Translate

Monday, October 8, 2012

Memori catatan pengalaman tahanan politik


''KERJA kami, makan, tidur, makan, tidur. Petang kami main badminton dan bola tampar. Malam, kami masuk kelas bahasa Inggeris dikendalikan oleh Rashid Maidin.
''Kelas dan kuliah agama pula dikendalikan oleh Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Kebebasan itu ada tetapi kehidupan tidak begitu selesa.''
Demikian cerita pejuang kemerdekaan negara, Allahyarham Muhd. Yusuf Ayob (gambar) mengenai pengalaman beliau ketika ditahan sebagai tahanan politik di Pulau Jerejak dari 1948 hingga 1949.
Pengalaman itu direkodkan ketika Allahyarham menjadi ahli panel Majlis Pengisahan Sejarah Pulau Jerejak anjuran Arkib Negara pada April 2006 atau kira-kira lapan bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Disember tahun yang sama.
Bekas guru yang dilahirkan di Pasir Panjang, Sitiawan pada 20 Februari 1920 itu berkata, tiada perhubungan dengan dunia luar dibenarkan termasuk ahli keluarga, sepanjang ditahan di pulau itu.
''Makan, kami masak sendiri dan bahan mentah disediakan pusat tahanan. Walaupun penjajah itu diketahui kejam, tetapi kami tidak pernah dipukul maknanya ada peri kemanusiaan,'' ujarnya.
Bercerita lanjut, Allahyarham memberitahu pada masa dia ditahan, terdapat kira-kira 50 pemimpin dan ahli Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta Angkatan Pemuda Insaf (API) turut ditahan dan ditempatkan di Blok 5 dan 6 pusat tahanan itu.
Katanya, empat lagi blok kediaman yang hanya berdindingkan simen setinggi 1.2 meter itu pula dihuni tahanan berbangsa Cina yang simpati kepada perjuangan komunis.
Selepas setahun ditahan di pusat tahanan Pulau Jerejak, Allahyarham dipindahkan ke Pusat Tahanan Tanjung Beruas, Melaka selama setahun sebelum dipindahkan lagi Pusat Tahanan Asbhy Road, Ipoh pada 1951 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 pada tahun sama.
''Saya dikenakan perintah berkurung selama tiga tahun yang mana sepanjang tempoh itu dari pukul 6 petang hingga 6 pagi saya mesti berada di rumah.
''Pihak berkuasa kemudian, menjemput saya bekerja balik sebagai guru sebelum bersara pada 1976,'' katanya.
Selepas pembebasan, beliau meneruskan kegiatan politik bersama UMNO dan dilantik sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Larut dan Matang.
''Semasa Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka di Stadium Merdeka, saya berada di sana wakil UMNO Larut dan Matang,'' tambahnya yang kemudian menyertai Pas.
Sementara itu anak ketiganya, Md. Said, 55, ketika dihubungi S2 memberitahu, bapanya meninggal dunia kerana sakit tua dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang.
''Ayah sebenarnya meninggal dalam kekecewaan kerana walaupun berkhidmat sebagai guru dengan jawatan tetap sehingga bersara, tetapi dia tidak layak menerima pencen.
''Rayuan ditolak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana Allahyarham pernah menjadi tahanan tetapi apa yang menyedihkan, dia menjadi tahanan penjajah Inggeris bukan kerajaan selepas merdeka,'' ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20120915/pl_05/Memori-catatan-pengalaman-tahanan-politik#ixzz28lc5VCyv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment