Translate

Wednesday, May 2, 2012

Mutiara Laut Cina Selatan | Pulau Tioman.

 ANTARA aktiviti fizikal yang perlu diikuti peserta sepanjang dua hari berkampung di Pulau Tioman.


 JAM Oris Col Moschin yang diuji kekuatan fizikalnya.

Kenangan program lasak ala tentera, kehijauan buana serlah identiti Pulau Tioman

PENULIS berkunjung lagi ke Pulau Tioman baru-baru ini atas undangan syarikat pengeluar jam tangan terkemuka dunia, Oris yang menganjurkan majlis pelancaran penuh gimik edisi terbaru produknya, Oris Col Moschin di pulau istimewa ini.
Selama dua hari ‘berkampung’ di Pulau Tioman, kumpulan media cetak, penulis blog dan pengedar jam tangan yang menginap di Berjaya Tioman - Beach Golf & Spa Resort, menguji ciri-ciri lasak Oris Col Moschin edisi terhad yang digunakan anggota pasukan Tentera Khas Itali baik di darat, laut dan udara.Penulis dan rakan media lain mengikuti latihan ala tentera yang menguji ketahanan fizikal sepanjang percutian singkat di Pulau Tioman. Tidak kira lelaki atau perempuan, masing-masing beradu kekuatan fizikal dan mental.

Namun di sebalik jadual padat program, kami sempat meneroka keajaiban Pulau Tioman yang terus menerima kunjungan pelancong tempatan dan asing. Di sebalik pembangunan pesat di pulau peranginan ini, masih melimpah keindahan flora dan fauna di alam penuh keajaiban ini.

Ikuti catatan ini...

Selasa 9 pagi: Penulis, rakan media dan jemputan diminta berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) di Subang untuk menaiki penerbangan terus ke Pulau Tioman melalui perkhidmatan Berjaya Air.

Tiba di LTSAS, kami diberi kejutan pertama. Kami diberi senarai soalan yang mengandungi petunjuk penuh simbolik untuk diselesaikan sebelum tiba di Pulau Tioman.

11.50 pagi : Kira-kira sejam perjalanan dengan penerbangan Berjaya Air, rombongan tiba di Lapangan Terbang Pulau Tioman di Kampung Tekek. Sebelum mendarat, penulis sempat mengintai di sebalik tingkap kecil pesawat keindahan rupa bentuk geografi Pulau Tioman. Rasa kagum pantas menerjah kerana dari jauh, landskap pulau peranginan ini nampak cukup terpelihara biarpun menerima kunjungan ramai pelancong. 

12.30 tengah hari : Bas khas yang disediakan penganjur membawa kami ke Berjaya Tioman, Beach Golf & Spa Resort yang terletak kira-kira lima minit perjalanan dari Kampung Tekek.

Kami dihidangkan minuman selamat datang sejurus tiba di resort. Belum sempat diberi kunci bilik, kami diterjah dengan kejutan kedua di mana kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan berpandukan warna gelang tangan. Maka, terbentuklah pasukan merah, biru cyan, biru, kuning, merah jambu, jingga dan hijau membabitkan 35 peserta.

2 petang : Sambil bersantai menjamu selera di Sri Nelayan Coffee House, peserta dikumpul berpandukan pasukan masing-masing. Penulis yang menganggotai kumpulan biru cyan berganding dengan wakil media lain iaitu kolumnis Dino Goh; Penulis The Edge, Emily Tan; Editor Velocity, Kevin Tan termasuk seorang wakil pengedar jam tangan dari Kuantan, Michael. Misi pertama kami ialah mencipta bendera pasukan yang menggambarkan kerjasama padu biru cyan. Tema burung dipilih sebagai lambang kebebasan. 

2.30 petang : Laungan cabaran ditiup sebagai tanda bermulanya misi sebenar ala latihan tentera. Kami perlu menempuhi latihan fizikal dan mental bagi menyempurnakan misi penting di sebalik pelancaran rasmi jam tangan edisi terhad Oris Col Moschin.

Apa yang menarik, semua pasukan tidak bersaing kerana perlu melalui cabaran berbeza. Cabaran pertama pasukan biru cyan ialah membina perkataan berpandukan kod cahaya dari lampu. Selepas melangkah penuh gaya menyempurnakan misi kod cahaya, cabaran seterusnya ialah membina istana pasir mengikut klasifikasi lokasi pertahanan. Cabaran ini tidak semudah membina istana pasir biasa. Ini kerana setiap pasukan harus memberi alasan logik dengan mengambil kira spesifikasi, faktor alam semula jadi, konsep hijau hinggalah elemen pertahanan.

4. 40 petang : Baru saja hendak menarik nafas lega, misi lain menanti kami. Kali ini, kami ‘direndamkan’ untuk meneka jumlah plat Oris di dasar laut. Ini bermakna, kami perlu berenang sejauh 100 meter dari pesisir pantai. Namun, tidaklah rasa tertekan kerana setiap pasukan diberi masa menjadikan aktiviti ini cukup menyeronokkan. Selepas itu, kami sekali lagi bekerjasama dengan menyempurnakan misi pertolongan cemas diikuti acara larian merentasi halangan ala tentera. Biarpun tempoh 10 minit diberi, bukan mudah menyempurnakan cabaran ini.

