Translate

Monday, October 8, 2012

Merasai


Peniaga buah hanya berlindung di bawah payung melayani pelanggan.
KATHMANDU, ibu negara Nepal terletak pada ketinggian 1,400 meter dari aras laut didiami hampir tiga juta penduduk.
Dengan keluasan 50.67 kilometer persegi, ia merangkumi dua daerah di bawah pentadbiran yang sama iaitu Patan dan Bhaktapur.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kathmandu mengambil masa empat setengah jam.
Terletak di lembah yang dikelilingi banjaran gunung terbentang luas bak saujana mata memandang, tidak ada bangunan pencakar langit di sini. Hampir 90 peratus daripada bangunannya diperbuat daripada batu merah serta struktur binaan lama seperti kuil, stupa dan peninggalan istana. Itulah uniknya Kathmandu dan Nepal!
Negara yang dihuni oleh penganut Hindu, Buddha, Sikh, Jai, Kristian dan Islam ini lebih mengamalkan budaya hidup India. Islam hanyalah empat peratus daripada keseluruhan penduduknya (26 juta).
Pastinya Kathmandu yang terletak di sempadan China, India, Bhutan dan Pakistan dikelilinginya banjaran Himalaya mengalami cuaca sejuk ekstrem. Biarpun musim panas, suhu sejuk masih boleh dirasai terutama pada waktu malam.
Percutian saya ke sana menaiki penerbangan Nepal Airlines dengan pesawat Boeing 757. Boleh dikatakan 70 peratus penumpang terdiri daripada pekerja Nepal yang berkhidmat di negara kita dan semuanya lelaki. Selebihnya pelancong luar.
Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, rakyat Nepal yang berada di pesawat seolah-olah tidak sabar hendak turun.
Televisyen LCDTernyata pekerja Nepal yang bekerja di Malaysia, memborong televisyen LCD untuk dibawa pulang ke kampung halaman mereka.
Keadaan lapangan terbang di Kathmandu tidaklah secanggih dan besar mana kalau dibandingkan dengan lapangan terbang domestik negara kita.
Seperti di mana-mana lapangan terbang, pemandu teksi berebut-rebut menawarkan perkhidmatan dengan harga murah.
Sempat saya lihat insiden di kawasan parkir lapangan terbang, tiga pemandu teksi bertikam lidah berebut pelanggan.
Sebagai agama minoriti di Nepal, sukar melihat masjid. Tetapi kebetulan hotel kami di Durbar Marg, iaitu Hotel Annapurna ada sebuah masjid besar.
Pintu masuknya bukan seperti di negara kita, pagar yang luas dan boleh dimasuki kereta. Di sana, pintunya hanya untuk pejalan kaki, malah motosikal juga tidak dibenarkan parkir di dalam kawasan masjid.
Masjid Jama yang boleh memuatkan hampir 500 jemaah dalam satu masa adalah masjid terbesar di Kathmandu.
Saya sempat menunaikan solat Jumaat dan sama seperti mana-mana masjid, di luar berbaris pengemis menadah rezeki jemaah.
Di tepi masjid ada seorang wanita menyediakan perkhidmatan menukar duit syiling untuk diberikan kepada peminta sedekah. Perkhidmatan disediakan kerana para pengemis bukan seorang dua, tetapi hampir 40 orang.
Biarpun di situ letaknya masjid paling besar di Kathmandu tetapi di sekitarnya agak sukar mendapatkan restoran makanan halal.
Apa yang ada hanya gerai menjual makanan halal tapi saya percaya jika anda melihat keadaannya, anda sanggup berlapar.
Jika anda ke Nepal, terutamanya Kathmandu, pasti anda hairan kerana keadaan bandarnya yang malap pada malam hari. Kathmandu bukan bandar neon seperti Seoul, Korea atau Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Suasana malam di seluruh bandar suram akibat catuan tenaga elektrik yang bekalannya tidak mencukupi untuk diagihkan ke seluruh Nepal.
Nepal tidak mempunyai jana kuasa elektrik sendiri dan terpaksa mengimport elektrik dari India, kosnya tinggi dan tidak hairanlah kalau ia dicatu.
Ada sesetengah rumah dan hotel dicatu bekalan elektrik, terutama di kawasan luar bandar.
Hotel empat bintang di Kathmandu juga kerap berlaku gangguan elektrik dalam tempoh beberapa minit pada siang hari. Tidak hairanlah kalau di bilik hotel disediakan lampu suluh.
Walaupun suram dan dicatu, tidak bermakna Kathmandu sunyi pada malam hari. Lampu-lampu di jalan raya tidak begitu banyak, tetapi tidak di kawasan popular seperti di Burbar Marg yang dikenali sebagai jalan Raja.
Kelab-kelab malam dan pub di kawasan Thamel yang dikunjungi pelancong asing hidup seperti biasa dengan hiruk-pikuk lagu-lagu.
Melihat panorama bandar Kathmandu dari ruangan udara melalui tingkap pesawat, kelihatan rumah bertingkat yang kebanyakannya diperbuat daripada bata merah.
Hampir 90 peratus kediaman di sana diperbuat daripada bata merah yang diilhamkan daripada istana lama kerajaan Nepal.
Bangunan rumah kebanyakannya berstruktur tiga hingga enam tingkat. Boleh dikatakan ketinggian bangunannya adalah setara dan tidak ada bangunan pencakar langit yang menonjol di sana.
MenundukMenurut tradisi masyarakat Nepal, pintu rumah yang diperbuat daripada kayu cengal haruslah rendah daripada ketinggian manusia.
Ini bermakna untuk masuk ke rumah, mereka terpaksa menunduk agar tidak terhantuk kepala pintu. Orang Nepal percaya pintu perlu dibuat lebih rendah bagi menunjukkan rasa hormat semasa masuk ke dalam rumah.
Jika ke Kathmandu, anda harus ke kawasan membeli-belah berkonsepkan kedai yang dinamakan Thamel terletak di Durbar Marg di tengah-tengah bandar.
Thamel yang dibuka sehingga pukul 8 malam mempunyai banyak jalan dan lorong. Jalannya agak sempit dan terdapat banyak barangan dan ole-ole yang boleh dibeli. Antaranya kemeja T, kain sutera, pashmina, rantai, beg, permaidani, baju dan macam-macam lagi.
Thamel juga tempat para pelancong asing backpackers dan kawasan pub serta disko. Disko dibuka bermula pukul 10 malam.
Anda boleh menawar harga ketika membeli-belah dan kelebihannya peniaga tidak memaksa kita membeli walaupun kita sudah menawar barangan. Oleh itu proses jual beli agak mudah dan kita boleh membuat beberapa perbandingan harga sebelum membeli sesuatu barang.
Selain orang Nepal dan India, terdapat juga peniaga berbangsa Kashmir yang membuka perniagaan seperti permaidani dan pashmina.
Orang Nepal agak ramah dan mereka sudah biasa dengan pelancong, jadi anda tidak perlu risau dengan keselamatan di Thamel.
Sewaktu berkunjung ke Thamel, kami terpaksa berpisah untuk membeli barangan. Ini kerana Thamel mempunyai banyak lorong dan kedai yang banyak di kiri dan kanan jalan agak sukar untuk kami membeli-belah secara rombongan.
Menggunakan mata wang rupee Nepal, anda boleh menukar dolar Amerika dengan mudah daripada pengurup wang di sana.
Jika mengikuti pakej, biasanya anda memaklumkan untuk makanan halal. Namun anda dinasihatkan membawa bekalan dari Malaysia seperti serunding, sambal bilis, sambal tempe, tuna dalam tin dan apa saja yang senang dibawa kerana halal menurut mereka ialah makanan bebas babi. Bagi mereka (yang bukan Islam di Nepal) ayam yang tidak disembelih cara Islam adalah halal.
Ini bermakna kita akan dibawa ke restoran yang tidak menyediakan daging babi, tetapi tetap menyediakan ayam dan kambing.
Bagi mengelakkan daripada lapar, kita makan saja sayuran bersama nasi. Orang Nepal makan nasi dan kebanyakan lauknya berkonsepkan kari.
Sayur kari, kuah dal, sayur puri, ayam masala, kentang masalah, papadum, puri bayam dan segala-galanya kari!
Kathmandu masih belum ada restoran dimiliki orang Islam yang menyediakan makanan halal 100 peratus.
Tapi yang pastinya nasi di sana menggunakan beras gred A, basmati. Ada juga restoran yang menyediakan roti nan dan capati.
Cuma jika anda pergi ke Kathmandu pada musim panas dan alah dengan debu, sebaik-baiknya terlebih dahulu dapatkan penutup mulut di farmasi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120923/pl_02/Merasai#ixzz28ldUsIES
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment