Translate

Wednesday, May 2, 2012

Gemersik suara alam

 MASYARAKAT Orang Asli menunjukkan teknik menyalakan api.

 Aktiviti harian orang asli
 BERTEMU hidupan liar ketika Night Jungle Walk.
 PERCUTIAN selesa menanti pengunjung di Resort Mutiara Taman Negara.

Program eko pelancongan Taman Negara mengasyikkan

MINGGU ini, siri jelajah 48 jam membawa penulis ke hutan tropika tertua di dunia iaitu Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. Destinasi eko pelancongan yang dianggarkan berusia 130 juta tahun ini seringkali menjadi tumpuan pelancong domestik dan juga antarabangsa.
Berkeluasan 4.343 kilometer persegi, ia menjadi penempatan kekal kepada hidupan flora dan fauna. Selain itu, dianggarkan 150,000 jenis serangga, 10,000 pokok, 300 spesies burung dan 270 reptilia mendiami kawasan ini. Kira-kira 250 pula terdiri daripada spesies ikan air tawar dan 200 hidupan mamalia.Jika melancong ke Taman Negara, jangan lupa melihat lebih dekat kehidupan seharian perkampungan Orang Asli Batek yang kaya dengan pelbagai teknik memburu dan hasil pertukangan. 

Aktiviti meneroka suasana malam atau Night Jungle Walk, merentasi jambatan gantung terpanjang di dunia, melawat Kelah Sanctuary dan menyusuri Sungai Tembeling dengan menaiki sampan pastinya me­ninggalkan kenangan manis.
Ikuti kupasan penulis sepanjang berada di resort percutian Mutiara Taman Negara meninjau khazanah berharga di sudut variasi pelancongan ini. 

Khamis
12.30 tengah hari: Menepati jadual, bas yang membawa 21 petugas media cetak dan elek­tronik tiba di Kampung Kuala Tahan. Untuk tiba ke Resort Mutiara Taman Negara kami dikehendaki menaiki sampan untuk menyeberangi sungai. 

Sebaik menjejakkan kaki di jeti, kedengaran ketukan buluh sebagai ucapan menyambut kehadiran kami.

1.15 tengah hari: Perjalanan yang memakan masa hampir 4 jam menaiki bas membuatkan kami agak kelaparan. Sudah tiba masanya untuk mengisi perut. Di Seri Mutiara Restoran, pelbagai aneka masakan disediakan menepati selera pada hari itu. 

Selesai makan, kami diberikan kunci bilik penginapan. 

2.30 petang: Kami mula berhimpun untuk mendengar taklimat ringkas jurupandu pelancong, Hamzah Abdul Hamid. Jaket keselamatan diberi setiap seorang sebelum menaiki sampan. Dengan kelajuan enjin 40 kuasa kuda, kami menyusuri sungai menuju ke perkampu­ngan Orang Asli Batek. 

Inilah masanya paling sesuai untuk merakamkan foto ketika menyusuri sungai melihat lebih dekat kehijauan hutan tropika semula jadi. Gemersik suara alam jelas kedengaran. Jurupandu sampan bagaikan tahu keinginan kami. Sengaja memperlahankan kelajuan sampan supaya kami dapat menghayati 1,001 keunikan khazanah alam yang mewarnai di Taman Negara.

Tiba di tepian sungai, terlihat perkampungan Orang Asli Batek yang masih mengekalkan budaya kehidupan nomad-tradisional. Mereka bagaikan tahu maksud kedatangan kami. 

Bermula pertunjukan teknik menyalakan api dengan menggunakan seutas tali yang digosok pada kayu ia mampu membuatkan kami terpegun. Tidak terfikir pun mengenai kegunaan hidupan alam yang kini kian dilupakan.

Seperti yang kita tahu, Orang Asli mendapatkan bekalan makanan terutama daging secara menyumpit. Peluang melihat penyediaan keperluan peralatan menyumpit satu pengalaman paling berharga. Sebelum pulang, sempat juga rakan membeli kraftangan untuk dibawa pulang.

5.45 petang: Waktu untuk bersantai...masa yang terluang digunakan untuk berjalan-jalan di sekitar Resort Mutiara Taman Negara. Sambil pulang ke bilik penginapan, detik menikmati waktu matahari terbenam begitu mengasyikkan.

8.30 malam: Badan kembali segar untuk persediaan aktiviti malam. Pada malam itu, kami diminta tampil berpakaian kain batik mengikut kreativiti tersendiri. Sambil menjamu hidangan secara barbeku, malam lebih bermakna apabila kami diminta beramai-ramai mengikut rentak tarian sewang.