Cabaran seterusnya, kami dikehendaki membina rakit menggunakan batang buluh, pelampung serta tali. Melengkapi misi, kami melalui laluan ‘jerangkap maut’. Puas mengharungi kira-kira empat jam cabaran ala tentera, berakhirlah simbolik pelancaran jam tangan edisi terhad Oris Col Moschin. Bagi meraikan kejayaan menamatkan cabaran, kami disajikan dengan jamuan makan malam di tepi pantai.

8 malam : Menggayakan kemeja-T Oris, peserta berselera menikmati menu makanan laut dan sajian tempatan secara bufet. Sambil dihiburkan dengan muzik, Pengurus 
Besar Swiss Prestige, Raymond Tan melancarkan jam tangan edisi terhad Oris Col Moschin. 

Bukan calang-calang seni buatannya kerana hanya 2,000 utas jam tangan itu dipasarkan di seluruh dunia dengan setiap satu berharga kira-kira RM12,000!

Pada malam itu, pasukan biru dinobatkan sebagai juara dengan hadiah sesi urutan tradisi selama sejam. Peserta lain gigit jari sajalah! Menghabiskan sisa malam, penulis sempat bersiar-siar di pesisir pantai sambil menikmati minuman ringan bersama teman media lain.

Rabu
8 pagi : Andai semalam kami dikerah cukup-cukup dengan pelbagai aktiviti mencabar, hari ini program penuh santai. Penulis dan jurufoto, Mustaffa Kamal mencari sisi berbeza Pulau Tioman. Kami sepakat menyewa motosikal dengan kadar RM20 sejam. Puas kami menjelajah Kampung Tekek hingga ke penghujung jalan, sebelum berjalan kaki ke Kampung Air Batang.

Sepanjang perjalanan di Kampung Batang Air, tersergam deretan chalet milik penduduk tempatan yang disewa pada harga berpatutan. Ada antara binaan chalet ini mampu menyaingi resort mewah berdasarkan reka bentuk, restoran, kedai runcit hinggalah bilik internet yang beroperasi 24 jam. 

Jangan tidak tahu, Kampung Batang Air juga menyediakan pusat kraf termasuk bengkel belajar membatik. Inilah keistimewaan chalet milik penduduk tempatan hingga menjadi pilihan bagi pelancong bajet.

Mustaffa tidak melepaskan peluang merakamkan fenomena alam di Pulau Tioman termasuk aksi haiwan liar yang menghuni pulau itu. Paling mengasyikkan ialah ketika aksi burung helang selain gelagat biawak bertenggek di balik pokok.

11.30 pagi : Tanpa disedari, tengah hari menjengah. Sebelum pulang ke resort, kami singgah sebentar di binaan batu burung tiong emas setinggi lebih lima meter menghadap Laut Cina Selatan. Andai Pulau Langkawi gah dengan monumen burung helang, Pulau Tioman boleh berbangga dengan binaan ini.

Jika difikirkan logiknya, perkataan tiong emas menyamai nama Tioman itu sendiri - mungkin itulah maksudnya

1.30 petang : Selepas bersiap dan membersihkan diri, kami berkumpul di lobi untuk pulang ke ibu kota. Segala-galanya berjalan lancar dan rombongan terus ke Lapangan Terbang Pulau Tioman menaiki pesawat yang dijadualkan. Sambil menanti, kami melawat di sekitar lapangan terbang kecil itu. Selamat tinggal Pulau Tioman!

INFO: Pulau Tioman


  • Berkeluasan 133.6 kilometer (km) persegi, pulau ini umpama seketul paha ayam jika ditinjau dari udara dan diwartakan sebagai Taman Laut pada 1992. 

  • Pulau Tioman kaya dengan hidupan marin termasuk terumbu karang dan gamat. Terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari Mersing dan 56 kilometer dari Tanjung Gemuk, Rompin.

  • Diiktiraf sebagai destinasi percutian paling mempesona di Laut Cina Selatan dan pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, South Pacific pada 1959. 

  • Kajian arkeologi oleh J Collin pada 1992 menemui kuali dan seramik purba di Kampung Juara dan Teluk Nipah berhampiran Kampung Mukut.

  • Beberapa kampung utama seperti Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya, Air Batang dan Juara dihuni lebih 4,000 penduduk dengan kehidupan unik penduduk tempatan.

  • Mula menjadi tumpuan penyu spesies Agar dan Karah. 

    Bagaimana ke sana? 

    Feri
    - Perjalanan dua setengah jam dari dari jeti Tanjung Gemok di Rompin dan jeti Mersing di Mersing, Johor

    Kereta
    - Perjalanan dengan kenderaan ke Rompin atau Mersing mengambil masa kira-kira lima jam.

    Kapal terbang
    - Perkhidmatan Berjaya Air menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur dan Singapura, dua kali sehari ke Kampung Tekek, Pulau Tioman. 
  • No comments:

    Post a Comment