Translate

Wednesday, May 2, 2012

Pesona Tanjung Rambutan




Borong sakan di pasar pagi, rendam kaki waktu malam di Lost World of Tambun

DI sebalik label atau tanggapan umum yang mengaitkan Tanjung Rambutan sebagai lokasi pesakit mental mendapat rawatan, pekan kecil yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Ipoh, Perak ini mampu menawarkan keseronokan tersendiri.
Menguasai daerah Hulu Kinta, pekan Tanjung Rambutan sebenarnya ada lebih daripada Hospital Bahagia. Pesona pekan yang dihuni lebih 30,000 jiwa ini terletak pada karektor pekan dengan deretan bangunan lama berciri kolonial, kehijauan dan faktor kedamaian yang melingkari kehidupan di sini.Deretan kedai dua tingkat berusia hampir 100 tahun, Stesen Keretapi Tanjung Rambutan, pasar pagi, restoran kopitiam hinggalah kepada makanan tempatan yang membangkitkan selera, semua itu bagai memanggil si pengembara untuk singgah sebentar di pekan istimewa ini.

Selama dua hari ronda-ronda di pekan kecil itu, habis jugalah wang ringgit kerana terpikat dengan pelbagai barangan antik, bantal kekabu hinggalah memenuhi selera dengan juadah tradisional masakan Perak.

Mari selami pesona Tanjung Rambutan...

Sabtu 
7.45 pagi : Niat menjejaki pekan Tanjung Rambutan dan melihat lebih dekat Hospital Bahagia sudah lama tersimpan. Akhirnya, peluang dinanti-nanti kunjung tiba. Kesempatan menemuramah anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Hulu Kinta, Perak baru-baru ini membawa penulis berkunjung ke pekan istimewa ini. Perjalanan bermula baik sejurus memasuki Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur menuju ke utara.

9.50 pagi : Cuaca baik pagi itu membuatkan perjalanan cukup mendamaikan hingga tidak sedar perjalanan dua jam yang ditempuh. Sebaik menyusur Plaza Tol Ipoh Selatan, penulis memandu terus ke pekan Tanjung Rambutan. Tidak jauh, dalam tempoh 20 minit saja kami tiba di lokasi dituju. Sebelum tiba, kami terlihat taman tema air Lost World of Tambun yang terletak di sebelah kanan jalan.

10.10 pagi : Tidak sukar sebenarnya menjejaki pekan Tanjung Rambutan walaupun bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sana. Selain banyak papan tanda, deretan rumah kedai dua tingkat menjadi petanda bahawa anda sudah pun berada di tengah-tengah lokasi dituju. Tiba saja di pekan ini, tiada yang mampu menahan keinginan untuk segera singgah di pasar pagi sepanjang kira-kira 100 meter di tengah-tengah pekan ini.

12 tengah hari : Ralit dibuatnya tatkala berjalan berdua bersama jurufoto, Surianie Mohd Hanif berlegar di pasar pagi. Selama kira-kira dua jam di sana, bermacam barangan di jual hingga mengundang rasa kagum. Bak kata orang, macam-macam ada...

Bayangkan, daripada bahan mentah seperti sayur-sayuran dan ulaman, ikan, daging serta buah-buahan tempatan, pelbagai barangan lain turut dijual seperti koleksi antik, basikal, tilam dan hasil tembaga.

Jangan tidak tahu, penulis juga sempat memborong bantal kekabu yang sukar diperoleh di Kuala Lumpur. Puas ‘memborong’ sehingga satu persatu peniaga mula berkemas pulang, barulah tersedar masa yang berlalu. itupun dek perut yang sudah ‘berbunyi’ tanda lapar. Tidak sukar mencari makan, 
Tanjung Rambutan menawarkan banyak lokasi makanan menarik.

2.30 petang : Terpaksa melupakan seketika pesona pekan Tanjung Rambutan kerana perlu bergegas menemuramah dua anggota 69 komando PDRM di Markas Briged Utara Ulu Kinta, Perak.

Tugas sebagai wartawan memberi peluang kepada penulis menyelami gaya hidup serta cabaran menjadi anggota keselamatan negara. Lantas, peluang digunakan untuk bertanya pelbagai perkara dan pengalaman anggota menjaga benteng keselamatan negara. Selama tiga jam sesi temuramah dan fotografi berlangsung penuh profesional sebelum berlegar meninggalkan kem 69 komando PDRM.

5.30 petang : Misi bersiar-siar bersambung. Tumpuan selanjutnya ialah Stesen Keretapi Tanjung Rambutan yang terletak tidak jauh dari laluan utama pekan ini. Bukan saja mahu merakamkan gambar papan tanda ‘Tanjung Rambutan’ di stesen itu, malah peluang digunakan untuk menjamu selera di gerai bersebelahan stesen kereta api itu.

Terletak bersebelahan Hospital Bahagia, penulis dan jurugambar ternampak kelibat ‘warga’ penghuni hospital berlegar-legar. Dalam asyik menghirup kopi panas, sempat jugalah kami melihat kereta api melintasi laluan rel.

