Translate

Tuesday, May 15, 2012

Tinjau Orang Utan | SERAWAK

PERCAYA...pawang kaum Melanau menggunakan patung untuk mengalihkan penyakit.
PERCAYA...pawang kaum Melanau menggunakan patung untuk mengalihkan penyakit.
JOLOKAN Bumi Kenyalang yang berkeluasan 124,450 kilometer persegi mempunyai pelbagai tarikan yang menobatkannya antara lokasi pelancongan popular.

Sarawak mempunyai lebih 40 kumpulan etnik kecil yang berlainan budaya, bahasa dan gaya hidup. Namun hanya tujuh etnik utama iaitu Bidayuh, Iban, Melanau, Orang Ulu, Penan, Melayu dan Cina. 

 KREATIF...setiap wanita Iban mula menenun kain sesudah mendapat mimpi.
 SUMPIT...pertunjukan tarian dan aktiviti kaum Iban di Kampung Budaya Sarawak.
 TINGGI...rumah Orang Ulu mudah dikenali kerana tiangnya tinggi.
 CUBA...titi kecil yang dibina kaum Bidayuh.
 ATUR...rumah panjang Bidayuh Annah Rais masih kekal tradisional.
 BARUK...upacara memuja kepala ini dilakukan setahun sekali bagi mengekalkan semangatnya
BESAR...Ritchie, Orang Utan di Semenggoh.





















Antara tarikan pelancongan popular di bandar Kuching ialah Taman Negara Mulu dan Rainforest World Music Festival yang menarik lebih 20,000 pencinta muzik dari seluruh dunia.

Kampung Budaya Sarawak


DIKENALI ‘Muzium Hidup’, Kampung Budaya Sarawak dibina untuk memelihara dan mempamerkan warisan kebudayaan negeri Sarawak.

Terletak di Pantai Damai, Santubong sejauh 32 kilometer dari bandar Kuching, seramai 150 penduduk tinggal di perkampungan itu dengan mengekalkan budaya dan gaya hidup tempatan.

Pelbagai aktiviti di adakan seperti memproses sagu, tebaloi, menenun pakaian dan membuat kraftangan Sarawak.

Dengan mengenakan pakaian tradisional suku masing-masing, setiap etnik memperkenalkan senjata memburu, perhiasan wanita, barangan dapur, perhiasan rumah serta patung dalam upacara keagamaan dan perubatan.

Replika rumah mempamerkan seni bina setiap kumpulan etnik utama di Sarawak iaitu rumah panjang Iban, rumah panjang Bidayuh, Penan, Orang Ulu, Melanau, rumah Melayu dan rumah ladang orang Cina.

Di rumah panjang Bidayuh, pelancong dapat melihat ‘rumah kepala’ yang dikenali baruk atau panggah yang menempatkan kepala manusia.

Rumah panjang Iban menempatkan bilik berasingan terbuka dan terus ke laluan dewan perkauman untuk aktiviti santai seperti mengukir kayu dan menganyam bakul.

Pelancong turut dijemput menghadiri majlis di waktu malam sambil minum tuak
atau minuman tradisional daripada beras.

Rumah Penan hanya sebuah pondok tidak mempunyai sebarang ruang bilik kerana masyarakat ini menjalani kehidupan nomad atau berpindah-randah.

Perkampungan Budaya menyediakan sebuah teater yang membolehkan pelancong menikmati persembahan tarian dan budaya Sarawak.

Selain menempatkan restoran, rumah tumpangan dan kedai kraftangan, pelancong boleh mengadakan majlis perkahwinan di Kampung Budaya Sarawak dan memilih untuk mengikut budaya Iban, Bidayuh, Melanau atau Orang Ulu.


Pusat Hidupan Liar Semenggoh

DITUBUHKAN pada 1975 bertujuan menjaga dan memelihara haiwan liar yang cedera dalam hutan, yatim piatu atau dipelihara manusia.

Terletak sejauh 24 kilometer dari bandar Kuching, pusat ini bersempadan dengan Rizab Semula jadi Semenggoh.

Pada permulaannya, pusat ini menempatkan hampir 1,000 spesies mamalia, reptilia dan burung namun ia lebih dikenali dengan program pemulihan Orang Utan.

Pelancong dapat melihat haiwan mamalia ini secara dekat sama seperti di Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok, Sabah.

Pengunjung perlu berjalan kaki selama 20 minit untuk tiba di platform lawatan yang disediakan.

Waktu makan Orang Utan bermula pada 9 hingga 10 pagi dan 3 hingga 3.30 petang.
Pelancong dinasihatkan untuk hadir pada waktu yang ditetapkan kerana haiwan ini bersifat pemalu dan agak sukar dilihat.

