut disertai kumpulan dari Utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang)...

Sabtu 
6.30 pagi : Kami berkumpul di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, Selangor arah utara yang dijadikan lokasi ‘First Meet Point’. Seawal jam 6.30 pagi, peserta sudah pun berada di situ kerana pergerakan awal pagi memudahkan kawalan trafik. Kehadiran peserta yang memakai baju T rasmi bertulis Program Kembara Livina III memeriahkan suasana. Manakala kenderaan pula disusun mengikut kawasan khas mengikut kumpulan iaitu mengikut warna kenderaan masing-masing. 

7 pagi : Semua kenderaan siap diatur dan sesi taklimat khas diadakan sebelum memulakan perjalanan ke destinasi. Sebaik selesai bacaan doa, semua peserta berkumpul untuk sesi bergambar berkumpulan sebagai penanda bermulanya kembara. 

8 pagi : Kami bergerak secara berkumpulan mengikut warna kenderaan masing-masing iaitu warga emas, perak, hitam, putih, oren dan kelabu. Pergerakan kekal di lorong paling kiri sepanjang perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi tujuan keselamatan dan memudahkan kawalan trafik. Laluan tengah pula dikhaskan kepada marsyal konvoi dan kenderaan khas untuk jurugambar. Kami kemudian berpecah kepada lima kumpulan konvoi diketuai krew konvoi dengan jarak 50 meter setiap kumpulan.

10 pagi : (Di laluan arah selatan) Peserta Konvoi dari arah utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) berkumpul di Hentian Juru dan konvoi tiba di Stesen Petronas R&R Simpang Pulai, Perak. Semua kenderaan diletakkan sebaris mengikut konvoi di susur keluar lebuh raya R&R Simpang Pulai. Kumpulan konvoi menunggu kenderaan pengiring Petronas untuk memberi tunjuk arah ke Stesen Petronas Jelapang 2. Konvoi bergerak mengikut Persimpangan Ipoh Selatan dan terus ke lokasi yang ditetapkan. 

10.30 pagi : Tiba di Stesen Petronas Jelapang 2 dan kumpulan konvoi disambut Pengurus Jualan Petronas Wilayah Utara, Mohd Aaznan Darus dan Azman Ahmad bersama kakitangan Petronas. Tidak lama kemudian, konvoi dari Utara tiba di Stesen Petronas Jelapang 2. Kenderaan konvoi diberikan tempat khas dan sebahagian peserta mengisi minyak di laluan khas yang ditetapkan. Sudah pasti peluang sesi fotografi tidak akan dilepaskan dan kali ini bergambar bersama pihak pengurusan Petronas Wilayah Utara di depan Stesen Petronas Jelapang 2. Peserta KGL 3 diraikan persembahan serta jamuan oleh pengurusan Stesen Petronas Jelapang 2 diikuti penyerahan sijil penghargaan oleh Mohd Aaznan kepada Penyelaras KGL 3, Mohd Khazaie Ismail. Selepas menerima sumbangan sebagai cenderahati daripada Petronas, peserta ghairah untuk meneruskan perjalanan ke destinasi sebenar ke Bukit Merah Lake Town Resort.

12 tengah hari : Kami bergerak ke Bukit Merah Lake Town dan jurugambar bersiap sedia menunggu di hentian `View Point’ sebelum Terowong Menora Jelapang bagi merakam pergerakan berkumpulan. Sejam kemudian, kami tiba di Sekolah Menengah Agama Kerian dan menikmati jamuan tengahari. Selepas itu kami bertolak ke destinasi.

2 petang : Tiba di Bukit Merah Lake Town Resort dan mendaftar masuk ke Apartmen Suria. Peserta berehat sementara menunggu aktiviti seterusnya yang ditetapkan penganjur. 

4.30 petang :Aktiviti riadah dan sukaneka bersama semua peserta program KGL 3. Acara sukaneka berlangsung di perkarangan kolam renang Apartmen Suria. Aktiviti termasuk acara berkumpulan bagi dewasa iaitu The mummy; Massage; Madu Tiga dan Kau Di Hatiku manakala acara kanak-kanak membabitkan aktiviti The mummy; Massage; Madu Tiga dan Joke Card.

5.30 petang : Majlis penyerahan hadiah kepada pemenang mengikut kategori dan aktiviti petang berakhir di situ.

7 malam : Solat Maghrib dan bersedia bergerak ke SMA Kerian 

8 malam : Kami tiba di SMA Kerian untuk program Jamuan Makan Malam Kembara Grand Livina 3 disertai cabutan bertuah dan penyampaian hadiah. Peserta mengenakan pakaian menepati tema kembara anjuran PNGL sebagai tanda nostalgia bertulis Livina Group (Central, Northern, Eastern, Southern Livinian). Inilah masa terbaik semua peserta beramah mesra antara satu sama lain dan ahli keluarga ahli konvoi. 

11.30 malam : Majlis Makan Malam KGL 3 di SMA Kerian berakhir. Sebahagian peserta program membabitkan 20 Grand Livina berkonvoi menuju ke Pulau Pinang bagi menikmati masakan nasi kandar Penang. 

Ahad

7.30 pagi : Peserta program KGL 3 bersarapan pagi.

9.30 pagi : Peserta program bersiap sedia di ruang lobi Apartmen Suria. Semua peserta menghantar borang kaji selidik penggunaan minyak Ron 95 dan Ron 97 dan pemberian kad hadiah sumbangan Petronas Dagangan Berhad kepada semua peserta.

10.30 pagi. Bergerak ke Bukit Merah Waterpark. Peserta seronok menikmati aktiviti air dan tidak melepaskan peluang menimba pengalaman merasai keseronokan. 

2.30 petang : Program di Bukit Merah Waterpark berakhir dan peserta mengisi petrol di Stesen Petronas Semanggol, R&R Bukit Merah, Perak.

3.30 petang : Peserta program Kembara Grand Livina 3 bergerak ke destinasi masing-masing. Sebanyak 35 Grand Livina menuju ke Kuala Sepetang, Perak untuk menjamu selera di Restoran Mak Jah yang terkenal dengan masakan ‘Mee Udang Special’.

6.30 petang : Semua peserta program KGL 3 bergerak ke destinasi masing-masing (Utara dan Selatan). 

7.00 petang : Konvoi Livina yang menuju ke selatan singgah di Hentian Bukit Gantang untuk solat Maghrib.

10.00 malam : Konvoi Livina singgah di Stesen Petronas Ulu Bernam atas jemputan pihak pengurusan Petronas Wilayah Utara. Peserta diraikan dengan jamuan makan malam diikuti sesi fotografi dan penggambaran klip video bersama kakitangan Stesen Petronas Ulu Bernam sebagai penutup program bersama penaja, Petronas Dagangan Berhad.

No comments:

Post a Comment