9.30 malam: Mengisi aktiviti seterusnya, dengan ditemani Hamzah atau mesra digelar Pak Chu, kami dibawa meneroka suasana malam atau Night Jungle Walk. Sesuai dengan pengalaman hampir 20 tahun sebagai juru pandu pelancong beliau cekap mengesan pelbagai jenis hidupan unggas malam.

Paling menarik, malam itu kami agak bertuah kerana terserempak dengan sepasang tapir sedang leka mencari makanan. Riuh seketika suasana malam itu dek teruja melihat kejutan malam itu.

Jumaat

8.30 pagi: Selesai membersihkan diri, penulis bersarapan ditemani rakan. Tidur yang nyenyak, membuatkan kami begitu bersemangat meneruskan aktiviti pada hari kedua. 

9.45 pagi: Meneruskan eko pelancongan program di Taman Negara, rombongan media dibawa merentasi jambatan gantung sepanjang 530 meter dengan ketinggian 40 meter dari aras tanah. Walaupun berdebar, langkah tetap diteruskan kerana mahu melihat panorama hijau yang hidup disekeliling bumi tertua ini. Sesekali menyedut udara segar, terasa menyamankan. 

Selain itu, kawasan ini juga kerap menjadi tumpuan pemerhati burung. Dianggarkan 300 jenis burung dilaporkan di Taman Negara.

Seterusnya, kami berjalan kaki melihat keindahan alam di Bukit Teresek. Perjalanan selama hampir dua setengah jam ini terasa bermakna. Ada pelbagai jenis pokok dan herba hidup meliar di kawasan ini. 

12.30 tengah hari: Mungkin agak penat dan kelaparan, masing-masing berselera menjamu hidangan. Restoran Seri Mutiara Taman Negara ini buka sepanjang hari dan menyajikan makanan Melayu dan Barat yang lazat.

2 petang: Selesai mengisi perut, kami dibawa menaiki sampan menuju ke Kelah Sanctuary.

Di sini, pengunjung boleh melihat kelibat ikan kelah menyambar umpan yang ditabur di permukaan sungai. Namun, perlu diingatkan, hanya hari tertentu dibenarkan bagi pengunjung mengisi masa lapang dengan aktiviti memancing.
Acara paling menarik, kami dipe­­­cahkan kepada lima kumpulan untuk aktiviti berenang menyusuri sungai. 

Setiap kumpulan mempunyai empat orang dibekalkan tiub tayar yang digunakan sebagai pelampung perlu menyusuri sungai. Ia benar-benar menguji keberanian, namun tetap menyeronokkan.

Selepas berjaya melepasi halangan, kami dibawa pula menikmati jamuan ringan. Sambil berehat, menghirup secangkir kopi panas dan menjamah kuih-muih sudah cukup menyelerakan pada petang itu. 

Waktu petang mula melabuhkan tirainya. Kami menaiki bot pulang ke Resort Mutiara Taman Negara. Seterusnya menuju ke bilik penginapan untuk membersihkan diri dan berehat. 

8.30 malam: Makan beramai-ramai mengelilingi unggun api begitu menyeronokkan. Ia mengingatkan penulis ketika menganggotai unit pengakap ketika di bangku sekolah. Gelak tawa memecah keheningan malam. 

Ternyata pakej pelancongan yang disediakan di Resort Mutiara Taman Negara begitu bermakna.

Maklumat lanjut mengenai pakej penginapan boleh menghubungi talian 09-2662200/3500 atau melalui faks; 09-2661500/2662501. Selain itu pengunjung boleh melayari laman web; www.mutiarahotels.com.

INFO: Taman Negara


  • Mula ditubuhkan pada 1939.

  • Taman hutan terbesar di Semenanjung dengan keluasan 4.343 kilometer persegi.

  • Satu daripada hutan hujan tertua dunia, dengan sebahagian besarnya belum pernah diusik dan masih sama seperti 139 juta tahun lalu.

  • Meliputi tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Lokasi paling sering dilawati ialah Kuala Tahan di Pahang; Kuala Koh di Kelantan dan Tasik Kenyir di Terengganu.

  • Ada kira-kira 100,000 sepesies tumbuhan; 150,000 jenis serangga; 25,000 spesies inveterberata; 675 spesies burung, 250 spesies air tawar dan 200 spesies mamalia di Taman negara.

  • Jumlah itu terus bertambah dari sehari ke sehari kerana saintis masih menemi spesies baru hampir setiap hari.
  • No comments:

    Post a Comment