6.30 petang : Puas menghabiskan sisa petang, barulah kami mendaftar masuk ke hotel penginapan yang terletak berhampiran Lost World of Tambun. Keseronokan berada di pekan Tanjung Rambutan tidak sedikitpun membuatkan hati mahu singgah ke bandar Ipoh, walhal jarak perjalanan antara dua lokasi itu tidak sejauh mana.

8 malam : Tirai malam diteruskan ke Lost World of Tambun selepas disaran seorang kenalan supaya berendam di kolam air panas semula jadi di taman tema ini.

Cukup murah, cuma RM5 bagi seorang dewasa, rasanya berbaloi dengan kemudahan dan kebersihan di kolam air panas ini. Airnya yang tidak terlalu panas membuatkan cukup seronok untuk berendam lama-lama. Sebaik membersihkan diri, lokasi seterusnya yang dituju ialah restoran untuk menikmati makan malam.

9.30 malam : Di bandar Tambun yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Tanjung Rambutan menyediakan banyak lokasi menjamu selera yang menarik. Bandar transit ini menjadi tumpuan orang ramai yang mahu mendapatkan pelbagai barangan atau singgah menjamu selera.

11 malam : Sebelum kembali ke bilik penginapan, kami meronda lagi di pekan Tanjung Rambutan. Namun, nampaknya pekan kecil ini sudah mula ‘tidur’.

Ahad

9 pagi: Disebabkan ini hari terakhir di Tanjung Rambutan, peluang digunakan sepenuhnya untuk menikmati suasana damai di pekan ini. Kami restoran berkonsepkan kopitiam di pekan Tanjung Rambutan untuk membangkitkan nostalgia sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

10 pagi : Selesai menjamu selera, hajat awal sebenarnya hanya mahu merakamkan gambar deretan kedai lama di pekan ini. Lain pula jadinya apabila kami memasuki salah sebuah daripada kedai usang itu.

Masakan tidak, rambang mata dibuatnya apabila kami menemui pelbagai barangan yang sukar ditemui di ibu kota. Dalam banyak item yang dijual, penulis sempat memborong pelbagai corak kain kapas berkonsep retro, kemeja-T klasik, kasut Bata era 1970-an, termos air, pinggan dan tapis yang harga semuanya kurang RM100!

11.30 pagi : Ketika sibuk berbual dengan penduduk setempat mengenai tarikan lain di Tanjung Rambutan, pantas lokasi Air Terjun Hulu Kinta dicanangnya. Lokasi yang cuma enam kilometer daripada situ membuatkan kami teruja menjejakinya. Dalam hati, penulis berharap pusat rekreasi ini dapat dibangunkan dengan lebih tersusun bagi menarik lebih ramai pengunjung.

1 petang : Sebelum meninggalkan pekan Tanjung Rambutan, kami sempat meronda di Hospital Bahagia. Benarlah kata seorang kenalan, suasana cukup berbeza tatkala berada dalam hospital berkenaan.

Selain tersergam beberapa blok sel penginapan, pemandangan cukup damai dan hening menghentikan seketika lamunan. Takut jugalah manalah tahu niat ikhlas kami mahu meninjau hospital disalah erti. Namun, sebaik tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku... 

2 petang : Tibalah masa untuk pulang. Dua hari berkampung di Tanjung Rambutan seperti yang sering diungkap Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee di dalam lagu atau dialog filem lakonannya, pekan kecil itu ternyata cukup istimewa. 

INFO
Tanjung Rambutan



  • Tanjung Rambutan adalah sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Kinta di bahagian timur laut bandar raya Ipoh, Perak.

  • Terletak 15 kilometer atau kira-kira 20 minit perjalanan dari Ipoh, Tanjung Rambutan cukup sinonim sebagai lokasi pesakit jiwa mendapat rawatan di Hospital Bahagia.

  • Di kalangan masyarakat dan penduduk setempat, Tanjung Rambutan lebih dikenali sebagai Hulu Kinta disebabkan lokasi pekan terletak di hulu Sungai Kinta.

  • Sungai Kinta juga menghubungkan banyak bandar termasuk Ipoh, Batu Gajah dan Tanjung Tualang sebelum bertemu dengan Sungai Perak di Kampung Gajah, Perak.

  • Biarpun pekan Tanjung Rambutan kecil, kerancakan ekonomi serta lokasinya cukup strategik dan menjadi tumpuan kerana hampir dengan bandaraya Ipoh.

  • Pekan Tanjung Rambutan memiliki tarikan istimewa iaitu taman tema air terbesar di Perak, Lost World of Tambun yang terletak kurang lima minit perjalanan dari pekan Tanjung Rambutan.

  • Kemajuan Tanjung Rambutan dapat dilihat dengan adanya kem PDRM, Maktab Perguruan Hulu Kinta serta kolej swasta. Anda juga boleh temui deretan bandar lama ala kolonial dan Stesen Kereta Api Tanjung Rambutan. 
  • No comments:

    Post a Comment