Translate

Wednesday, May 2, 2012

Cabaran tiga puncak | Cameron Highlands

 MENAIKI pacuan empat roda ke Pos Rengit.
 MEREDAH sungai yang sejuk.
 PUNCAK Gunung Bubu.
 AIR terjun dalam pendakian ke Gunung Yong Yap.

Ekspedisi tawan Tok Nenek, Bubu, Yong Yap

GUNUNG Tok Nenek, salah satu puncak gunung di Banjaran Titiwangsa. Dikenali dengan jolokan 'table and chair' (kerusi dan meja) oleh penjajah British sewaktu zaman penjajahan dulu kerana pemandangan puncaknya kelihatan seperti sebuah meja dan kerusi jika dilihat dari jauh.
Berhampiran puncak gunung itu, terdapat dua lagi gunung diberi nama Gunung Bubu dan Gunung Yong Yap. Ikuti pengalaman penulis bersama enam pendaki dari Kuala Lumpur yang menyertai ekspedisi menawan tiga puncak gunung itu, pertengahan Julai lalu.Jumaat

8 pagi:

Selesai sarapan, rombongan kami dari Kuala Lumpur termasuk seorang pemandu arah, Hafiz Zaaba berkumpul di Masjid Kampung Raja, Cameron Highlands bagi memulakan perjalanan ke lokasi permulaan pendakian di Pos Rengit menaiki pacuan empat roda yang disewa. Pemandu, Kumar Ganesan membawa kami menelusuri jalan balak menuju Pos Rengit. 

Kenderaan mula terhuyung-hayang tatkala melalui jalan tidak rata dan berlubang menyebabkan hati terasa sedikit cemas apabila melalui kawasan tebing gaung yang curam dan tinggi. 
9 pagi: 

Selepas hampir sejam perjalanan, akhirnya kami tiba di Pos Rengit, disambut seorang penduduk tempatan, Rajis Ali yang berpengalaman sebagai pemandu arah sekitar Banjaran Titiwangsa.

9.30 pagi: 

Selesai taklimat ringkas dari Hafiz, senaman ringan dan bacaan doa, kami memulakan perjalanan, menyeberang beberapa sungai, meredah denai dan pepohon buluh yang tumbang. Hampir sejam berjalan, mata mula terpesona melihat aliran air mengalir tenang dari cerun bukit. Kami melepaskan lelah sebentar di situ sebelum meneruskan perjalanan ke kem pertama iaitu Kem Simpang.

11.30 pagi: 

Tiba di satu kawasan lapang dipanggil Kem Simpang. Mendapat nama itu berikutan sebuah sungai yang menjadi persimpangan antara dua laluan denai hutan. Di seberangnya, ada dua denai hutan iaitu ke arah utara menuju puncak Gunung Yong Yap, manakala di sebelah timur laluan ke puncak Gunung Tok Nenek yang akan kami lalui.

Kami meneruskan perjalanan menuju kem kedua iaitu Kem Kapak. Perjalanan semakin mencabar mental dan fizikal kerana laluan denai jarang dilalui sebelum ini. Akur dengan kehendak alam, kami meniarap dan mengiring melalui runtuhan pepohon buluh dan balak tua yang rebah ke bumi sejauh 100 meter. Kedinginan air sungai menusuk tatkala meredah dan melintasi beberapa kawasan sungai di sepanjang perjalanan.

2.20 petang: 

Akhirnya sampai di Kem Kapak untuk berehat sambil menikmati juadah tengah hari siap dibungkus sewaktu sarapan tadi. Penulis dan rakan pendaki sedikit gerun apabila Hafiz menunjukkan kesan tapak kaki beberapa ekor haiwan buas dipercayai milik sang belang yang masih baru. Menurut Hafiz, hutan itu mempunyai beberapa spesies haiwan liar yang dilindungi.

Sesudah berehat selama 15 minit, kami meneruskan pendakian dengan trek yang mempunyai kecuraman laluan sehingga 70 darjah. Kami mengatur langkah perlahan dan berhati-hati apabila beberapa pendaki mula kepenatan.

6 petang: 

Selepas hampir senja barulah kami tiba di Kem LWP iaitu ‘Last Water Point’ kerana hanya di sini ada punca air terakhir iaitu sebatang anak sungai kecil. Kami mengambil keputusan bermalam di sini dan mendirikan khemah serta melakukan persiapan untuk memasak makan malam sementara cahaya mentari masih memancar.

10 malam: 

Selesai makan malam, semua pendaki yang kepenatan mengambil keputusan tidur menunggu fajar menjelma keesokannya bagi meneruskan pendakian ke puncak gunung Tok Nenek.