Jika musim buah-buahan, haiwan itu menghabiskan masa di hutan.


Rumah Panjang Bidayuh Annah Rais

ANNAH RAIS bermaksud ‘lembah rais’ menempatkan tiga jenis rumah panjang kaum Bidayuh iaitu Kupo Saba, Kupo Sijo dan Kupo Trakan dengan seni bina dan budaya masyarakatnya.

Berusia hampir 150 tahun dan mempunyai lebih daripada 100 pintu yang bermaksud 100 keluarga.

Walaupun kelihatan agak usang, keadaan rumah panjang masih utuh dengan penggunaan buluh sebagai lantai dan daun kelapa sawit dijadikan bumbung rumah.

Pelancong dapat melihat rumah panggah atau baruk dengan lebih dekat berusia lebih 170 tahun.

Longgokan kepala manusia di atas baruk adalah hasil pemburuan kepala oleh pahlawan Bidayuh dan dipercayai masih dipuja setahun sekali bagi memastikan semangat pahlawan kekal bersama-sama masyarakat terbabit.

Terdapat juga sebuah meriam yang diukir dengan perkataan ‘Pieters eest Anno 756’ dalam huruf Arab dan Roman yang di letak di bawah panggah.

Perjalanan dari bandar Kuching ke Padawan sejauh 60 kilometer dan mengambil masa hampir sejam 30 minit.

Sepanjang perjalanan, anda disajikan keindahan banjaran gunung, sawah padi menghijau, bukit batu kapur serta suasana desa yang damai.

Pelancong boleh tinggal di inap desa Annah Rais jika ingin menikmati suasana dan budaya di perkampungan ini.


Taman Negara Bako

SARAWAK mempunyai 18 kawasan yang diisytiharkan taman negara.

Berkeluasan 2,727 hektar, Taman Negara Bako digazet pada Mei 1957 kerana kekayaan flora dan faunanya.

Walaupun ia taman negara terkecil di Asia Tenggara, ia memiliki hampir semua spesies tumbuhan dijumpai di Borneo.

Terletak 37 kilometer dari Kuching, Taman Negara Bako kaya dengan flora dan fauna dengan 316 spesies tumbuhan, 22 spesies burung, 24 spesies haiwan reptilia dan binatang berdarah sejuk, 57 spesies mamalia serta spesies ikan lumba-lumba yang dilindungi sepenuhnya di negeri ini.

Ia mempunyai tujuh jenis eko sistem iaitu hutan paya bakau, hutan dipterokap, hutan pantai, kerangas, hutan cliff, tumbuhan riparian dan hutan paya gambut yang melahirkan pelbagai jenis tumbuhan.

Pelancong boleh meneroka keseluruhan taman negara ini melalui 16 laluan utama sejauh 700 meter hingga 13 kilometer dan satu laluan pilihan yang mengelilingi sebuah kawasan dengan masa lebih tujuh jam.

Bako didiami lebih 275 monyet proboscis yang hanya terdapat di Borneo bersama monyet long tailed macaque dan silver langur.

Untuk melihat haiwan ini, datang pada awal pagi atau sebelum senja. Laluan seperti Teluk Delima, Teluk Paku dan hutan paya bakau di Teluk Assam adalah lokasi terbaik untuk melihat monyet proboscis.

Ia juga lokasi yang sesuai sebagai tempat pemerhatian burung dengan 160 spesies direkodkan.

Pelancong dinasihatkan ke sini April hingga September kerana monsun ketika itu tenang.



INFO:

Lembaga Pelancongan Sarawak
Level 5-7, Bangunan
Yayasan Sarawak
Jalan Masjid, 93400 Kuching

Tel: 082-423600
Web: www.sarawaktourism.com

  • AirAsia menawarkan penerbangan ke Kuching 12 kali sehari dari Kuala Lumpur, dua kali sehari dari Singapura dan sekali sehari dari Pulau Pinang.

  • Penerbangan ini mempunyai lebih 152 destinasi domestik dan antarabangsa antaranya Malaysia, Thailand, Indonesia, China, Australia, India, Vietnam, Kemboja, Laos, Filipina serta Brunei.

  • Ia adalah syarikat penerbangan kos rendah pertama yang ditubuhkan di Malaysia dan seterusnya dikenali sebagai syarikat penerbangan kos rendah yang terkemuka dan terbesar di Asia.

  • Maklumat penerbangan ke Kuching boleh dilayari di www.airasia.com.
  • No comments:

    Post a Comment