Translate

Wednesday, May 2, 2012

Damai tropika

pix_gal0
Keunikan Pulau Orang Utan, kehijauan Royal Belum pakej lengkap tarikan pelancongan Perak

NEGERI Perak kaya hutan hujan menghijau menjadikannya antara destinasi eko pelancongan utama negara. Hutan hujan Belum-Temenggor berkeluasan 300,000 hektar misalnya, adalah sebahagian daripada hutan simpan Royal Belum berusia 130 juta tahun dan masih kekal sebagai antara hutan simpan dara paling luas dan tertua di dunia. 

Pencinta alam yang ingin mendekati kehijauan pasti memilih Belum Rainforest Resort (BRR) di Pulau Banding, Grik, sebagai destinasi percutian. Bertaraf lima bintang, BRR ibarat gerbang bagi mereka yang dahagakan sentuhan alam semula jadi. Seni reka chaletnya yang unik, mampu memperdaya setiap mata yang memandang dek lokasinya yang terlindung di sebalik kehijauan yang merimbun.Penulis bersama rakan media baru-baru ini cukup bertuah menikmati kemudahan di BRR dan menyertai aktiviti rekreasi yang direka khusus untuk pengunjung resort ini. Selain dibawa melihat kawasan perkhemahan air terjun Sungai Enam dan menjejaki Sira Gajah iaitu sumber garam haiwan liar, kami juga teruja dengan inisiatif Yayasan Emkay dalam melunaskan khidmat tanggungjawab komuniti (CSR), membantu membina kemudahan asas serta pendidikan kepada masyarakat orang asli suku Jahai di sekitar Belum-Temenggor.Sebelum ke BRR, kami dibawa penganjur melawat pusat kajian dan penyelidikan Orang Utan di Pulau Orang Utan (POU), Bukit Merah, Semanggol yang juga tersohor dengan taman tema airnya. 

Sabtu 

7 pagi : Cuaca pagi cukup sesuai untuk berjalan jauh. Van disediakan penganjur, Kumpulan Emkay yang menanti di Menara Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Petaling Jaya, awal-awal lagi dipanaskan enjinnya. Selepas semua berkumpul dan mengambil tempat, kami memulakan perjalanan ke utara mengikut jadual dirancang. 

10.30 pagi : Berkat bertolak awal, ditambah cuaca baik dan perjalanan lancar, kami tiba tepat waktunya di BMR lalu mendaftar masuk ke Laketown Inn. Hotel ini cukup popular dan menjadi pilihan pengunjung kerana lokasinya yang strategik dan paling dekat dengan tarikan utama BMR seperti Taman Tema Air dan Taman Eko. Hotel ini juga lengkap dengan denai pejalan kaki di mana pengunjung berpeluang mendekati alam sekitar termasuk beberapa spesis haiwan yang jinak selain menjejaki Tasik Bukit Merah dan Pulau Orang Utan (POU). 

11 pagi : Sebelum menaiki bot ke POU yang mengambil tempoh kira-kira 30 minit, kami disambut Pengurus Kanan Khidmat Veterinari dan Pakar Bedah Veterinari POU, 
Dr D Sabapathy yang mengiringi rombongan media untuk memberi penjelasan mengenai aktiviti di pulau itu pada 2000. 
Panorama indah menyambut kami ke POU yang berkeluasan 2800 hektar. Dalam perjalanan, kami sempat singgah menjenguk Pulau BJ, lokasi sementara yang hampir menyamai habitat asal Orang Utan. Di sini, tiga calon daripada 24 Orang Utan di POU iaitu Ah Ling, Nicky dan Sonia dijangka dilepaskan pada 15 Februari ini untuk tujuan kajian penyelidikan. 
Proses ini akan mengukur kesesuaian serta kelangsungan hidup secara mandiri dengan campur tangan minimum manusia. Bagi memastikan peringkat keenam di bawah Program Pemulihan Orang Utan berjalan lancar, petugas giat menanam lebih 500 pokok herba dan buah-buahan; pelantar makanan (hanya jika perlu); membina denai; pagar elektrik serta kemudahan asas seperti pondok dan tandas untuk kegunaan saintis serta pengkaji dari Institut Kajian Primate, Universiti Kyoto, Jepun dan petugas POU sepanjang pemantauan. 