Sabtu

6 pagi: 

Dalam keheningan pagi, kami meneruskan pendakian ke puncak Tok Nenek. Perjalanan semakin mencabar kerana terpaksa melalui trek curam 80 darjah sebelum tiba di satu kawasan permatang. Laluan ini agak landai dan terdapat pepohon diliputi lumut hijau yang membuatkan mata penulis terasa segar memandangnya.

8 pagi: 

Tiba di kawasan cerun berbatu dan curam. Dengan penuh berhati-hati, kami menuruni cerun itu seorang demi seorang menggunakan tali. Selepas semua peserta selamat turun, perjalanan diteruskan menuju puncak, tetapi sebelum itu perlu melalui kawasan mempunyai tembok batu semula jadi di sebelah kanan trek. Hati berbunga riang apabila dimaklumkan di atas tembok itulah puncak Gunung Tok Nenek.

9 pagi: 

Sampai di puncak Gunung Tok Nenek berketinggian 1,904 meter dari aras laut. Ada dua puncak memiliki ketinggian hampir sama. Puncak di sebelah kanan dipanggil puncak Tok atau ‘Table’ manakala di sebelah kiri dipanggil puncak Nenek atau ‘Chair’. Hampir seluruh puncak gunung ini berbatu, lapang dan gondol.

Kami dihidangkan pemandangan 360 darjah dari kedua-dua puncak yang dihubungkan melalui laluan berbatu agak curam sejauh 15 meter. Beberapa gunung di sekitar banjaran termasuk sebahagian pekan di Cameron Highlands jelas kelihatan. Tiupan angin begitu segar dan kesejukan terasa membuatkan penulis mula memakai jaket tebal yang dibawa.

Selesai bergambar, kami bergerak turun dari puncak Gunung Tok Nenek dan meneruskan perjalanan ke dua lagi puncak gunung yang harus ditawan sebelum tiba di kem Sungai Y untuk bermalam.

1.10 petang: 

Sesudah mengharungi perjalanan hampir tiga jam, kami sampai di puncak Gunung Bubu berketinggian 1,974 meter dari aras laut. Puncak gunung ini agak tinggi sedikit dari puncak Tok Nenek, ada kawasan agak lapang dan sesuai untuk berkhemah. Kawasan puncak ditumbuhi pokok agak tinggi sehingga sukar melihat panorama sekitar. 

5.30 petang: 

Hampir empat jam pendakian, kami tiba di persimpangan laluan ke puncak Gunung Yong Yap dan ke Kem Sungai Y. Hafiz mengarahkan kami meninggalkan beg galas seberat lebih 20 kilogram bagi memudahkan pendakian ke puncak Yong Yap, hanya bawa air dan beg kecil saja. Kami terus mendaki ke puncak Yong Yap yang cuma tinggal 60 minit jarak pendakian.

6.20 petang: 

Kami akhirnya tiba di puncak Yong Yap berketinggian 2,168 meter dari aras laut, juga puncak tertinggi kami kali ini. Puncak Yong Yap satu daripada tujuh puncak gunung tertinggi (G7) di Semenanjung. Terdapat banyak kawasan lapang di atas puncak yang sedikit berawan. Kadang kala penulis mula menggigil apabila awan menerjah kumpulan kami.

Pemandangan indah gunung menghijau sekitar Titiwangsa boleh dilihat dari beberapa sudut di puncak gunung ini. Sesudah puas bergambar, kami bergerak turun. Kira-kira 40 minit kemudian, mula kembali turun ke simpang laluan tadi dan berehat sebentar di sana sementara menunggu waktu Maghrib berlalu. 

Dalam kegelapan malam yang dingin dan hanya bertemankan cahaya lampu suluh, kami meneruskan perjalanan ke Kem Sungai Y dengan penuh hati-hati. Penulis dimaklumkan pernah ada kejadian orang hilang ketika melalui laluan ini dan Hafiz menasihatkan kami berjalan rapat dalam kumpulan dan tidak berpecah.

10 malam: 

Kami akhirnya sampai di Kem Sungai Y. Terdapat pertemuan dua sungai yang membentuk dataran di sini seperti huruf Y. Kami segera menyediakan peralatan memasak, membersihkan diri dan mendirikan khemah untuk bermalam.

Ahad

11 pagi: 

Selesai berkemas dan bersarapan, kami memulakan perjalanan keluar ke Pos Rengit dan sesekali terpaksa meredah beberapa batang anak sungai dalam kesejukan pagi. Dalam perjalanan, terpegun melihat spesies siput gunung dengan warna dan bentuk unik dan seekor katak hutan agak besar saiznya berbanding katak biasa.

5 petang: 

Tiba di Pos Rengit dan terus menaiki pacuan empat roda untuk ke Kampung Raja. Kami mula bergerak pulang ke Kuala Lumpur dan pastinya cabaran serta pengalaman ekspedisi kali ini akan terpahat dalam ingatan bagi pendaki tegar seperti kami.

No comments:

Post a Comment