Translate

Monday, October 8, 2012

Melancong seorang diri ke Argentina


Air terjun yang menjadi tarikan utama di Argentina adalah Garganta del Diablo atau 'The Devil's Throat'
SETELAH membaca dan melayari Internet tentang negara Amerika Selatan, penulis akhirnya memilih Argentina, Chile, Bolivia dan Peru sebagai destinasi pelancongan.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Buenos Aires mengambil masa lebih kurang 35 jam dengan transit di Amsterdam dan Sao Paolo.
Perasaan takut dan teruja bercampur-baur di dalam diri penulis. Ini bukanlah kali pertama penulis mengembara seorang diri, tetapi teringat banyak cerita yang agak menakutkan tentang negara yang bakal dilawati seperti kes jenayah dan bencana alam.
Gembira pula dirasakan tatkala penulis melihat kecantikan Buenos Aires yang dilimpahi lampu pada waktu malam dari dalam pesawat sebelum mendarat di Lapangan Terbang Ezeiza.
Sebaik sampai di tempat penginapan, penulis disapa mesra oleh rakan dormitari yang berasal dari Brazil. Setelah berkenalan dan berbual, penulis terus melelapkan mata akibat keletihan.
Pasar jalanan di Buenos Aires.
Hari kedua di Argentina agak sukar kerana majoriti penduduk negara yang terkenal dengan tarian Tango ini tidak fasih berbahasa Inggeris.
Penulis ada belajar beberapa perkataan dalam bahasa Sepanyol sebelum ke sana tetapi ia tidak banyak membantu.
Akibatnya, penulis mengambil masa lebih sejam untuk ke kedutaan Bolivia di Argentina bagi mendapatkan visa, sedangkan bangunannya terletak sangat hampir dengan stesen keretapi bawah tanah yang penulis naiki.
Walaubagaimanapun, penulis bersyukur, sekurang-kurangnya sampai juga ke lokasi yang dituju.
Penulis kagum dengan keunikan Buenos Aires. Ini kerana ibu negara bekas jajahan Sepanyol ini mempunyai bangunan bercirikan Eropah tetapi penduduknya mempunyai mentaliti seperti orang Asia.
Sistem pengangkutan yang cekap dan tempat penginapan murah dan selesa menarik ramai pengembara dari benua lain untuk bertumpu di sini bagi mempelajari bahasa Sepanyol sebelum menjelajah negara Amerika Selatan lain.
Adalah sukar untuk mencari makanan halal. Penulis tinggal di Avenida de Mayo. Di situ terdapat banyak restoran yang mengenakan harga berpatutan bagi pengunjung menjamu selera.
Penduduk Argentina menggemari hidangan daging lembu, terutamanya stik berbanding ikan.
Alfajores, iaitu sejenis manisan merupakan snek pemanis mulut yang penulis gemari. Ia adalah makanan tradisi Arab yang diperkenalkan di Sepanyol dan telah dipelbagaikan dan snek yang sangat popular di Argentina serta beberapa negara Amerika Selatan lain.
Penulis mengisi hari ketiga dengan melawat tempat-tempat menarik seperti La Boca, Palermo, Av 9 de Julio, Plaza de Mayo dan San Telmo.
Kurang meminati bandar besar membuatkan penulis mengambil keputusan untuk ke Puerto Iguazu di utara Argentina pada malam itu. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 20 jam.
Penulis (kanan) bersama-sama rakan pelancong di Argentina.
Ia tidak menjadi masalah kerana kebanyakan bas di Argentina mempunyai tempat duduk 'cama' dan 'semi cama'.
Tempat duduk 'cama' boleh dijadikan katil. Mereka juga menyediakan makanan dan minuman di dalam bas.
Argentina merupakan negara kelapan terbesar di dunia, jadi perjalanan mengambil masa sehari adalah perkara biasa.
Penulis sangat teruja sebaik sampai di Puerto Iguazu. Ia merupakan pekan kecil yang lebih santai dari Buenos Aires.
Esoknya penulis ke stesen bas untuk ke Parque Nacional Iguazu yang sangat popular dengan air terjun-air terjunnya iaitu Iguazu Falls yang terletak di sempadan tiga negara iaitu Argentina, Brazil dan Paraguay.
Ramai orang percaya, ion negatif yang dihasilkan dari air terjun ini boleh menjadikan mereka gembira.
Air terjun yang menjadi tarikan utama di sini adalah Garganta del Diablo atau 'The Devil's Throat' (tekak iblis). Ia adalah air terjun terbesar di taman negara ini pada ketinggian 230 kaki.
Beratus-ratus gajah laut sedang berjemur di Punta Norte.
Bertepatan dengan namanya, ia seperti satu lubang besar yang menelan semua air yang ada di situ sehingga penulis tidak dapat melihat dasarnya.
Terdapat berbagai aktiviti boleh dilakukan di situ. Aktiviti utamanya adalah menaiki bot merentasi air terjun.
Di taman negara ini juga terdapat lebih 2,000 spesis pokok dan berbagai spesis haiwan yang tidak pernah penulis temui di tempat lain.
Destinasi seterusnya adalah Puerto Madryn yang terletak di Patagonia, selatan Argentina.
Tujuan utama penulis ke sini adalah untuk melihat pelbagai spesis haiwan terutamanya ikan paus. Puerto Madryn merupakan bandar kecil yang sunyi tetapi mendamaikan.
