Translate

Tuesday, May 15, 2012

Oman Air lancar perkhidmatan baru

SYARIKAT penerbangan antarabangsa Kesultanan Oman, Oman Air memperkenalkan perkhidmatan terbaru dalam lapangan terbangnya.
Ia adalah perintis telefon mudah alih dalam penerbangan udara dan penyambungan WiFi iaitu teknologi yang membolehkan peranti elektronik bertukar data tanpa wayar melalui rangkaian komputer. 
Apabila menaiki kapal terbang penumpang harus mematikan telefon dan barangan elektronik yang lain agar tidak mengganggu sistem dalam pesawat.

Namun, jika memilih Oman Air, penumpang dapat menikmati perkhidmatan telefon dan WiFi di saat berlepas sehingga pesawat mendarat.

Penggunaan telefon bimbit dikenakan mengikut kadar perantauan seperti mana jika anda membuat panggilan dari luar negara.

Penyambungan WiFi dikenakan bayaran RM91.20 dalam setiap penerbangan untuk penggunaan 26 megabit data Internet.

Bagi melayari e-mel web, bayarannya RM30.30 manakala RM15.05 untuk mesej segera.

Bayaran tambahan dikenakan jika penumpang menggunakan Internet lebih daripada 26 megabit atau menghantar lampiran di dalam e-mel.

Oman Air turut dikenali kerana ciri mewah yang ditampilkan untuk semua jenis kelas penumpang sama ada penerbangan kelas pertama, perniagaan atau ekonomi.

Penerbangan kelas pertama membolehkan penumpangnya berbaring atau tidur di atas kerusi sepanjang 2.08 meter dan dengan kelebaran 0.64 meter.

Kerusi rehat ini dikendalikan menerusi alat elektronik membolehkan penumpang merehatkan minda dan tubuh sambil menikmati urutan elektronik di belakang badan.

Kemudahan lain di kabin kelas pertama ini termasuk skrin hiburan-dalam-penerbangan (IFE), dua port USB dan soket Ethernet.

Kabin kelas perniagaan menawarkan tempat duduk luas dengan empat kerusi dalam satu barisan.

Panjang kerusi mencapai 1.96 meter dan berkeluasan 0.55 meter, menawarkan tempat duduk yang boleh dikawal secara elektronik untuk mengubah keseluruhan tempat duduk.

Dengan pelbagai kemudahan yang disediakan dalam kabin perniagaan, Oman Air diiktiraf sebagai penerbangan mewah yang menawarkan hospitaliti kelas pertama.

Bagi kelas ekonomi, Oman Air memberi keutamaan kepada penumpang dengan mengekalkan tahap keselesaan tempat duduk serta kemudahan sedia ada dalam penerbangan.

Ia adalah kelas ekonomi yang menghubungkan penumpang kepada maklumat dan hiburan dengan gaya hidup moden.

No comments:

Post a Comment