12 tengahari : Setiba di POU, Dr Saba, memberikan taklimat ringkas mengenai operasi harian sebelum membawa kami mendekati semua peringkat pemulihan Orang Utan antaranya Unit Rawatan Bayi Orang Utan (ICU); Unit Pembangunan dan Pengayaan dan Unit Pengenalan Pembebasan secara Terkawal. 
Kejayaan lima peringkat ini membawa kepada perkembangan membanggakan Pusat Kajian POU dengan pelepasan tiga Orang Utan yang dirancang, Selasa ini di Pulau BJ. 

1.30 petang : Selepas mendekati Orang Utan seperti Mike, Sonia dan rakan-rakannya, kami kembali ke BMR untuk menikmati makan tengah hari di Restoran Le Lac disertai Pengerusi Yayasan Pulau Banding dan Pulau Banding Rainforest Research Centre, Dr Daniel Baskaran yang akan menyambung tugasan Dr Saba untuk bersama-sama kami ke BRR. Hidangan masakan kampung serba sederhana cukup menyelerakan, lebih-lebih lagi apabila ulam-ulaman turut dihidangkan. 

2.30 petang : Sesi program bebas dimanfaatkan kami sebaik-baiknya. Ada yang meninjau sekitar Taman Tema Air, namun kebanyakan warga media memilih untuk pulang ke Laketown Inn dan berehat kerana perjalanan kami masih jauh. 

5.30 petang : Mujur dapat melelapkan mata dan menyegarkan tubuh sebelum bertolak ke BRR di Pulau Banding, Grik kerana empat jam perjalanan bukan satu masa yang singkat. Bagaimanapun, menjelang senja di suatu selekoh gelap di Grik, dari kejauhan kami melihat deretan lori dan kereta di jalan bertentangan tiba-tiba berhenti seolah-olah menunggu sesuatu. Debaran dan harapan menggunung termakbul rupanya apabila menyaksikan sendiri sekumpulan gajah liar sedang memantau keadaan sekeliling sebelum melintas jalan. Cukup mengagumkan. 

8 malam : Rasa penat dan mabuk akibat jalan yang bersimpang siur bertukar ceria sebaik ketibaan kami disambut dengan senyuman oleh Pengurus BRR, Noraini Ahmad dan warga kerjanya. 
Tanpa berlengah, tempat penginapan untuk bermalam dibahagikan sebelum kami dihidangkan makan malam menu kampung yang cukup enak. Selepas makan malam, perbualan semakin rancak sebaik dijamu teh tarik hingga tidak sedar malam semakin larut. 

Ahad 

7 pagi : Selepas solat Subuh mahu saja rasanya kembali beradu. Menyedari itu bukanlah idea yang bernas, menyiap beg galas dengan kelengkapan yang perlu adalah lebih baik sementara menanti waktu untuk bersarapan bersama. 

8 pagi : Bot sudah siap sedia menanti di jeti diketuai Wan Rashidi bersama Dr Daniel untuk membawa kami melawat destinasi pertama iaitu penempatan orang asli kaum Jahai di Sg Tiang. 
Ketika mengelilingi Pulau Banding, Dr Daniel menjelaskan, ketika Tasik Temenggor terbentuk akibat projek empangan sungai, puncak hutan berbukit membentuk pulau yang digelar Pulau Banding hari ini. 
Kebanyakan ‘pulau-pulau’ ini dibalak mengakibatkan kanopi belantara yang dulunya merimbun dimusnahkan. Spesis yang ditemui kini sama ada sisa aktiviti membalak terdahulu atau generasi baru tumbuhan yang boleh menyesuaikan diri dengan keadaan baru. 

9 pagi : Suasana di penempatan orang asli Sungai Tiang terlalu tenang. Sekali sekala bot terhuyung hayang kerana berselisih dengan bot orang asli dari arah bertentangan. Mungkin budaya mereka agaknya, setiap kali berselisih pasti mereka akan melambai tangan bertegur sapa. kembali ke penempatan Sg Tiang, kaum ibu sibuk dengan aktiviti pagi seperti membasuh pakaian, kanak-kanak pula bermandi-manda sementara kaum lelaki jika tidak keluar ke pekan bekerja akan mengail ikan mahupun bercucuk tanam. 
Kami menuju terus ke pusat kegiatan penduduk kampung berkenaan untuk melihat sendiri bagaimana anak-anak suku kaum Jahai dididik menggunakan kaedah i-play toy library. Seramai empat hingga lima tenaga pengajar bertugas mengajar anak-anak kecil berusia 4 hingga 7 tahun ini secara sukarela. Ibu bapa menghantar anak-anak ke sini sementara mereka keluar bekerja dan mengambilnya pada waktu petang. Terhibur melihat gelagat mereka bermain-main, membaca dan sempat menghiburkan kami dengan nyanyian. Ada juga yang menangis kerana kurang selesa dengan kehadiran orang luar. 

10 pagi : Berat rasanya meninggalkan anak-anak comel ini, namun perjalanan perlu diteruskan kerana kami tidak punya banyak masa. Destinasi seterusnya ialah Kem Sungai Enam bagi menikmati keindahan fauna dan flora selain mengisi perut yang kelaparan dengan bekalan makanan yang disiapkan lebih awal oleh pihak BRR ala piknik. 
Sempat juga kami meninjau tempat menarik seperti Sira Gajah iaitu tempat haiwan liar menjilat garam galian). Namun, agak terkilan kerana kami tidak dapat melihat Rafflesia kerana ia bukan musimnya. Lebih malang lagi, pacat-pacat ‘berkenduri’ dengan kehadiran kami kerana keadaan tanah yang agak lembap. 

4 petang : Ternyata cuaca tidak menyebelahi kami, perjalanan pulang yang mengambil masa setengah jam diiringi dengan hujan yang lebat lengkap dengan kilat dan guruh. Entah mengapa ia cukup menyeronokkan mungkin kerana ini pengalaman pertama kami mengharung Tasik Temenggor dan Banding dalam cuaca agak buruk. 

4.30 petang : Kami tiba di jeti dalam cuaca yang cukup indah. Langit cerah, pakaian dan rambut kami juga sudah kembali kering. Siapa sangka menaiki bot boleh begitu meletihkan. Apa yang pasti ia belum berakhir, kami perlu ke Pulau Banding Research Center (PBRC) untuk mendengar taklimat ringkas Dr Daniel mengenai operasinya. 
Kami juga sempat meninjau operasi pengkaji dalam memulihara ikan kelah yang semakin pupus atau cukup dikenali sebagai Raja Sungai. Pusat penyelidikan ini diwujudkan bagi menyediakan platform buat saintis dan pengkaji dari seluruh dunia menjalankan projek berkaitan semua aspek hutan hujan tropika dan persekitarannya. Diharapkan, masa depan aktiviti kajian penyelidikan biologi yang mampu dikekalkan secara sistematik membawa kepada penemuan penawar penyakit merbahaya di dunia selain menghasilkan sumber kewangan baru kepada negara. 

6 petang : Hujan renyai-renyai mengiringi kami sebelum bergerak pulang. Hati pula terasa berat untuk meninggalkan 1,001 kenangan penuh bermakna sepanjang perjalanan dari Bukit Merah Laketown hingga ke Belum. Ketika fikiran masih segar dengan deruman enjin bot sewaktu ke Sungai Tiang dan Sungai Enam, rupanya cabaran kami belum berakhir apabila terpaksa mengharungi banjir kilat di Grik. 
Mujur van yang dinaiki agak tinggi, jika tidak senasib dengan kereta lain yang terpaksa berhenti sementara menanti air surut. Biar apapun keadaannya, kunjungan sulung ini tetap berkesan di hati dan pasti diulangi.

No comments:

Post a Comment