Selepas berehat sebentar, penulis terus berjalan ke pantai dan apa yang memeranjatkan, ikan paus jenis 'Southern Right Whale' dapat dilihat dalam jarak kurang satu kilometer dari pantai.
Perito Moreno Glaciers di Parque Nacional Los Glaciares adalah tarikan utama di taman negara di Argentina.
Penulis tidak sabar untuk melihat ikan paus pada jarak lebih dekat. Esoknya, penulis menyertai rombongan sehari ke Punta Norte dan Punta Piramide.
TandusPemandangan sepanjang perjalanan ke sana agak tandus di mana hanya pasir dan pokok-pokok kecil dapat dilihat. Tetapi ia tidak membosankan kerana terdapat spesies haiwan yang luar biasa bagi penulis seperti guanacos, armadillo dan lain-lain lagi.
Sebaik sahaja tiba di kawasan pantai di Punta Norte, penulis terpaku melihat beratus-ratus gajah laut sedang berjemur.
Mereka berada dalam proses penyalinan kulit yang mana kulit lama berwarna perang akan tertanggal dan digantikan dengan kulit baru berwarna kelabu.
Mereka tidak banyak melakukan aktiviti selain tidur dan berenang.
Kemudian, penulis dibawa melihat penguin jenis Megallanic. Kecomelan penguin-penguin ini mengingatkan penulis kepada filem animasi Happy Feet.
Kemudiannya penulis dibawa ke Punta Piramide untuk melihat ikan paus pada jarak lebih dekat. Di sini, penulis dan pelancong-pelancong lain dibawa menaiki bot ke tengah-tengah laut.
Penulis sangat teruja melihat ikan paus berenang berdekatan bot. Terdapat lebih daripada dua ekor ikan paus di sini.
Semua yang berada di atas bot teruja apabila melihat seekor ikan paus betina bersama anaknya.
Kami dinasihatkan supaya berhati-hati kerana sifat ingin tahu anak ikan paus boleh mendatangkan bahaya sebab kadang-kala si anak akan melanggar bot untuk bermain.
Bagai mengetahui ia menjadi tumpuan manusia, anak ikan paus itu melompat beberapa kali.
Hari itu, penulis pulang ke tempat penginapan dengan penuh kepuasan kerana apa yang diinginkan tercapai.
Dari Puerto Madryn, penulis menuju ke El Calafate. Sebaik sampai, penulis terus mencari tempat menginap.
Ternyata penginapan di sini jauh lebih murah daripada tempat-tempat lain. Penulis menginap di Kinere'.
ikan paus jenis 'Southern Right Whale' dapat dilihat dengan jelas pada jarak kurang dari satu kilometer di Puerto Madryn.
Majoriti mereka yang menginap di sini berasal dari Israel. Di sini, penulis belajar memasak makanan paling popular di Argentina iaitu empanada.
Ia berbentuk seperti karipap berinti daging kurang pedas dan dicampur dengan telur. Rasanya memang enak!
Seterusnya, penulis menuju ke Perito Moreno Glaciers di Parque Nacional Los Glaciares. Ia merupakan tarikan utama di taman negara ini.
Perito Moreno Glaciers dengan ketinggian 60 meter dan mengunjur dari banjaran Andes. Dengan warnanya yang agak kebiruan pasti memukau sesiapa sahaja.
Cuaca di sini agak sejuk. Momen yang tidak boleh dilupakan adalah apabila melihat glasier runtuh.
Ia bagaikan mendengar bunyi guruh yang sangat kuat diikuti dengan glasier runtuh ke dalam air. Fenomena ini berlaku setiap 20 hingga 30 minit.
Pengunjung dinasihatkan agar tidak berada dekat dengan glasier kerana dikhuatiri percikannya boleh mendatangkan kecederaan.
Penulis menghabiskan sepanjang hari di sini. Tidak timbul perasaan jemu melihat ciptaan Tuhan yang sangat memukau ini.
Keesokan harinya, penulis menuju ke El Chalten yang terkenal dengan keindahan alam.
Ia terletak berhampiran sempadan Argentina-Chile dan aktiviti utama adalah mendaki dan trekking.
Penulis tidak melepaskan peluang mengikuti trek ke Gunung Fitz Roy. Kawasan ini sangat selamat dan tiada masalah melakukan aktiviti treking seorang diri.
Agak penat melakukan aktiviti treking setelah sekian lama tidak melakukannya. Kepenatan hilang tatkala melihat Laguna Capri - tasik yang sangat cantik dengan air jernih dan boleh terus diminum.
Sememangnya kawasan taman negara ini dijaga rapi. Perjalanan diteruskan sehingga penulis sampai ke kaki Gunung Fitz Roy yang berketinggian 3,405m.
Panorama yang memukau membuatkan penulis leka. Perjalanan menuruni gunung dirasakan lebih mudah.
Setelah berehat sebentar, penulis terus ke stesen bas untuk pulang ke El Calafate.
Dua minggu yang diluangkan di Argentina terasa sangat singkat tapi penulis terpaksa meninggalkan negara ini kerana terdapat tiga lagi negara yang harus dituju.
Semasa berada di Argentina, penulis banyak belajar perkataan baru dalam bahasa Sepanyol yang dapat digunakan di Chile, Bolivia dan Peru.
Sememangnya Argentina meninggalkan seribu satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20121007/pl_01/Melancong-seorang-diri-ke-Argentina#ixzz28ldcqqxj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment