Translate

Thursday, October 18, 2012

Mai, Penang!


Pakaian tradisional tempatan yang digayakan oleh model menjadi tarikan buat pelancong asing.
PULAU Pinang. Itulah tajuk cerita kami berempat (Lynn, Rin, Emma dan Shikin). Kami ingin berkongsi berita mengenai perubahan Pulau Pinang yang cukup pesat membangun.
Sesuai dengan gambaran itu, sempena cuti umum Hari Malaysia yang lalu, kami mengambil kesempatan mengelilingi Pulau Mutiara selama tiga hari dua malam.
Peluang itu digunakan sebaik mungkin. Maklumlah sudah lima tahun tidak menjejakkan kaki ke sana.
Dari Kuala Lumpur, kami menaiki kereta menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan sejauh 331 kilometer arah ke utara yang mengambil masa hampir empat jam memandu.
Kami tiba ke Georgetown tepat pukul 3 petang dan terkial-kial mencari arah kerana kebanyakan jalan di sana telah berubah menjadi jalan sehala.
Batu Ferringhi amat terkenal dengan panorama matahari terbenam.
Menariknya negeri ini masih banyak mengekalkan khazanah lama yang terdiri daripada bangunan-bangunan zaman penjajah yang masih dipulihara dengan baik.
Tidak seperti lima tahun lalu. Mungkin kerana status bandar raya warisan dunia oleh UNESCO membuatkan bangunan tersebut dibaik pulih, dicat semula dan jalan-jalannya turut dihiasi panorama kepulauan moden yang sangat cantik.
Memandangkan kami berempat menyukai bahan kesenian berkaitan sejarah, maka di sinilah destinasi permulaan terbaik buat kami mengembara menerokai bumi Malaysia.
Jalan punya jalan, akhirnya kami memilih destinasi paling popular iaitu Batu Feringghi. Di situ juga, kami mendapatkan hotel bajet untuk menginap.
Biarpun lokasi ini dipenuhi dengan resort dan hotel bertaraf antarabangsa, namun kami bertuah kerana berkesempatan menyewa sebuah bilik dengan kadar sewa sebanyak RM60 sehari.
Maklumlah hari cuti dan hampir kesemua hotel bajet telah ditempah terlebih dahulu.
Selepas meletakkan beg pakaian masing-masing, kami pun bersiar-siar ke kawasan pantai. Pelbagai sukan air boleh didapati di sini dan kami berpeluang menaiki jet ski yang disewa dengan harga yang amat berpatutan.
Selepas penat mandi-manda dan bergambar, kami pun terus ke restoran berhampiran untuk menjamu selera. Menu pilihan hanyalah sekadar nasi goreng.
Komtar merupakan salah sebuah bangunan ikonik yang terdapat di Pulau Pinang.
Selesai makan, kami bersiar-siar pula di sekitar Batu Ferringhi Sidewalk Bazaar dan pulang ke hotel dua jam kemudian.
Keesokan pagi, kami ke Bukit Bendera bagi menikmati keindahan panorama bandar Georgetown dan pelabuhan dari puncak bukit tersebut.
Selain itu, pemandangan indah sawah padi di bahagian Semenanjung turut kelihatan dan sangat menarik untuk dihayati.
Di sana, kami sempat merakam foto kenangan di tempat paling terkenal di dalam pulau ini.
Waktu kereta api bertolak bermula dari pukul 6.30 pagi hingga pukul 11 malam. Tiket untuk orang dewasa hanya RM8 (pergi balik), manakala untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah, RM4 (pergi balik) serta warga emas, pelajar dan orang kelainan upaya (OKU) pula percuma.
Kemudian kami memasuki kawasan Georgetown bagi menyaksikan keunikan monumen lama yang masih kekal dipulihara seperti Cheong Fatt Tze Mansion, Fort Cornwallis, P. Ramlee's House, Pinang Peranakan Mansion, Penang Chinese Town Hall dan Queen Victoria Memorial Clock Tower.
Seterusnya kami ke Plaza Gurney untuk makan malam. Lokasi sepanjang Jalan Gurney paling banyak berubah.
Dari Plaza Gurney, kami ke sebuah food court yang terletak berhampiran dengan plaza tersebut (belakang McDonalds).
Rambang mata dibuatnya kerana di medan selera itu terdapat pelbagai jenis makanan 1Malaysia yang dijual oleh peniaga Melayu, Cina dan India.
Menu pilihan kami pada malam itu adalah laksa Penang dan air mata kucing. Puas menjamu selera, kami pun pulang semula ke tempat penginapan.
Hari terakhir, kami singgah sebentar ke Prangin Mall, Queensbay Mall dan Sunway Carnival Mall sebelum pulang menyusuri jambatan Pulau Pinang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20121013/pl_01/MaibrPenang#ixzz29i8NecIJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment